MASA DEPAN PAS MENURUT ACUAN ALLAH - PRESIDEN PAS


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

WACANA yang dijadikan sebagai medium kempen dan penonjolan calon tertentu pemilihan sesi 2015-2017 mewarnai pra Muktamar Tahunan PAS Kali ke-61. Keghairahan tersebut menyaksikan soal nasib dan takdir berkait masa depan PAS dan gambaran PAS di masa depan menjadi tema perbicaraan. Malah turut dikemukakan agenda politik baru dengan menghambat perspektif peluang, harapan dan cabaran.

Namun, PAS sebagai parti politik Gerakan Islam hakikatnya terikat dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ikuti pembentangan penuh pencerahan dari Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membicarakan tema seumpama yang dipandukan beliau dengan dalil al-Quran, hadis serta kebijaksanaan dan pengalamannya mendakap realiti politik hari ini.


Pergantungan Kepada Allah

Menurut beliau, PAS sebagai parti dan jamaah Islam wajib meletakkan harapan kepada Allah SWT kerana kemenangan perjuangan Islam itu adalah kurniaan daripada Allah.

Pun begitu katanya, tidak dinafikan juga betapa perlu akan kekuatan diri dan jamaah, keahlian ramai, pentadbiran tersusun, keupayaan kewangan, tahaluf siyasi dan persefahaman dengan banyak pihak.

“Tidak dinafikan kita boleh menang dengan kelemahan lawan kita, tetapi itu hanyalah perkara-perkara sampingan yang tidak boleh ditaruh harapan untuk mencapai kemenangan.

“Allah SWT telah mendidik generasi awal Islam, bahawa pergantungan kepada ramainya pengikut, kekuatan diri pada zahirnya yang dibanggakan, tidak boleh memberi kemenangan kalau tidak mendapat pertolongan Allah,” terang beliau mengaitkan hal itu dengan peristiwa Uhud dan Hunain.

Malah katanya, Allah mengajar kemenangan Islam di Andalus hasil daripada kelemahan musuh, namun kemenangan itu kemudiannya ditenggelamkan oleh Allah SWT sehingga tidak bangkit lagi sampai ke hari ini.

Oleh itu, beliau mengajak supaya memahami perkara tersebut sebagai harapan sebagaimana janji yang dinyatakan Allah SWT dalam ayat 55 surah an-Nur

“Allah berjanji kepada orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh daripada kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang kurniakan kuasa memerintah di atas muka bumi. Sebagaimana Dia jadikan orang-orang sebelum mereka kahlifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama Islam yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”


Memenuhi Syarat Kelayakan

Ujar Tuan Guru, Allah menjanjikan harapan itu dicapai sekiranya para pejuang Islam menunaikan syarat dengan memenuhi kelayakan untuk ‘menerima kemenangan dan mengisi kemenangan’.

Syarat pertama katanya, mestilah ada kumpulan di kalangan orang beriman yang menyambung risalah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Iaitulah mereka yang menegakkan Islam sepenuhnya di dalam diri, keluarga, masyarakat sehingga mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT. Di atas asas inilah ditubuhkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Kewajipan kita adalah mengisi jamaah ini dengan syarat-syarat dikehendaki oleh Allah SWT yang dijanjikan kemenangan. Kemenangan dunia dan kemenangan di hari akhirat.

“Kemenangan dunia berjaya mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT. Kemenangan akhirat syurga yang kekal abadi dan inilah kemenangan paling besar,” jelas beliau.

Oleh kerana itu katanya, Allah mensyaratkan harga bayaran yang mahal ditunaikan, kerana natijah dijanjikan Allah bagi memenuhi harapan itu juga sesuatu sangat mahal harganya.

Ujarnya, Allah tidak menghendaki harga itu dibayar dengan dunia dan isinya, tetapi dibayar mengikut kemampuan pada diri pejuang Islam dengan izin Allah SWT.

Menurut beliau, Allah telah mengajar generasi awal Islam menghadapi peristiwa Uhud dengan jumlah tentera Islam lebih besar dan lebih bersemangat daripada Badar, lantaran Badar itu dimenangi setelah keanggotaan yang sedikit mengalahkan musuh lebih ramai.

“Apabila mereka melanggar syarat, tidak mentaati Allah dan Rasul, Allah mengajar mereka dimusnahkan dengan ujian-Nya. Perjuangan tidak musnah tetapi ada yang mati dan ada yang luka untuk mengajar dan mendidik mereka,” ujar Tuan Guru.

Beliau memetik pengajaran ayat 25 surah at-Taubah berkenaan peristiwa Hunain di mana tentera Islam berjumlah lebih 10,000 merasa sombong dengan jumlah mereka hingga kemudiannya mereka bertempiaran lari.

Tegasnya, dengan sebab itulah harapan kepada Allah adalah penting dan tidak patut diputuskan sekali-kali dalam keghairahan mendapat banyak kebendaan atau pengikut yang ramai.


Sempadan Bertahaluf

Tuan Guru turut memetik mengenai tahaluf sebagaimana berlaku dalam peristiwa Ahzab melibatkan orang Yahudi yang telah memeterai Perjanjian Madinah dengan Rasulullah SAW.

Dalam masa sama katanya, wujud golongan munafiqin yang mengambil kesempatan; menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan di mana mereka juga meramaikan jamaah masjid.

“Apabila Allah menguji peristiwa Ahzab, kemenangan tidak boleh dicapai dengan mudah. Kemenangan memerlukan ujian. Maka, mereka yang bertahaluf ini tidak berjaya dalam ujiannya. Disingkirkan oleh Allah dan orang Islam mesti menyingkirnya.

“Tidak boleh menggantungkan harapan kepada rakan-rakan tahaluf untuk mencapai kemenangan. Nabi bertahaluf dengan Khuzaah, bertahaluf dengan Bani Khuraizah, Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan berbagai-bagai kabilah Arab.

“Khuza’ah kekal di dalam tahaluf sehingga masuk Islam. Ada yang kekal dalam tahaluf tak masuk Islam. Berada di bawah Kerajaan Islam. Ada yang menunjuk sifat-sifat yang negatif kepada perjuangan Islam. Mereka disokong oleh orang-orang munafiq yang ada dalam kumpulan Islam,” terang beliau.

Allah memberi peringatan:
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahwa mereka akan mendapatkan siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di samping orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.” (an-Nisa: 138-139)

Menurut Tuan Guru, Allah SWT mendedahkan di dalam al-Quran kedapatan mereka yang menganjur majlis al-Quran, tetapi bukan untuk percaya dengan ayat al-Quran, sebaliknya mereka menentang.

Oleh itu tegasnya, Allah melarang orang beriman untuk hadir ke majlis seumpama kerana demikian akan terbabit seperti mereka.

“Tetapi ada hadir untuk meramaikan konon. Hadir untuk dengar konon. Berasa bijak sangat. Kecuali mereka yang ditugaskan oleh parti, boleh hadir. Yang tak ditugaskan oleh parti, tidak mustahil dirasuk oleh was-was syaitan yang boleh merosakkan pendirian mereka.

“Ini tarbiah daripada Allah SWT. Inilah yang kita sedang alami dalam perjalanan. Al-Quran adalah mukjizat. Al-Quran adalah ‘hudanlinnas’ Petunjuk kepada manusia sehingga hari Kiamat. Bukan sahaja di zaman Nabi SAW termasuk hari ini sehingga hari Kiamat. Hidayat sehingga hari Kiamat,” perjelas beliau.


Bina Kekuatan Sendiri

“Tidak dinafikan kita perlu mengambil dan melihat kelemahan yang ada pada musuh, tetapi jangan kelemahan itu menjadi harapan kita. Kita mesti membina kekuatan jamaah kita sendiri. Menang dengan kekuatan kita. Bukan menang dengan lemah musuh, kita juga lemah.

“Tidak ada erti kerana kemenangan kita untuk mengislah, bukan untuk ambil kemenangan semata-mata. Tujuan kita bukan untuk ke Putrajaya. Duduk atas kerusi, dalam ‘office’, ‘aircond’ yang baik. Tujuan kita ialah untuk menyelamatkan rakyat dengan islah.

“Kita mesti faham ada orang kata peluang kita ke Putrajaya sekali sekarang ini. Pergilah, nak pergi sekarang pun boleh. Boleh pergi. Tetapi kita ada tujuan, ada matlamat,” tegas Tuan Guru.

Menurut beliau, PAS berpandangan bahawa kelemahan yang ada pada Umno pada hari ini seperti isu Tabung Haji adalah mengulangi kelemahan-kelemahan lama dan sama sebagaimana dahulu.

Katanya, KWSP, Petronas, Skyhawk, Perwaja, Maika Holding dan pelbagai kelemahan zaman Perdana Menteri sebelum-sebelum ini hanya mengulangi senario serupa.

Demikian itu ujarnya, jika turunnya Perdana Menteri ini, akan naik Perdana Menteri baru dari Umno juga yang akan mengulangi kelemahan sama.


Aslim Taslam

Ke arah menyelesaikan masalah seperti itu katanya, maka beliau menyeru supaya pengislahan yang diajar oleh Nabi SAW dilakukan iaitulah “Aslim taslam”, merujuk kepada “Ikut Islam, akan selamat”, sebagaimana surat Baginda kepada Raja-raja.

“Surat Nabi kepada Raja Parsi, kepada Raja Rom, Raja Habasyah, Raja Mesir, Raja Muscat dan Oman. Semua surat ini menyeru “Aslim taslam”. Kalau kamu ikut Islam, kamu selamat. Bukan kami nak dapat kuasa. Bukan kami nak berebut kerusi. Kami nak suruh kamu ikut Islam. Selesaikan masalah.

“Apabila Raja Habasyah ikut Islam, dikekalkan dia jadi raja. Raja Bahrain ikut Islam, kekal jadi raja. Raja Muscat ikut Islam, kekal jadi raja. Raja Parsi, raja Rom tak ikut Islam dihadapnya habis-habisan sehingga tumbang raja-raja itu.

“Ini yang diajar oleh Islam. Bukan kita nak berebut kerusi. Tujuan kita nak meletakkan islah di dalam masyarakat,” jelas Tuan Guru.

Memetik sirah usaha Rasulullah menjalin hubungan dengan Bani Amir, wakil kaum itu telah mengajukan bahagian yang akan diperolehi pihaknya dari pemerintahan tersebut, lalu dijawab Baginda, “Pemerintahan itu bagi Allah. Allah kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

Pendirian tersebut ujar Tuan Guru, menyebabkan Bani Amir enggan menjalin hubungan dengan pihak Islam sekaligus menolak seruan Baginda.

Sebab itulah katanya, perjuangan ini bukanlah mengikut telunjuk mereka yang hanya mahu mengambil kerusi pemerintahan, sebaliknya untuk menunaikan perintah diamanahkan Allah SWT di mana ke arah itu, PAS mesti membuat persediaan.


Mengikuti ‘Roadmap’ Allah

Terang Tuan Guru Abdul Hadi, sebagai hamba manusia mesti memberi harapan kepada Allah dan Allah pasti menunaikan harapan itu sebagaimana dijanjikan-Nya.

Ujar beliau, dalam keghairahan menyediakan jalan dan rancangan sendiri, Allah SWT telahpun meletakkan ‘roadmap’ dan manusia mesti merujuk kepada perancangan Allah itu.

Firman Allah SWT: 
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.” (at-Taubah: 33)

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, Islam pasti akan naik suatu hari nanti, di mana pasang-surut yang berlaku adalah untuk menzahir dan mengatasi segala ajaran-ajaran lain, sama ada agama, ideologi, teori, perundangan mahupun cara hidup.

“Islam akan naik tinggi menguasai walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”

“Roadmapnya, kamu sumbangkan modal. “Kamu beriman kepada Allah dan Rasul serta berjihad dijalan-Nya dengan harta dan jiwamu.” Inilah asas dan tonggak iaitu beriman kepada Allah dan Rasul. Seterusnya berjihad dengan makna kesungguhan mengorbankan nikmat yang diberi oleh Allah dengan harta dan diri,” ujar beliau memetik ayat 10 dan 11 surah as-Saff itu.

Jelas Tuan Guru, Allah menyebut harta dahulu kemudian diri untuk ditunaikan sebagai sumbangan dari nikmat yang paling manusia sayangi ke arah meninggikan agama Allah SWT bagi memenangkan Islam.

Keuntungan dari pelaburan itu ujarnya, Allah mengampunkan dosa-dosa manusia dari kealpaannya mencari harta dan pergaulan.

“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya. (Iaitu) Syurga-syurga kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat,” ujarnya memetik ayat 75 dan 76 surah Thaha.

Tegas Tuan Guru, kemenangan paling besar iaitulah setelah meninggal dunia dan di hari akhirat, serta kemenangan sebagaimana diharapkan manusia di atas dunia hasil dari pertolongan Allah di mana waktu itu semakin hampir sebagai berita gembira kepada orang beriman.


Melengkapkan Kewajipan

Menurut beliau, Allah menjanjikan kemenangan akhirat dan dunia dengan syarat mestilah ditunaikan kewajipan harta dan diri untuk meninggikan agama Allah, di mana semua itu adalah ujian Allah kepada manusia yang hanya boleh ditunaikan oleh orang-orang beriman.

Tegasnya, tanpa keimanan bermakna tidak akan menerima janji Allah di mana keimanan itu juga mestilah mengikuti adab dan akhlak diatur oleh Allah iaitulah bukan hanya sanggup menyumbangkan harta, jiwa dan raga, tetapi mestilah ikhlas, faham, wala’ dan taat.

“Mestilah dengan adab berjamaah. Mesti ikhlas kerana Allah Taala bukan kerana nak dunia. Dunia Allah Taala bagi, jangan takut. Ada orang bimbang tak dapat dunia, jadi tak ikhlas. Apabila tak ikhlas, maka tak cukup syarat.

“Belum apa-apa sudah ada niat dalam hati. Dapat kereta, dapat kemewahan dan projek. Projek ada, akan tiba masanya. Belum tiba sudah letak dalam kepala lupa kepada Allah Taala. Ini tidak boleh. Ini silap. Allah Taala bersihkan hati kita daripada tidak ikhlas ini.

“Mesti faham jangan tidak faham. Faham apa dia Islam. Apa dia perjalanan kita. Apa dia cabaran-cabaran. Jangan tak faham. Mesti wala’ setia kepada jamaah, jangan tak setia. Jangan “loq laq loq laq” sekali begitu, sekali begini.

“Mesti setia kepada jamaah dan mesti taat ketaatan kepada Allah dan Rasul dan kepada kepimpinan dalam jamaah itu. Ini sangat penting,” terang Tuan Guru.



Kemenangan Pasti Tiba

Menurutnya, setelah ditunaikan semua itu dan dipenuhi syarat-syarat, maka Allah Taala pasti memberi kemenangan, seterusnya perlu pula untuk mengisi kemenangan.

Ujar beliau, kemenangan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dan merupakan suatu kekuatan.

“Jangan kita bimbang. Hari ini orang bimbang kalau Islam menang nanti seluruh dunia akan kepung. Kalau Islam menang seluruh dunia akan bendung. Kalau Islam menang cabaran sangat besar. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Nabi SAW.

“Kalau bagi kepada Islam Terengganu, Kelantan, habislah. Dah 20 tahun, tak habis pun Kelantan. Boleh bertahan. Terengganu walaupun kita tumbang, tak habis lagi Terengganu. Kekuatan kita masih ada, tak habis. Bahkan Terengganu ada asas yang kukuh.

“Terengganu negeri yang paling akhir dijajah oleh British. Negeri yang pertama dimenangi oleh PAS tahun 1959 sebelum Kelantan. Cuma kejatuhan Terengganu terlalu cepat. Ada kelemahan yang perlu kita baiki. Kelantan boleh bertahan, ada asas kekuatan pada mereka yang kita kena belajar. Kita ada asas untuk menang. Jangan bimbang.

“Pemimpin Makkah kata tidak ada harapan untuk menang. Kalau menang hancur Makkah. Tuhan kata mereka tak sedar, Kami yang meletakkan asas kepada mereka di Makkah ini rezeki yang melimpah ruah.



Acuan Mendirikan Negara

Menurut Tuan Guru, manusia hari ini di seluruh dunia meletakkan kekuatan kewangan, ekonomi, kebendaan dan kekuatan rakyat sebagai acuan mendirikan negara.

Sedangkan katanya, Allah berfirman dalam surah Quraisy “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

Jelasnya, ayat tersebut menekankan perkara pertama adalah kekuatan keimanan, diikuti kekuatan ekonomi dan seterusnya kekuatan politik.

Ujar Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu, kekuatan ekonomi dan politik mestilah dibina di atas iman dan taqwa sebagai acuan yang diatur oleh Allah SWT.

Terangnya, ‘acuan Allah’ sangat penting kerana Dialah yang mencipta manusia dan tahu segalanya mengenai manusia di mana terdiri dari jasad, roh dan akal.

Malah katanya, manusia hidup sendiri, berkeluarga dan bermasyarakat di mana dengan sifat-sifat yang ada itu, manusia layak bertugas di atas muka bumi dan bukannya malaikat, jin atau haiwan.

“Tetapi mestilah mengikut acuan pembangunan manusia yang diatur oleh Allah Taala. Keperluan jasad, roh dan akal. Ini kena ada pada Islam. Tidak ada pada yang lain,” tegasnya.



Muhasabah Dunia Islam

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, dunia Arab hari ini kaya-raya dan duit melimpah-ruah tetapi meninggalkan Islam.

Ujarnya, negara-negara Arab menghimpunkan wang dengan banyaknya setelah 10 tahun merdeka daripada Turki Uthmaniah yang dianggap mereka sebagai penjajah lalu menjatuhkannya dengan bantuan kuasa-kuasa Barat untuk memerdekakan Arab di atas nama Nasionalisme Arab.

Negara-negara Arab katanya, seperti Saudi, Qatar, Dubai, Emirates dan Kuwait menyambut hari kebangsaan dari penubuhan negara setelah mereka menghalau Kerajaan Uthmaniah.

“Merdekalah mereka dengan duit yang banyak, minyak melimpah-ruah, harta yang banyak. Apa yang berlaku pada hari ini? Mereka tidak bangkit sebagai satu ummat yang perkasa dan kuat untuk memimpin dunia Islam.

“Sepatutnya merekalah yang memimpin dunia Islam. Al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka. Nabi bangsa mereka. Makkah duduk di bumi mereka. Merekalah yang patut. Tetapi mereka membakar diri sendiri. Berperang, berbalah sesama sendiri.

“Senjata beli dari tokeh senjata. Tokeh senjata letak berapa harga sanggup bayar. Dia berperang, dia yang mati. Senjata dari orang lain, duit bagi orang. Apalah kebodohan yang sampai begini berlaku. Puncanya kerana meninggalkan Islam. Maka Islam sangat penting,” tegas beliau.



Teguh Dengan Islam

PAS ujar Tuan Guru, mesti buktikan kepada rakan-rakan dalam tahaluf siyasi ia tegas dengan Islam dan tidak akan berganjak sama sekali dengan agama itu.

Katanya, Komunisme dan Sosialisme yang menggunakan tenaga manusia sebagai kilang-kilang untuk menjana ekonomi terbukti telah gagal di mana pemimpin Komunis dan Sosialis menjadi lebih ganas dari negara Kapitalis sendiri.

Sedangkan di negara Kapitalis pula menurutnya, harta digunakan untuk kemewahan golongan-golongan tertentu di mana pihak lain menjadi mangsa pada golongan lebih kaya.

“Semua teori ini sudah gagal. Sepatutnya kita kena ajak orang Cina, India, Iban yang bukan Islam, ajak kepada Islam. Masuk Islam, selamat dunia sampai akhirat. Tak mahu masuk Islam, ikut Islam, selamat dunia sahaja. Akhirat serah kepada Tuhan.

“Kalau mereka (orang bukan Islam) boleh ikut Komunis, boleh ikut Sosialis, berjuang masuk hutan sanggup mati, ikut Karl Marx Yahudi Jerman, boleh berjuang di atas ideologi yang diimport daripada Barat, mengapa tidak boleh menegakkan Islam bersama dengan kita? Ini sangat penting,” ujarnya menjentik fikiran.



Peluang Dan Harapan

“Alhamdulillah, kejayaan kita memerintah di Kelantan sehingga kini, di Terengganu dalam masa satu penggal. Memimpin Kerajaan Negeri Kedah satu penggal. Di Perak setahun. Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang-orang bukan Islam.

“Mereka mula nak intai, nak tengok kita dan sudah ramai yang masuk (menyertai) kita. Kita binakan yang masuk kita ini kekuatan kepada parti untuk menjana kehebatan yang boleh memberi kemenangan kepada kita. Seterusnya kita panjangkan lagi kepada mereka yang tak masuk kita dengan berbagai-bagai pendekatan yang diajar oleh Islam.

“Islam mengajar pendekatan yang banyak bukan tahaluf sahaja. Oleh kerana kita baca tahaluf sahaja, pendekataan tahaluf persefahaman dalam titik persamaan. Ini satu. Ini boleh dengan orang bukan Islam, termasuklah kerjasama dalam isu-isu kemanusiaan. Ini boleh.

“Berdialog. Ini boleh. Berdebat dengan hujah yang baik. Ini tanggung jawab kita. Kita mesti jadi parti yang terbuka. Parti yang positif. Bukan parti yang tertutup. Parti yang bersikap negatif terhadap semua orang. Ini tidak boleh.

“Ini tanggung jawab yang mesti kita tunaikan. Ini adalah satu peluang yang sangat besar yang diberi kepada kita oleh Allah SWT,” ujarnya menyatakan harapan

23 comments:

RENUNGAN MALAM: BETULKAN NIAT BERJUANG


Apabila sahabat bertanya; ada orang berjuang kerana berani. Ada yang kerana semangat. Ada yang ingin mendapatkan habuan. Ada yang ingin dilihat kedudukannya. Ada yang ingin disebut namanya. Siapakah yang berada di jalan Allah? Nabi menjelaskan

َ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

"Sesiapa yang berjuang supaya kalimah Allah yang tertinggi maka dialah yang berada di jalan Allah." Hadis Bukhari.


Rupanya rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Justeru, perlu kita bertanya untuk apa kita berjuang menghabiskan masa, tenaga dan harta dalam politik Islam ini? Jawapannya ialah supaya agama Allah tertegak dan menang menjadi yang tertinggi dirujuk dalam segala urusan pentadbiran. Bukan juga hanya kerana bencikan mana-mana golongan atau hanya untuk menjatuhkan mana-mana puak.


Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 28hb Mei 2015.
Muar 9 mlm.

0 comments:

Siaran Langsung Kuliah Dhuha 10 Syaaban 1436/ 29 Mei 2015 Oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang


Jemput dengar..

Kuliah Dhuha ( 10 Syaaban 1436/ 29 Mei 2015) oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (9.00 pagi -10.30 pagi)

Bahagian Pertama - Kuliah Bab Beriman dengan Al-Quran
Bahagian Kedua - Kuliah Kitab Riadussolihin
Bahagian Ketiga - Kuliah Tafsir


Tonton di:
1. https://youtu.be/M89tsAGzGzA
2. http://www.terengganukini.net


Dengarkan melalui: 
1) Laman web www.hijau.fm
2) Aplikasi Android Hijau.fm
3) Aplikasi Android PAS Touch 'N Get
4) Aplikasi Tune In (Search Hijau.fm, set as Favourite)


Like Facebook Terengganukini https://facebook.com/terengganukini.net
Like Facebook Hijau.fm facebook.com/hijau.fm 
Follow twitter Hijau.fm www.twitter.com/hijaufm


Sebarkan....Terima Kasih.

0 comments:

SAHAM FGV : KERAJAAN JANGAN HANYA TUTUP MULUT


KENYATAAN MEDIA
NASRUDIN HASSAN
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia

28 Mei 2015 | 10 Sya’ban 1436


‘SAHAM FGV : KERAJAAN JANGAN HANYA TUTUP MULUT’


Kerajaan Malaysia tidak wajar berdiam diri setelah harga saham FGV merudum ke paras paling teruk sehingga RM 1.92 sen seunit hari ini. Berdasarkan prospektus FGV, pelbagai perancangan direncana sehingga menjadikan tawaran awam permulaannya (IPO : RM 4.55 sen) antara yang terbesar di Asia. Harganya pernah melonjak sehingga RM 5.50 sen sesaham pada 7 Julai 2012 iaitu iaitu ketika perasmian bangunan Menara FELDA yang baru dan sambutan Hari Peneroka. Maknanya, tidak sampai sebulan selepas pelancaran IPO-nya pada 27 Jun 2012.


Walau bagaimanapun, ia mula jatuh sekitar RM 4.60 sen seunit pada Suku Pertama 2014, RM 2.21 sen seunit pada 23 Disember 2014 dan secara konsisten merudum sehingga ke hari ini, 28 Mei 2015 (RM 1.92 sen). Tren ini membimbangkan! Malah, kebanyakan institusi penyelidikan komersial seperti Maybank Investment Bank Research, Affin Hwang Capital dan lain-lain menjangkakan prestasi buruk ini akan berlarutan sehingga tahun kewangan 2017. Hampir kesemuanya membuat panggilan ‘hold’ dan meletakkan sasaran harga yang lebih rendah.


Sebanyak 75 peratus bisnes teras FGV bergantung kepada komoditi minyak kelapa sawit. Kini, ia terdedah kepada penurunan harga pasaran dunia, perubahan iklim yang tidak stabil terutama hujung tahun lalu dan kekurangan produksi. Maka, pihak pengurusan FELDA dan Kerajaan Malaysia harus meneroka ruang bisnes yang lebih pelbagai disamping mengukuhkan beberapa bisnes hiliran sepertimana yang dirancang dalam prospektus FGV dua tahun yang lalu.


Oleh yang demikian, saya ingin tegaskan bahawa pihak Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap nasib badan berkanun yang kepentingannya dimiliki hampir 2 juta peneroka ini. Kebanyakan sahamnya turut dimiliki oleh dana awam seperti Lembaga Tabung Haji (8%), KWSP (8%) dan KWAP (7%). Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan umum dan prestasi institusi utama negara.


Sekian, terima kasih.

0 comments:

MEMORANDUM ISU PEMBELAAN ETNIK MINORITI ROHINGYA




Kepada,

MENTERI LUAR NEGERI, MALAYSIA
KHAMIS | 27 Mei 2015


Melalui,

YB NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AHLI PARLIMEN PASIR MAS



Memorandum ini diserahkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri untuk menyatakan sokongan padu terhadap resolusi United Nations General Assembly yang telah disepakati pada 29 December 2014. Kerajaan Myanmar telah didesak untuk mengiktiraf kerakyatan penuh etnik minoriti Muslim Rohingya, menghentikan penindasan terhadap mereka dan memberikan layanan yang adil sebagai rakyat Myanmar yang bebas merdeka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memandang serius mengenai krisis ini. Setiausahanya, Ban Ki-Moon menyifatkan tindakan Kerajaan Myanmar sebagai satu ancaman terancang, genosid dan penghapusan etnik. Sehingga kini, hampir 2 juta orang etnik minoriti Muslim Rohingya telah dihalau sejak 1948, seramai 140,000 orang sedang mendapatkan perlindungan di kem pelarian dan lebih 5,000 orang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka. Ini bukti keseriusan tekanan hak terhadap minoriti Muslim dan tragedi kemanusiaan yang melampau!

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berikrar akan menjadikan isu ini sebagai agenda penting dalam mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC yang sedang berlangsung hari ini di Kuwait. Malah, OIC juga akan memobilisasi beberapa kepentingannya untuk membela pelarian etnik minoriti Muslim Rohingya termasuk telah menghantar Duta Khas OIC ke Myanmar bagi mengambil tindakan yang lebih terperinci di peringkat serantau.


Sebaliknya, tindakan sistematik dan kolektif di peringkat ASEAN masih perlahan. YAB Perdana Menteri tidak langsung menyuarakan perihal nasib etnik minoriti Muslim Rohingya di Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 27 April 2015 yang lalu. Sementara itu, YAB Timbalan Perdana Menteri hanya mahu krisis ini diselesaikan secara peringkat domestik Kerajaan Myanmar tanpa dibebankan kepada negara-negara ASEAN.



Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tidak harus bersikap apologetik dan pasif dalam hal ini. Ia bukan tindakan intervensi konflik dalaman sesebuah kedaulatan negara, tetapi ia adalah tanggungjawab untuk membela golongan mustadh’afin yang dizalimi dari buminya sendiri. Ia telah menjadi tanggungjawab kolektiviti di peringkat rantau ASEAN untuk bertindak lebih tegas bagi menekan Kerajaan Myanmar yang terus menerus menghapuskan etnik minoriti Muslim Rohingya secara sistematik.

Malaysia boleh mengambil inisiatif dengan menghimpunkan gerakan-gerakan sivil, ahli-ahli Parlimen Islam, kumpulan anak muda dan pakar akademik di rantau ASEAN bagi membincangkan secara serius perkara ini. Malah, secara drastik, Malaysia wajar memanggil sidang tergempar ASEAN untuk mengimbangi tindakan autokratik Myanmar terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya. Memberi perlindungan sementara terhadap pelarian tidak akan menyelesaikan akar masalah, sebaliknya ia akan menimbulkan lebih banyak dampak sampingan seperti pemerdagangan manusia dan sindiket jenayah antarabangsa.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


Ustaz Khalil Abdul Hadi 
Timbalan Ketua 
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Ir Khairil Nizam Khirudin
Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


Ustaz Syarhan Humaizi
Ketua, Dewan Pemuda PAS Selangor


Ustaz Yusaini Yahya
Ketua, Dewan Pemuda PAS Perlis


YB Ustaz Mohd Azam Samat
Ketua, Dewan Pemuda PAS Kedah


Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden
Ketua, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang


Ustaz Mohd Akmal Kamarudin
Ketua, Dewan Pemuda PAS Perak


Ustaz Kamaruzaman Abdullah
Ketua, Dewan Pemuda PAS Terengganu


Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
Ketua, Dewan Pemuda PAS Kelantan


Ustaz Hazmi Dibok
Ketua, Dewan Pemuda PAS Pahang

0 comments:

Catatan Dhuha 27 Mei 2015




Cuba rileks kejap!. Seminit aja. Cuba tanya diri kita, sebab apa kita menyertai PAS. Saya yakin semua yang menyertai PAS kerana dasarnya Islam. Bukan kerana marah dengan UMNO, bukan kerana kalah merebut jawatan, bukan kerana hendak bertanding, bukan kerana hendak dapat projek kalau PAS menang, bukan kerana kagum dengan individu dalam PAS. Kalau itu tujuannya, sila betulkan kompas anda supaya tidak tersasar. Bimbang sia-sia sahaja kita berjuang. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 
9 Sya'ban 1436/ 27 Mei 2015 Rabu.

0 comments:

Kenyataan Media: TPM Dicabar Letak Jawatan


1. Saya menyokong penuh saranan yang dibuat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad bahawa Menteri Kabinet perlu letak jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang sudah dibuat. Dalam hal 1 MDB, ia bukanlah bebanan yang ditanggung PM Najib bersendirian kerana ia keputusan bersama yang diputuskan oleh jamaah menteri. 


2. Sepertimana video yang telah tersebar iaitu rakaman ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendesak seluruh ahli lembaga 1 MDB dipecat dan CEO nya disiasat polis maka jelaslah TPM sendiri tidak seiring sejiwa dengan PM. Beliau sendiri menzahirkan kekecewaan dan kerisauan berkenaan isu 1 MDB ini yang akan menyebabkan UMNO hilang sokongan rakyat. Atas nama prinsip tanggungjawab bersama, apabila TPM sudah tidak mampu bersetuju dengan PM maka adalah lebih baik Tan Sri Muhyidin Yassin berundur dan meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.


3. Hal ini turut disuarakan oleh Ahli Parlimen veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan bahawa seluruh kabinet bertanggungjawab atas skandal 1 MDB kerana ia adalah keputusan bersama yang diputuskan kabinet. Saya amat mengharapkan Tan Sri Muhyidin punyai jiwa besar dan keberanian untuk meletakkan jawatan. Usahlah menangguk di air yang keruh demi mengambil kesempatan untuk menaiki takhta nombor satu negara jikalau PM Najib berundur terlebih dahulu. 


4. Contohilah sifat berani Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang sedia meletakkan jawatan beliau atas kekangan yang dihadapi di institusi Parlimen. Atas keberanian itu, barulah PM Najib membuka mata dan bertindak dengan segera. Justeru, saya menyatakan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia sedang menantikan penuh teliti segala keputusan yang akan diambil oleh pihak kerajaan khususnya PM dan TPM berkenaan skandal 1 MDB ini. Bertindaklah segera sebelum terlambat.



YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

27 Mei 2015

0 comments:

Laporan Audit Projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB)


Laporan Audit Projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB)
27hb Mei 2015

Pemuda PAS Pusat telah membuka akaun PRB sejurus selepas banjir besar melanda Kelantan Disember 2014 untuk tujuan membina Rumah Budiman. Akaun atas nama Tabung Kemanusiaan Pemuda (nombor akaun 564025400100 - Maybank). Akaun ini dibuka sehingga 30hb bulan Jun 2015.

Setakat akhir April 2015 sumbangan yang diperolehi adalah RM576,216.25. Perbelanjaan yang ditelah dikeluarkan adalah RM203,715.28. Item perbelanjaan terbesar adalah kos pembinaan sebanyak RM190,249.00 melibatkan pembinaan 8 buah Rumah Budiman. Baki akaun adalah sebanyak RM372,500.97

Penyata penerimaan dan perbelanjaan PRB telah di audit oleh Juruaudit Bertauliah Muzammil Bin Hafiz. Atas rasa tanggungjawab Pemuda PAS terhadap duit rakyat yang diamanahkan maka kami bentangkan laporan penerimaan dan perbelanjaan PRB sehingga 30hb April 2015 untuk rujukan semua. Bersama ini disertakan laporan yang berkaitan.




SUHAIZAN BIN KAIAT
KETUA PEMUDA PAS PUSAT

0 comments:

OPERASI SAMAN TRAFIK DAN PEMENJARAAN: SAYA PROTES DAN MENYERU RAKYAT KE ARAH NEGARA YANG LEBIH BEBAS DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM.




Oleh: Zaharudin Muhammad.

3 meringkuk dalam penjara akibat tidak mampu membayar denda yang dikenakan mahkamah Majistret Trafik kerana pelbagai kesalahan trafik. Muhammad Muhaimin Zubir, 19 tahun, dijatuhi hukuman penjara 28 hari selepas gagal membayar denda RM5,150 bagi 14 pertuduhan.

Antara kesalahan utama mereka-mereka yang dijatuhkan hukuman, ialah tiada lesen memandu, cukai jalan, nombor pendaftaran dan lain-lain.

Anda mungkin masih ingat kes K.Kanagavali telah mencagarkan anaknya kepada Norhidayu Badrol untuk pinjaman RM3,500 bagi melangsaikan 15 saman trafik.

Apa yang saya pertikaikan dalam isu ini bukan saman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan seperti kesalahan memandu secara bahaya, berlumba di jalan raya dan lain-lain.

Apa yang saya seru ialah, kesalahan-kesalahan trafik yang langsung tidak melibatkan bahaya bahkan lebih dilihat untuk tujuan keuntungan kerajaan seperti lesen memandu tamat tempoh selepas setahun, pasang lampu di siang hari, cermin gelap dan seumpamanya.

Kesalahan ini dilihat lebih untuk kerajaan menjadikannya istrumen pengsbtabilan fiskal kewangan negara apabila kerajaan terdesak akibat cukai dan hasil negara yang tidak mencukupi akibat keborosan dan kebocoran serta untuk mengisi kantung korporat yang semakin membesar. Apa tidaknya jika sekali operasi kerajaan dapat mengutip RM2 juta satu hari? Apa bisnes yang lebih lumayan daripada ini.

Jika rakyat mematuhi peraturan, saman semakin kurang, bermakna pendapatan negara juga mungkin akan menurun. Maka tidak hairan jika kerajaan akan cipta satu lagi undang-undang yang menjerat dan menjerumuskan rakyat dalam kesalahan trafik bagi tujuan kerajaan mengutip 'wang lebih'. Mungkin anda masih ingat undang-undang memasang lampu di siang hari pada satu masa dahulu. Apa bahayanya tidak pasang lampu di siang hari?

Cuba anda jawab, apa bahayanya jika lesen anda mati selepas setahun? Adakah anda akan terbabas akibat lesen mati? Cuba anda jawab apa bahayanya jika kereta anda bercermin gelap sekadar ketelusan cahaya 35%? Apa bahayanya jika anda hanya memiliki lesen B2 memandu motor berkuasa 250cc ke atas? Tak ada bahaya. Habis kenapa undang-undang ini dibuat?

Semua undang-undang ini menyusahkan rakyat. Mahu ambil lesen kos yang sangat tinggi. Bagaimana golongan susah di bandar seperti Muhammad Amin nak bayar kos ambil lesen? Kalau di Amerika, anda tak perlu masuk mana-mana driving school dan belajar berbulan-bulan. Cukup seorang introducer yang ada lesen mengakui bahawa dia telah mengajar si calon pemandu, masuk ujian dan bila lulus bayar USD30 (lebih kurang RM105). Di Jepun, lulus sahaja ujian memandu, anda akan mendapat lesen yang tidak akan mati seumur hidup.

Persoalannya, apa yang saya seru? Saya seru anda kepada undang-undang Islam di mana, setiap undang-undang sama ada yagn diketegorikan Takzir atau Hisbah bukan sewenang-wenangnya boleh dibuat oleh kerajaan mentang-mentang mereka ada kuasa. Tetapi setiap undang-undang baru yang tiada kaitan dengan nas Al-Quran dan Sunnah (bukan hudud dan qisas serta kesalahan-kesalahan muamalat), maka kerajaan perlu mengemukakan bukti bahawa kesalahan itu bagi mengelakkan bahaya atau dengan istilah syarak bagi mengelakkan mudharat.

Asas kepada kaedah ini ialah, asal hak seseorang adalah bebas dan kerajaan tidak berhak mencampuri dan menyekat kebebasan rakyat kecuali bagi tujuan mengelakkan mudharat. Justeru itu, apabila kerajaan ingin mengenakan sesuatu undang-undang, maka kerajaan perlu mengemukakan bukti mudharat akibat tiada undang-undang. Dalam konteks hari ini, kerajaan perlu kemukakan kepada hakim negara bukti bahaya dan mudharat. Jika kerajaan tidak mampu buktikan, maka satu kesalahan bagi kerajaan membuat undang-undang yagn dianggap menyekat kebebasan rakyat.

Sebagai contoh, asalnya seseorang bebas untuk terus memandu di simpang-simpang tanpa berhenti. Tetapi jika tiada lampu trafik dan peraturan lampu merah wajib berhenti, maka akan meningkat kemalangan di simpang-simpang jalan. Maka hukuman bagi mereka yang melanggar lampu merah perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan mudharat kemalangan.

Asalnya seseorang bebas untuk memandu di jalan raya umum kerana haknya untuk memandu kereta. Tetapi apabila seseorang yang baru pertama kali bawa kereta, tidak pernah bawa kereta sebelum ini, maka terbukti ia boleh membahayakan orang lain apabila tidak tahu bagaimana nak brek, nak perlahan, nak pecut dan sebagainya. Maka undang-undnag memastikan setiap pemandu ada lesen adalah wajar tetapi dengan kos yang paling minimum. (isu kos adalah isu kewangan berkaitan apa hukum kerajaan mengenakan bayaran yang bukan kos sebenar atau kos yang diada-adakan).

Asalnya, apabila seseorang tidak boleh dipaksa untuk membayar dan menyambung lesen kerana itu adalah hak kebebasan masing-masing. Apabila kerajaan ingin melaksanakan undag-undang bahawa setiap lesen akan mati dan perlu disambung setiap tahun, kerajaan perlu buktikan kepada hakim negara apakah bahaya disebalik lesen yagn tidak disambung tiap-tiap tahun? Jika kerajaan gagal, maka hakim tidak boleh meluluskannya.

Setiap rakyat bebas ingin pakai cermin gelap, warna hitam ke, warna god ke kerana itu hak mereka, kebebasan cita rasa mereka. Apabila kerajaan ingin membuat undang-undang larangan bercermin gelap, maka kerajaan perlu buktikan apakah bahayanya, berapakah kemalangan akibat cermin gelap? Jika gagal bahkan terbukti sebaliknya iaitu cermin gelap menjadi pemandu lebih selesa memandu di panas terik, menjadikan kereta lebih selamat daripada dipecah cerminnya oleh pencuri apabila terdapat barangan berharga di dalamnya, maka menjadi satu kesalahan bagi kerajaan meletakkan cermin gelap sebagai satu kesalahan.

Tapi undang-undang konvensional hari ini kerajaan yang membuat undang-undang tidak boleh dikategorikan salah sebeb mereka adalah pembuat undnag-undang. Tetapi di dalam Islam, pembuat undang-undang bukan kerajaan, bukan ulama tetapi undang-undang Islam dan garis panduan penggubalan undang-undang adalah dibuat dan dicipta oleh Allah, tuhan pencipta alam dan manusia keseluruhannya. Undang-undnag serta garis panduan pembuatan undang-undangNya telah wujud sebelum wujudnya manusia itu sendiri (Qadim), jadi bagaimana manusia boleh pengaruhi undang-undang?

Jom kita sokong undang-undang Islam ke arah kebebasan.

Sekian.

0 comments:

PAS Kawasan Bintulu Menyantuni Mesyarakat Iban Semperna Sambutan Hari Gawai


BINTULU : Kehangatan perayaan Gawai Dayak yang hanya berbaki seminggu sahaja lagi kian terasa. Rata-rata rumah panjang telah melakukan persiapan awal untuk menyambut perayaan terbesar kaum Dayak di Sarawak. PAS Bintulu(PKB) tampil dengan program pra Gawai dengan menyampaikan barangan hamper makanan sebagai ingatan kasih atau jalinan antara PKB dan masyarakat iban di sini.




Dalam program yang dijalankan dalam tempoh 2 hari ini, pihak Pihak PAS telah melunsuri rumah-rumah panjang di sekitar Dun Jepak. Program ini diketuai oleh Tuan Hj Kiprawi Aman, Ketua Penerangan PAS Bintulu.


"keharmonian serta kerukunan antara kaum di Sarawak ini perlu dikekalkan, dan inilah usaha kami(PKB) untuk memastikan PAS mendapat tempat dimata rakyat termasuk dikalangan bukan Islam" kata Hj Kiprawi Aman


Masyarakat iban yang terkenal dengan adat budaya yang menghormati tetamu itu akan terus memberi sokongan demi perubahan kepada mereka di Sarawak.



"PKB juga mahu membuang persepsi buruk sesetengah pihak yang mengaitkan Islam ini ganas, memaksa untuk memeluk Islam dan lain-lain persepsi buruk" tambah Hj Kiprawi Aman.


Masyarakat iban merupakan sebahagian daripada 59% pengundi bukan Islam di Dun Jepak, hak mereka sebagai pengundi perlu dijaga dan inilah konsep "Tanah Airku Sejahtera" melalui program Untukmu Sarawak (UMS). Menurut Ketua Penerangan PKB Tuan Hj.Kiprawi Aman, tiada ruang untuk politik pemisahan dan pilih kasih di Sarawak kerana inilah peluang untuk PAS menonjolkan kekuatannya dalam mengurus masyarakat majmuk dengan mensejahterakan negeri ini.


Harapan PKB, melalui program UMS yang kian memdapat sambutan ini, kekuatan PAS yang nyata berbeza dengan parti lain dalam memerintah akan dilihat dan menjadi pilihan rakyat Sarawak.



Laporan Media dari PAS Bintulu
Lokman Abdul Rahim

NOTA: Gambar pemimpin PAS Bintulu bersama masyarakat Iban di  rumah-rumah panjang di sekitar Dun Jepak


0 comments:

DAP MAHU MENGUASAI PAS MELALUI MUKTAMAR


Tindak tanduk pemimpin DAP mutakhir ini semakin ketara menunjukkan mereka sedang merancang untuk menguasai PAS melalui Muktamar Tahunan PAS yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Jelas kelihatan DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan PAS yang berani berkata 'tidak' atau 'no' kepada DAP. Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan-pimpinan PAS yang tegas seperti ini, DAP telah melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden PAS yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan-desakan DAP dalam mesyuarat-mesyuarat PR.


Muktamar PAS yang akan bermula Khamis minggu hadapan, dilihat sebagai peluang keemasan untuk menaik pimpinan-pimpinan PAS yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain mereka yang 'yes man'. Usaha DAP dilihat mulai berputik apabila buat pertama kali sejak era Kepimpinan Ulama, Presiden PAS yang kini disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dicabar. Pencabar kepada Presiden PAS sekarang ialah Ustaz Ahmad Awang, sememangnya dikenali seorang yang lunak terhadap desakan-desakan DAP.


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang yang cukup dikenali sebagai tokoh yang tegas dan berprinsip sejak zaman mudanya, merupakan penghalang besar kepada DAP dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mahu mendominasi kehendak mereka dalam PR. Beberapa kehendak DAP dan Anwar terhalang apabila Presiden PAS memberi keputusan tegas untuk tidak bersetuju, seperti 'Perancangan 16 September 2008', 'Penamaan Baru Bian sebagai Ketua Menteri PR', 'Pembentukan Kerajaan Konsensus Nasional', 'Langkah Kajang' dan 'Pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim'. Ketegasan Presiden PAS terhadap perkara-perkara ini menyebabkan PAS semakin dilihat sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah.


Bagaimanapun, apabila di kalangan pimpinan-pimpinan di bawah Presiden mula menyanggah ketegasan Presiden mereka sendiri, khususnya sejak isu 'Langkah Kajang', pihak yang tidak senang dengan ketegasan Presiden PAS ini mulai menghidu peluang untuk menyingkir beliau dan pimpinan-pimpinan PAS yang setegas beliau. Situasi ini makin terserlah, apabila ada pimpinan-pimpinan tertinggi PAS yang menyanggah Presiden mereka sendiri dalam mesyuarat-mesyuarat PR, malah pernah satu ketika 'membakul sampahkan' keputusan Presiden PAS yang dipersetujui sebulat suara ketika mereka mewakili PAS dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 17 Ogos tahun lalu. Sikap yang ditunjukkan oleh pimpinan-pimpinan yang lunak dengan desakan DAP ini, sudah pasti dilihat satu peluang keemasan untuk mereka.


Sikap DAP yang keterlaluan campurtangan dalam urusan dalaman PAS dan cuba mencorakkan siapa yang perlu naik sebagai Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain jawatan dalam PAS merupakan punca utama keretakan dalam PR. Manakala sikap sesetengah pimpinan PAS yang merelakan urusan dalaman PAS dan mahukan PAS menjadi lunak serta tunduk terhadap kehendak DAP, adakah satu tindakan bacul dan khianat. Sekiranya hasrat DAP untuk menaikkan pimpinan yang lunak terhadap desakan mereka berjaya dalam muktamar kali ini, PAS akan menjadi sebuah parti yang hilang maruah dan suara tegas Islam semakin luntur di Malaysia.



Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS

27 Mei 2015
8 Shaaban 1436

0 comments: