Universiti Bukan Rumah Pasung



Universiti Bukan Rumah Pasung

Oleh : Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat


1. Saya sangat kesal dengan perkembangan universiti di negara ini. Fungsi untuk melahirkan ilmuan dan kepimpinan negara dengan orientasi ilmu dan praktikal ilmu berinovatif bagai telah dipasung dengan pelbagai peraturan yang "memenjara" lidah dan "membunuh" aqal dari berperanan menghidupkan nilai serta makna ilmu yang dimiliki oleh para mahasiswa.


2. Hari ini pada jam 9.00 pagi ( 21 April 2015 ), 3 tokoh mahasiswa UIAM, Sdr Abdul Malik Abdul Razak, Sdri Muna A'dila Che Rime dan Muhammad Mujahid Sulaiman dihadapkan ke "Mahkamah Universiti" dan dituduh atau didakwa melanggar Peraturan 9(3) di dalam Peraturan Disiplin Pelajar 2004 (Pindaan 2006) di UIAM semata - mata kerana mereka telah menyertai pidato umum Jelajah Mahasiswa Bebaskan Universiti anjuran WUFI pada 7 November tahun lalu.


3. Selayaknya pihak Universiti berbangga melahirkan tokoh - tokoh muda yang bukan sahaja berilmu tetapi kritis dan berani menyuarakan pendapat mereka. Pandangan dan suara mahasiswa dalam apa jua bentuk selama mana ia tidak bercanggah dengan prinsip dan kemuliaan ilmu maka ia adalah sebahagian dari orientasi akademi yang perlu dihargai dan dinilai bukan disekat, dihalang dan dipasung.


4. Universiti adalah kilang untuk menghidupkan ilmu dan para pengamalnya bukan kilang mencipta robot dan mesin perakam suara. Saya menggesa supaya pihak UIAM menggugurkan dakwaan yang dikenakan ke atas 3 tokoh mahasiswa tersebut dan mengembalikan hak mereka bersuara dan menyatakan pandangan bertunjangkan ilmu.


5. Saya mengharapkan rakan - rakan mahasiswa khasnya dan semua pencinta ilmu amnya, bangkit menyatakan solidariti bersama mereka yang menjadi mangsa ketidakwajaran tindakan pihak universiti. Sekali lagi saya tegaskan universiti adalah pusat menuntut ilmu dan membina karisma kepimpinan berteraskan ilmu. Universiti bukan rumah pasung.


Sekian

0 comments: