Jangan Rampas Tanah Warisan Melayu Jati Miriek

Diterbitkan: 25 Mei 2015

Ditulis oleh Jofri Jaraiee


Kaum Jati Miriek merupakan penduduk asal Bumiputera di bandaraya Miri yang terletak berhampiran dengan sempadan Brunei di bahagian utara Sarawak. Kebanyakan penduduk di Miri berketurunan Malayu asal dari suku kaum Jati Miriek sebelum kedatangan pendatang dari luar menetap di bandaraya Miri.
Walaupun terdapat lain-lain kaum Bumiputera juga tinggal di Miri tetapi sejak telaga minyak pertama ditemui di bukit Kanada Miri, ramai penduduk dari luar bahagian Miri datang berhijrah untuk bekerja dengan syarikat minyak Shell yang mula-mula sekali beroperasi di kawasan utara Sarawak.

Kebanyakan penduduk di Miri dulu bekerja sebagai petani, nelayan dan juga bekerja dengan syarikat minyak Shell. Kebanyakan tanah penduduk di Miri asalnya ditanam padi dan mereka juga bebas meneroka tanah untuk bercucuk tanam seperti, pisang, keladi dan lain-lain. Tanah ini di panggil ‘Tanah Termuda’ sebab asalnya ditanam tetapi telah ditinggalkan mengikut kitaran  penanaman berpindah untuk tujuan penyuburan tanah dan pemuliharaan hutan.

Tanah merupakan satu-satunya pusaka warisan peninggalan kepada generasi sekarang. Ianya amat berharga dan bernilai tinggi, tanpa tanah sukar untuk menyara kehidupan seharian lebih-lebih lagi zaman sekarang, banyak tanah warisan pusaka telah bertukar hak milik kepada pihak kapitalis. Sebelum kedatangan British, orang Melayu sudah lama menetap di Miri dan mereka bercucuk tanam serta ada juga jadi nelayan untuk menyara kehidupan seharian mereka.

Pembangunan yang semakin pesat di bandaraya Miri menyebabkan banyak tanah warisan sekarang sudah bertukar hak milik kepada syarikat pemaju. Dimana lagi tanah warisan Melayu di Miri yang masih ada?

Baru-baru ini penduduk asal kampung Pujut Tanjung Batu dan penduduk Pujut Padang Kerbau mengadu kepada pihak kami yang tanah petanian pusaka warisan mereka juga akan diambil alih oleh pihak pemaju.

Pihak pemaju telah mengeluarkan notis peringatan kepada penduduk kampung yang bercucuk tanam disitu supaya meninggalkan kawasan tersebut serta merobohkan pondok yang didirikan disitu dalam tempoh 2 minggu. Pihak pemaju menuduh penduduk kampung sebagai menceroboh tanah pemaju dan diminta meninggalkan tanah tersebut dengan segera.

Menurut penduduk kampung yang ditemui mengatakan mereka sudah berpuluh-puluh tahun meneroka serta mengusahakan tanah tersebut sebelum kedatangan pihak pemaju. Mengapa sekarang pihak pemaju menuntut tanah mereka sedangkan sebelum ini penduduk kampung sudah banyak kali memohon tanah untuk pertanian tapi tiada jawapan dari pihak berkuasa.

Penduduk kampung sudah lama menuntut dan memohon tanah tersebut sehingga kini tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa sedangkan pemaju yang bukan asal orang tempatan pula diberi hak untuk memiliki tanah pusaka warisan mereka.

Seramai lebih dari 300 orang yang mempunyai hak di tanah tersebut akan dihalau keluar dari tanah sendiri seolah-olah mereka dianggap sebagai pendatang asing oleh pihak pemaju. Sekiranya mereka dihalau keluar dari tanah mereka sendiri, dimana mereka akan meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan berkebun.

Kebanyakan penduduk kampung disitu adalah petani dan mereka hanya mengharapkan hasil dari petanian untuk menyara kehidupan harian mereka. Itulah satu-satunya tanah yang masih ada dan merupakan sumber rezeki pendapatan untuk menyara keluarga mereka dengan menjual ubi kayu, keladi, pisang, buah sawit dan lain-lain hasil dari pertanian.

Kawasan tanah yang beratus hektar itu kalau diambil alih oleh pihak pemaju akan menyebabkan mereka akan kehilangan tanah warisan mereka. Datuk nenek moyang mereka sudah lama meneroka tanah tersebut sebelum adanya pemaju datang ke Miri.  

Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia juga telah memberi perakuan pendaftaran kepada Koperasi Warisan Pekebun Kampung Pujut Padang Kerbau Miri. Ini secara tidak langsung memberi hak kepada pekebun untuk memiliki tanah tersebut secara sah bukan menceroboh seperti dakwaan pemaju.

Mengapa pihak pemaju pula boleh mendakwa yang tanah tersebut hak milik mereka sedangkan penduduk kampung sudah lama meneroka tanah tersebut sebelum ada pemaju datang kesitu? Bagaimana perkara ini boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab memberi hak milik tanah yang berstatus NCR itu kepada pemaju?

Di bawah Seksyen 2 (a) Kanun Tanah Sarawak, tanah adat Bumiputra (NCL) didefinisikan sebagai “tanah di mana hak adat Bumiputra (NCR) telah didapati secara komunal ataupun selainnya mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958 dan masih lagi sah diperlakukan”. Mengikut undang-undang Kanun Tanah Sarawak 1957, tanah adat Bumiputra ['native customary land' (NCL)] memang diakui.

Tanah ‘Temuda’ pula terdiri daripada tanah yang telah ditanam dengan tanaman dan juga tanah yang dahulunya ditanam tetapi telah ditinggalkan mengikut kitaran  penanaman berpindah untuk tujuan penyuburan tanah dan pemuliharaan hutan.

Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Tanah Sarawak yang telah dibentangkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lalu dimana Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem memberi jaminan, pindaan itu tidak akan menyebabkan Bumiputera hilang hak pemilikan tanah NCR kerana ia tidak membenarkan urusan jual beli kepada Cina atau kaum bukan Bumiputera lain.

Walaupun tujuan mengubah undang-undang ini untuk memudahkan jual beli tanah NCR kepada syarikat kononnya Bumiputera boleh dilaksanakan bagi tujuan membangunkan tanah tersebut tetapi syarikat berkenaan tidak membangunkan tanah NCR sebaliknya melantik atau mencari syarikat yang dimiliki oleh bukan Bumiputera bagi melaksanakan aktiviti di atas tanah tersebut.

Kebanyakan golongan Bumiputera yang miskin terpaksa menjual tanah, harta benda atau barangan milik mereka sendiri pada masa kecemasan atau kesuntukan wang untuk mendapatkan tunai segera. Ada diantara mereka juga terpaksa menggadaikan tanah untuk mendapatkan duit yang sedikit misalnya bagi membiayai persekolahan anak mereka atau melanjutkan pengajian dan sebagainya.

Walaubagaimana pun bukan semua penduduk kampung menjual tanah mereka semata-mata untuk mendapat tunai segera, ada juga yang masih berusaha sendiri membangunkan tanah mereka seperti penduduk di kampung Pujut. Mereka merayu agar pihak pemaju jangan rampas tanah warisan pusaka mereka di Miri kerana inilah satu-satunya tanah yang masih ada dalam kawasan pinggir bandaraya Miri untuk penduduk asal Miri.

Kita mengesa pihak berkuasa terutama Ketua Menteri sekarang dapat membantu menyelesaikan masalah tanah warisan Melayu di Sarawak agar ianya selamat dari kepupusan akibat dari pembangunan yang semakin pesat dan hanya menguntungkan pihak pemaju yang bukan asal dari Sarawak.

Kita juga mengesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana tanah NCR, Tanah Termuda orang Bumiputera boleh bertukar hak milik kepada pemaju tanpa pengetahuan penduduk asal yang sudah berpuluh-puluh tahun  meneroka dan menetap di bumi Sarawak.

Penduduk kampung akan berusaha untuk menghalang pemaju dari menceroboh tanah warisan mereka dan mereka tidak sanggup kehilangan tanah mereka. Mereka tidak mahu pampasan sebab segala tanaman mereka yang telah mereka usahakan selama ini telah mendatangkan hasil dan mereka mahu pihak kerajaan memberi hak milik tanah sepenuhnya kepada mereka.

Kita harap pihak berkuasa segera mengatasi masalah ini dengan adil dan tidak hanya memihak kepada syarikat yang kaya raya untuk mengambil hak orang kampung yang hidup bergantung hidup hasil dari pertanian. Tanpa tanah dimana mereka akan mendapatkan hasil pendapatan?

Adakah pihak kerajaan mampu menyara kehidupan harian mereka setelah mereka kehilangan hak mereka? Adakah pihak kerajaan ingin melihat rakyat sendiri tiada punca pendapatan dan terus hidup dalam kemiskinan dan menumpang di tanah sendiri? Kita perlu selamatkan tanah warisan Melayu Bumiputera dari jatuh ke tangan orang luar.

Jofri Jaraiee
PAS, Sarawak

0 comments: