1. Saya meneliti jawapan Frequently Asked Questions (FAQ) yang dimuatkan di FB, Twitter dan Blog PM Najib. Kasihan pula melihat begitu susah-payahnya Perdana Menteri menyediakan skrip jawapan bagi 13 isu yang melingkari kepimpinan beliau. Andaian saya merasakan jawapan itu ditulis beliau sendiri sambil berbaring atau meniarap sebelum tidur dan merenung nasibnya yang mendatang.
2. Mantan Perdana Menteri, Tun Doktor Mahathir yang begitu lantang mengkritik PM Najib sudah pun menyatakan kesediaan beliau untuk berdebat secara terbuka dalam segala isu yang dibangkitkan. Namun, malangnya PM memilih untuk menulis jawapan syok sendiri di laman blognya. Sungguh ironi, apabila seorang Perdana Menteri memilih jalan selamat untuk mempertahankan diri beliau. Adakah Presiden parti keramat Melayu UMNO ini sudah hilang keberanian dan kegagahan untuk berdepan secara terbuka..?
3. Walaupun panjang berjela skrip jawapan yang dikarang di blog PM Najib itu, tetapi pada hakikatnya rakyat tetap tidak berpuas hati kerana ia tidak pun menjawab isu utama yang sebenar. Sewajarnya PM Najib menggunakan ruang kesempatan sidang Parlimen yang sedang berlangsung ini sebagai medan untuk sesi perdebatan dan soal-jawab secara rasmi dan telus. Di Parlimen , para wakil rakyat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh mendapatkan penjelasan secara terus daripada PM sendiri.
4. Justeru, saya menyeru PM Najib agar bersifat berani bagaikan pahlawan terbilang UMNO untuk menyahut seruan perdebatan dengan mentor beliau sendiri, Tun Mahathir supaya rakyat dapat menilai segala isu dan pertuduhan yang dikenakan ke atas PM Najib selama ini adalah fakta atau fitnah. Jikalau PM Najib berdalih debat bukan budaya kita, usah dilupa bahawa media sosial itu pada asalnya juga bukan budaya kita. PM Najib, usahlah berdalih lagi, zahirkanlah keberanian sebagai seorang pemimpin nombor satu negara ini.
YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
20 Mei 2015
0 comments: