PAS akan menjalankan Muktamar Agung Tahunan ke-61 nya di Kuala Selangor pada 4, 5 dan 6 Jun ini. Terdahulu pada 2 dan 3 Jun, akan diadakan muktamar dewan-dewan di beberapa kawasan sekitar selangor yang telah ditetapkan panitia muktamar di peringkat dewan. Muktamar pada kali ini bakal melihat satu pemilihan kepimpinan jawatankuasa parti samada dari peringkat dewan, AJK PAS Pusat hingga ke jawatan Presiden. Sebelum muktamar ini berlangsung, kesemua cawangan, kawasan, dewan di peringkat negeri telah menjalankan muktamar atau mesyuarat agung tahunan (MAT) mereka. Ada yang sedang berjalan dan ada yang telah selesai.
Terdapat banyak isu teknikal, dan kelemahan yang dikesan yang harus dilihat semula oleh semua pentadbir parti di semua peringkat agar kelemahan ini tidak berulang dan merencatkan perjalanan pengurusan parti. Membincangkan isu ini, Pengarang Berita Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Wartawan Kanan Harakahdaily, MUHAMMAD FAIZAL ZAKARIA menemui Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang bertanggungjawab mengendali dan menyelesaikan beberapa isu berhubung persoalan teknikaliti pengurusan muktamar atau mesyuarat agung tahunan di semua peringkat, Ikuti wawancara yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada 18 Mei lalu.
HARAKAH: Muktamar akan berjalan pada awal Jun ini. Sebelum ini muktamar atau mesyuarat agung tahunan telah dijalankan oleh kawasan, dewan negeri. Boleh saudara jelaskan bagaimana dengan perkembangan muktamar atau mesyuarat agung tahunan di semua peringkat khususnya kawasan, negeri (dewan- dewan) setakat ini?
KHAIRUL FAIZI: Pertamanya ingin saya maklumkan bahawa hampir kesemua muktamar dewan-dewan sudah selesai sama sekali. Setakat ini, muktamar dewan muslimat di peringkat negeri telah selesai kesemuanya. Cuma terdapat satu atau dua pemuda kawasan sahaja yang dijangkakan akan menyelesaikan mesyuarat mereka pada minggu ini. Bagi Urusan Ulama pula tiada muktamar. Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kawasan pula hanya tinggal satu sahaja lagi yang belum selesai dan ini tidak termasuk yang diminta untuk mengadakan semula mesyuarat ini berdasarkan keputusan yang akan diputuskan kemudian. Hanya ada satu kes membabitkan pemuda di Melaka yang mana kita anggap masih dalam tarikh yang dibenarkan bermuktamar lagi.
Umumnya perjalanan MAT dan muktamar semuanya berjalan dengan lancar dan satu-dua kes berlaku itu kita anggap biasa. Saya ingin menegaskan walaupun ia biasa, namun ada kesilapan teknikal yang sebenarnya harus diberi perhatian khusus oleh semua pihak samada perwakilan atau kepimpinan di semua peringkat sepanjang masa, yang mana isu ini kita lihat hanya diberi perhatian perwakilan bilamana kita mahu melangsungkan mesyuarat agung. Sedangkan isu pengurusan parti ini adalah asas kepada pergerakan kita. Timbul isu beberapa kawasan yang kita semak ini ia mendatangkan masalah, namun ianya bukan isu besar jika kita beri perhatian sepenuhnya bagaimana menjalankan mesyuarat awal.
Boleh saudara berikan contoh apa yang disebutkan kesilapan teknikal ini, mungkin tanpa menyebutkan kawasan atau dewan yang terbabit?
Yang pertamanya biasa berlaku soal keahlian, keahlian ini ada kes yang mana seseorang perwakilan itu memberi alasan bahawa berpenggal-penggal dia bertanding dan memegang jawatan di kawasan mahupun cawangan, tetapi mengapa kali ini tidak boleh bertanding?. Sebenarnya sebelum ini kita agak longgar dari sudut teknikaliti seseorang ahli di cawangan mahupun kawasan, kemudian soal keahlian kawasan mana, dahulu pertikaian ini tidak berlaku sebab yang penting dia ahli.
Yang berlaku kini sama ada dia adalah ahli atau tidak di satu-satu kawasan, ini persoalan yang sering timbul sebenarnya. Mungkin dia ahli bukan di kawasan yang dia bertanding, ini berlaku dan merencatkan perjalanan mesyuarat agung kawasan. Ada kawasan-kawasan yang tidak memberi perhatian kepada soal keahlian ini, dan apabila ada cawangan yang mempertikaikannya maka ia akan membangkitkan masalah, Ada kes yang kita terpaksa arahkan mesyuarat agung tahunan semula di kawasan itu.
Keduanya isu yang mana kedudukan cawangan, satunya dimana kedudukan cawangan di dalam kawasan dimana cawangan itu seharusnya didaftarkan dalam kawasan mana. Ada cawangan yang tidak memahami bahawa cawangan juga harus mengadakan mesyuarat agung, dan dia hanya menghantar perwakilan yang ditetapkan. Cawangan ini hantar walaupun mereka tidak buat mesyuarat agung dan tidak lengkap mengadakan mesyuarat, maka apabila mereka ini menjadi perwaklian ke mesyuarat agung tahunan kawasan, maka kehadiran mereka ini tidak sah. Yang hanya dibenarkan hanya ketua sahaja, ini tidak difahami oleh mereka.
Ada juga masalah yang disebabkan oleh kawasan dimana kawasan menerima perwakilan tanpa mengambil kira ahli di cawangan itu bermesyuarat agung atau tidak, maka apabila berlaku mesyuarat agung kawasan maka kehadiran cawangan yang saya sebutkan tadi dibantah oleh cawangan lain yang tahu mereka itu tidak bermesyuarat agung cawangan, maka ini menimbulkan lagi masalah. Ketiganya kes yang biasa berlaku dalam pemilihan kali ini ialah had umur keahlian pemuda. Di peringkat muslimat ini tidak berlaku kerana ia tiada kategori (umur).
Pemuda ini persoalan usia yang mana keputusan yang dibuat dalam muktamar dua tahun lalu di mana usia pemuda ianya berdasarkan kepada tarikh hari lahir dan bukannya tahun lahir, maka jika seseorang itu genap 40 tahun pada tarikh sebelum muktamar dewan maka mereka tidak layak untuk bertanding atau menjadi perwakilan. Apabila berlaku isu ini ada beberapa pemuda kawasan yang kita arahkan bermesyuarat semula dan ada perwakilan yang tidak layak menjadi perwakilan. Jika dia bertanding maka kita batalkan penyertaan. Sementara jika dia selaku perwakilan dan ianya memberi kesan kepada keputusan atau sebarang isu berbangkit maka kita akan melihat semula dan arahkan mesyuarat agung semula.
Pastinya ada satu prosedur Standard Operasi Pengurusan (SOP) yang ditetapkan, sama ada berubah, atau tidak sejak muktamar-muktamar sebelum ini, adakah pengurusan parti di semua peringkat tidak arif tentang SOP ini?
Kita ada dua peruntukan pertamanya peruntukan Aturan Pemilihan, dan satu lagi Aturan Menjalankan Muktamar. Satu ini di bawah pejabat Setiausaha Agung (Aturan Menjalankan Muktamar) dan satu lagi di bawah bahagian Jawatankuasa Pemilihan Muktamar (Aturan Pemilihan). Kita sediakan dua manual supaya PAS kawasan dan semua pihak apabila mengendalikan perjalanan mesyuarat agung maka kedua-dua aturan ini harus diikuti.
Sebab itu pada bulan 12 tahun lalu kita memanggil kesemua setiausaha di semua peringkat dan sekretariat kerana kita mahu berikan pendedahan kepada pentadbir parti ini bahawa ada dua dokumen penting yang harus dirujuk ketika mengendalikan Mesyuarat Agung Tahunan. Kita buat Konvensyen Pengurusan Parti pada bulan 12 lalu kerana bulan 1 2015 (Januari) PAS Cawangan mula bermesyuarat kerana sasaran kita adalah semua setiausaha cawangan datang untuk melihat dan memahami sendiri manual pengurusan ini, dan mereka dapat maklumat awal mengendalikan mesyuarat mahupun muktamar.
Bagi mereka yang telah lama menguruskan parti di peringkat cawangan, kawasan mahupun negeri, maka mereka sudah memahami bagaimana mahu melaksanakan muktamar yang berkesan dan tidak timbul sebarang masalah. Kerana itu kita buat konvensyen, dan ia sedikit sebanyak membantu kita. Cuma apa yang kita dapati, hanya pada waktu menghampiri muktamar barulah kita buat benda ini (konvensyen pengurusan parti). Saya rasa selepas muktamar ini, maka harus diadakan secara berterusan siri penerangan, samada diberi nama seminar pengurusan parti untuk pentadbir parti. Kita buat untuk memudahkan perjalanan dan memberi kefahaman kepada pentadbir parti di semua peringkat bagaimana mengurusan parti pada awal hingga ke selesai sessi lantikan. Ilmu pengurusan ini walaupun kita ada Manual Pengurusan, namun belum cukup memahamkan semua orang dan perlu ada bengkel berterusan.
Apakah pada kali ini ada kes- kes yang boleh menyebabkan masalah seperti dibatalkan pendaftaran kawasan seperti yang pernah berlaku di Kawasan Seremban beberapa tahun sebelum ini akibat kes teknikaliti, dan apa jalan yang terbaik menyelesaikannya?
Kita cadangkan kepada sekretariat membukukan semua kes yang berlaku pada sessi ini, ini fail (menunjukkan fail) yang telah saya kumpulkan, dan kita mahu kesemua pentadbir parti tahu kes-kes dan apa tindakan susulan, bagaimana mengatasinya, kita akan buat supaya peringkat awal lagi semua pihak sedar dan faham bagaimana menjalankan pengurusan parti yang sebenar.
Sebelum ini kita hanya keluarkan manual sahaja, sebelum ini saya selaku PSU hanya mentadbir secara umum, Pada sessi akan datang harus ada memo spesifik penyelesaian dalam manual pengurusan ini kepada apa yang telah berlaku, bagaimana mengurus organisasi dengan isu dan penyelesaian. Apa apa-apa perkara yang timbul haruslah ada persoalan dan jawapan dari cawangan hingga ke negeri.
Jika kita lihat dua tiga muktamar sejak tahun 2010 muktamar dapat perhatian kerana kononnya ianya tegang, apakah ia kerana ada masalah pengurusan sistem datau perkara lain?
Satunya PAS sudah mendapat perhatian. Suatu masa lalu kita tidak mendapat sebarang ‘coverage’ (liputan) mana-mana pihak samada media massa ataupun pemerhati politik. Seingat saya pada tahun 90-an saya menyertai PAS, tidak adapun laporan mengenai perjalanan muktamar PAS oleh media arus perdana, jika ada sekalipun semuanya yang negatif. Namun kini PAS semakin mendapat perhatian media, pemerhati dan orang ramai. Hari ini kita diberi perhatian semua pihak, dan kerana perhatian itulah kini sampai kita dapat kehalian yang ramai.
Sejak awal Januari 2015 hingga Mac, kita ada 15,000 ahli baharu dan untuk April ada lagi pertambahan. Kerana liputan negatif atau positif tetapi kehalian semakin bertambah. Pada Mac tahun ini angka 8,000 lebih ahli baharu yang telah disahkan pendaftarannya dan pada April lebih 6000 lagi. Maknanya walaupun dalam keadaan PAS dilihat ‘berpecah’ namun pertambahan ahli semakin meningkat.
Dalam masa beberapa bulan ini kita tidak dengar ada kehalian yang keluar. Sebarang permohonan keluar parti tidak ada, ada yang merajuk tidak aktif tetapi tidak keluar parti. Pertambahan ini kini untuk empat bulan pertama lebih 22,000. Maknanya walaupun PAS dilihat sebegini seperti digambarkan media, tetapi keahlian ini bertambah.
0 comments: