Jangan Hilang Allah Dalam Perjuangan

Diterbitkan: 15 Mei 2015
Ditulis oleh Harakahdaily

Untuk memenangi pilihan raya di Malaysia, mana-mana gabungan politik memerlukan sokongan daripada semua lapisan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah gerakan Islam yang juga menyertai politik, PAS sedar dan terima hakikat ini. Namun sebagai gerakan Islam, kemenangan PAS tidak diukur daripada sudut politik semata-mata.


Selain faktor pesempadanan yang tidak adil, penghalang terbesar Pakatan Rakyat ke Putrajaya ialah masyarakat luar bandar dan pendalaman, yang kebetulan majoritinya adalah Bumiputera, Melayu-Islam sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Undi mereka masih bersama Umno dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Tidak dinafikan Pakatan Rakyat berjaya menggegarkan kubu BN atas sokongan pengundi Cina dan India yang teguh di belakang DAP; yang hasilnya turut sama dinikmati oleh PKR dan PAS di kerusi-kerusi bandar dan campuran terutamanya di sebelah Pantai Barat Semenanjung. Malah di PRU13, DAP telah hampir mencapai keputusannya yang maksimum.


Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu melipatgandakan usahanya bagi menarik sokongan masyarat bumiputera dan Melayu-Islam kepadanya. Sebahagian besar amanah yang berat ini jatuh di bahu PAS, kerana hampir kesemua kerusi majoriti Melayu yang ditandingi PAS turut disertai Umno.


PAS masih gagal meningkatkan sokongan dalam kalangan masyarakat di luar bandar khususnya di kawasan Felda dan kampung tradisi. Halangan ini disebabkan faktor maklumat dan penggunaan jentera kerajaan dan sogokan duit dan kebendaan kepada golongan miskin setiap kali PRU dan PRK.


Meskipun isyarat positif telah kelihatan di PRK Rompin dan Permatang Pauh yang baru berlalu tetapi kita tidak harus memandang semuanya itu sebagai satu hasil usaha kita tanpa mengambil kira faktor pergolakan dalaman Umno dan GST.


Oleh itu, PAS mesti meneruskan usaha menarik sokongan dalam kalangan masyarakat pedalaman, Felda dan kampung. Kawasan-kawasan ini dihuni oleh majoriti Melayu-Islam menjadi teras kepada perjuangan PAS. Putrajaya akan gagal ditawan sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat gagal melaksanakan tugas menawan undi golongan ini.


Oleh kerana itu, setiap parti mesti diberi ruang untuk memperkasakan parti masing-masing dengan penghormatan tertinggi kepada dasar parti lain yang di luar lingkungan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.


Tindakan mencabuli dasar parti lain hanya akan melemahkan kerjasama antara parti komponen PR.


Kerjasama di antara ketiga-tiga parti yang baik dengan penghormatan tertinggi kepada dasar parti lain dan tiada paksaan kepada perkara berbeza boleh mengukuhkan PR. Manakala, kerjasama baik di dalam PR pula menyediakan ruang persaingan yang sihat untuk ketiga-tiga parti untuk maju dan memperkasakan diri masing-masing. Salingan ini perlu diperbaiki segera. PR tidak berfungsi dengan baik sekiranya mana-mana parti di dalamnya tidak dapat menikmati manfaat untuk berkembang maju.


Oleh itu, sebagaimana DAP dan PKR, PAS juga mesti meningkatkan kedudukan dengan pesaingnya dalam PR di samping mempertahankan identiti dan dasar partinya. Sebagaimana kepelbagaian kaum dan agama menjadi sumber kekuatan negara, kepelbagaian ideologi dan dasar parti di dalam Pakatan Rakyat juga harus dijadikan sumber kekuatan dan bukannya api perpecahan.


Oleh itu, kenyataan PAS perlu kekal bersama PR bagi mengekalkan sokongan pengundi Cina adalah kenyataan yang berniat jahat. Kenyataan ini menimbulkan fitnah kepada Pakatan Rakyat dan PAS. Pakatan Rakyat bukan berjuang untuk mana-mana kaum sahaja, dan PAS tidak menyertai Pakatan Rakyat semata-mata untuk undi orang Cina. Pakatan Rakyat adalah medan bersama PAS, DAP dan PKR untuk membela rakyat dan melawan kezaliman Umno-BN. Dan perlu ditegaskan sekali ini, PAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk keluar dari PR.


Ketegasan setiap parti dengan dasar perjuangan parti yang dibawa sangat penting untuk para pengundi. Tuduhan PAS jadi kuda tunggangan DAP oleh Umno dan tuduhan DAP pak turut PAS oleh MCA sebagainya tidak lagi kedengaran setelah PAS dan DAP bertengkar di khalayak umum mengenai hasrat Kelantan menunaikan janji demokrasinya untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.


Bagi PAS, ketegasan kita mempertahankan dasar parti telah memperlihatkan hasil yang sangat positif dengan kemasukan ahli baru PAS yang sangat luar biasa mutakhir ini.


Faktor tersebut juga telah membantu PAS di dalam PRK Rompin dengan kemenangan di beberapa kawasan Felda serta penyertaan anak-anak muda dalam PAS serta pembukaan cawangan baru di kawasan kubu Umno. Semua ini berlaku di saat PAS diserang dalam PR dan kepimpinan PAS khususnya Presiden dituduh dengan pelbagai tuduhan. Barangkali itulah hikmahnya.


Oleh itu, ahli PAS wajib berpegang teguh dengan prinsip dasar Islam yang membezakan PAS dengan parti lain. Jangan hanya kerana sedikit kemenangan yang kita perolehi menyebabkan kita mulai khayal dengan kemenangan sehingga merasakan kitalah yang mementukan kemenangan. Kita wajib terus memperkasakan PAS. Jangan hanya kerana sedikit kekecewaan, kita ragui dasar parti kita.


Oleh itu, jangan hilang Allah dalam perjuangan kita. Jangan berasa bahawa seolah-olah kitalah segala-galanya. Ikhlaskan hati dan istiqamahlah dalam perjuangan ini. - HARAKAHDAILY 14/9/2015

0 comments: