Desak Lim Guan Eng Gunakan Kebijaksanaan


Kenyataan Media Ketua Pemuda PAS Malaysia
26hb Mei 2015

DESAK LIM GUAN ENG GUNAKAN KEBIJAKSANAAN

Anak muda Malaysia memerhati dengan penuh minat pengurusan konflik dalam politik di negara ini. Mereka adalah penentu kepada masa depan politik khususnya dalam Pilihanraya ke-14 akan datang.

Pakatan Rakyat(PR) dan Barisan Nasional (BN), kedua-duanya menghadapi masalah yang hampir sama iaitu menguruskan konflik yang timbul tanpa mengakis kepercayaan rakyat khususnya anak muda.

PR yang telah memperolehi sokongan 51% dalam pilihanraya ke-13, perlu segera menguruskan konflik yang timbul dengan cermat dan bijaksana. Jika salah isyarat yang diberikan, maka anak muda Malaysia akan menghukum PR dalam pilihanraya akan datang.

Terkini, Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guang Eng telah menuduh Presiden PAS condong kepada UMNO. Tuduhan ini telah memberi gambaran buruk kepada anak muda Malaysia.

Bagaimana dua pemimpin yang duduk sepentas dalam pilihanraya ke-13 yang lalu dan duduk sebaris dalam Parlimen boleh bertembung antara satu sama lain. Apakah sudah tiada jalan yang bijaksana mengurus masalah yang berlaku?

Jika konflik ini berteruskan, maka anak muda Malaysia akan beranggapan pemimpin-pemimpin PR adalah hipokrit, lebih malang lagi menganggap tiada beza dengan Barisan Nasional yang jelas penuh dengan pelbagai masalah

Pemimpin PR wajar memahami setiap pemimpin ada pendokong dan penyokongnya. Kami pemuda PAS membesar bersama tarbiyah daripada Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Kami adalah pendokong Presiden PAS. Walau Presiden tidak maksum, tapi kami tidak dapat menerima tuduhan-tuduhan liar Setiausaha DAP kepada batang tubuh Presiden kami.

Jika pun ada kelemahan pada Presiden PAS, adalah tidak bijaksana menuduh Presiden kami condong kepada musuh PR iaitu UMNO. Masih banyak lagi saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik yang sedang berlaku.

Kenyataan Setiusaha Agung DAP akan mengundang tindak balas daripada daripada semua pihak dalam PAS khususnya sayap parti iaitu Dewan-Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda, daripada peringkat Pusat, Negeri, Kawasan sehinggalah kepada Cawangan akan marah dengan kenyataan tersebut.

Mereka ada hak untuk berasa marah dan menzahirkan kemarahan dengan kenyataan yang seumpama ini. Kemungkin akan ada pihak yang bertindak luar kawalan. Ini akan menyebabkan Pemuda DAPSY pula akan bertindak balas. Maka berlakulah pertembungan yang bertali arus dan akan mengurangkan keyakinan rakyat kepada PR.

Sebagai Ketua Pemuda Malaysia, saya mewakili Pemuda Pas mendesak kepada Setiausaha Agong DAP dan pimpinan PR agar menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk menguruskan konflik yang berlaku. Jangan hancurkan harapan rakyat khususnya anak muda yang mahu melihat Malaysia yang lebih unggul dan sejahtera di bawah PR dalam pilihanraya ke-14.


SUHAIZAN BIN KAIAT
KETUA PEMUDA PAS MALAYSIA

0 comments: