Dalam Kitab Bilal Ibnu Rabah; Muazzin Rasulillah SAW karya Mohamed Ali Qutub menulis tentang alunan azan dalam Islam yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah merupakan agenda sangat berkesan dalam memberi motivasi iman:
"Apabila masuk waktu solat, Bilal lantas bangun untuk azan lalu melaungkan: Allahu Akbar dan setelah sampai Asyhadu Anna Muhammadan Rasulullah, mengalir laju air matanya dan Bilal tetap teguh dengan alunan azannya. Suaranya bergegar menusuk ke seluruh hati penduduk Madinah dengan suatu gemaan yang sangat luar biasa dan menggetarkan jiwa masyarakat mukminah sehingga menambahkan kasih sayang terhadap Rasulullah dan bermotivasi untuk menegakkan hak ubudiyah kepada Allah. Itulah azan terakhir Bilal yang dilaungkan sebelum dijemput mengadap Allah."
Azan adalah cas penambahbaikan iman umat Islam setiap hari. Setiap kali azan dilaungkan maka setiap kali itulah berlakunya Tarbiyah Imaniyah agar umat Islam pasakkan kemantapan akidah, didik sebenar-benar wala' dan kecintaan terhadap Allah juga Rasul dan latihan patuh terhadap arahan Allah. Jika melalui seruan azan umat Islam berjaya laksanakan tuntutan tersebut sudah pasti tidak lahir manusia yang membenci serta menghina ajaran agamanya sendiri. Kita kesal apabila masih ada di kalangan umat Islam yang memperli dan berusaha untuk tidak menjunjung tinggi suruhan Allah dalam perkara agama khasnya yang berkait dengan pelaksanaan undang-undang Allah kepada penjenayah.
Apabila umat Islam sendiri yang tidak mendidik hati dan jiwa mereka melalui Tarbiyah Imaniyah ini, sudah pasti orang bukan Islam akan semakin jauh daripada dakwah Islam dan di kalangan mereka akan ada yang semakin menghina hukum dan syiar Islam. Lihat sahaja tindakan Alvin Tan yang mengumandangkan azan secara berlagu dengan iringan piano dan menonjolkan lambang salib di dadanya serta disiarkan secara terbuka adalah sangat melampau dan merupakan penghinaan ke atas agama juga umat Islam. Jagalah semua penjuru agama kita, insya-Allah musuh Islam pasti gentar dan gerun untuk mempersendakan agama Allah.
~Asri ed-Diwanie~
4 Rejab 1436
0 comments: