Tindak tanduk pemimpin DAP mutakhir ini semakin ketara menunjukkan mereka sedang merancang untuk menguasai PAS melalui Muktamar Tahunan PAS yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Jelas kelihatan DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan PAS yang berani berkata 'tidak' atau 'no' kepada DAP. Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan-pimpinan PAS yang tegas seperti ini, DAP telah melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden PAS yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan-desakan DAP dalam mesyuarat-mesyuarat PR.
Muktamar PAS yang akan bermula Khamis minggu hadapan, dilihat sebagai peluang keemasan untuk menaik pimpinan-pimpinan PAS yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain mereka yang 'yes man'. Usaha DAP dilihat mulai berputik apabila buat pertama kali sejak era Kepimpinan Ulama, Presiden PAS yang kini disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dicabar. Pencabar kepada Presiden PAS sekarang ialah Ustaz Ahmad Awang, sememangnya dikenali seorang yang lunak terhadap desakan-desakan DAP.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang yang cukup dikenali sebagai tokoh yang tegas dan berprinsip sejak zaman mudanya, merupakan penghalang besar kepada DAP dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mahu mendominasi kehendak mereka dalam PR. Beberapa kehendak DAP dan Anwar terhalang apabila Presiden PAS memberi keputusan tegas untuk tidak bersetuju, seperti 'Perancangan 16 September 2008', 'Penamaan Baru Bian sebagai Ketua Menteri PR', 'Pembentukan Kerajaan Konsensus Nasional', 'Langkah Kajang' dan 'Pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim'. Ketegasan Presiden PAS terhadap perkara-perkara ini menyebabkan PAS semakin dilihat sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah.
Bagaimanapun, apabila di kalangan pimpinan-pimpinan di bawah Presiden mula menyanggah ketegasan Presiden mereka sendiri, khususnya sejak isu 'Langkah Kajang', pihak yang tidak senang dengan ketegasan Presiden PAS ini mulai menghidu peluang untuk menyingkir beliau dan pimpinan-pimpinan PAS yang setegas beliau. Situasi ini makin terserlah, apabila ada pimpinan-pimpinan tertinggi PAS yang menyanggah Presiden mereka sendiri dalam mesyuarat-mesyuarat PR, malah pernah satu ketika 'membakul sampahkan' keputusan Presiden PAS yang dipersetujui sebulat suara ketika mereka mewakili PAS dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 17 Ogos tahun lalu. Sikap yang ditunjukkan oleh pimpinan-pimpinan yang lunak dengan desakan DAP ini, sudah pasti dilihat satu peluang keemasan untuk mereka.
Sikap DAP yang keterlaluan campurtangan dalam urusan dalaman PAS dan cuba mencorakkan siapa yang perlu naik sebagai Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain jawatan dalam PAS merupakan punca utama keretakan dalam PR. Manakala sikap sesetengah pimpinan PAS yang merelakan urusan dalaman PAS dan mahukan PAS menjadi lunak serta tunduk terhadap kehendak DAP, adakah satu tindakan bacul dan khianat. Sekiranya hasrat DAP untuk menaikkan pimpinan yang lunak terhadap desakan mereka berjaya dalam muktamar kali ini, PAS akan menjadi sebuah parti yang hilang maruah dan suara tegas Islam semakin luntur di Malaysia.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS
27 Mei 2015
8 Shaaban 1436
0 comments: