USRAH WHATSAPP (USWAH) SIRI 92


Dalam Risalah Al-Ikhwan Al-Muslimun Tahta Raayatil Quran hasil tulisan Al-Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna telah menegaskan tentang prinsip perjuangan bagi pejuang islam yang wajib dipegang:

"Sesungguhnya kamu telah berdakwah dan berjihad. Demi sesungguhnya juga kamu telah melihat hasil usaha kamu yang sekian lama dengan lahirnya golongan yang melaungkan perjuangan tegakkan islam sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW dan telah bangunnya sistem pemerintahan berteras Al-Quran. Kamu juga melihat kebangkitan perjuangan islam, kerja yang ikhlas, jasad yang berlumuran darah dan kehendak tinggi untuk mati syahid fisabilillah. Inilah kejayaan tertinggi yang telah kamu perolehi melebihi daripada apa yang kamu nantikan lagi dan lagi. Maka teruskan jihad kamu dan bekerjalah hanya kerana Allah dan ketahuilah Allah bersama kamu".

Perjuangan Islam adalah suatu yang sangat mulia dan jalannya diredhai Allah. Maka apa sahaja yang diperjuangkan demi Islam sama ada berjaya atau tidak bukanlah menjadi ukuran sebenar. Kita hanya ditaklifkan untuk tegakkan hukum Allah dan bukan mempersoalkan menang atau kalah. Kadang-kadang kita tidak sempat pun melihat kemenangan didepan mata kita. Itulah sunnah perjuangan yang sentiasa menguji perasaan dan kekentalan iman.

Hari ini kita diberitakan bahawa masih belum berjaya perjuangan untuk membawa usul pindaan akta 355 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Orang yang beriman tidak akan luntur semangat, tidak kecewa bahkan bersyukur kerana usul tersebut sudahpun masuk ke Parlimen! Ini adalah suatu kejayaan yang sudah besar bagi pejuang islam. Yakinlah bahawa masa yang berbaki ini sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang adalah masa untuk penerangan dan dakwah bagi meramaikan lagi sokongan masyarakat kepada pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah. Bekerjalah dan jangan berhenti! Infiru!

Asri ed-Diwanie 
19 Jamadil Akhir 1436

0 comments: