Kenyataan Media: PAS Tuntut Penjelasan Gabenor Bank Negara


1. Hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia,Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengesahkan menerima laporan dari Bank Pusat Singapura berhubung aduan BSI Bank Ltd Singapore mengenai akaun yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Walaubagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut tindakan yang diambil setelah menerima laporan tersebut.


2. PAS menuntut Tan Sri Zeti memberikan maklumat lanjut kerana isu ini adalah isu besar yang melibatkan imej negara dan wang rakyat pada skala yang begitu besar. Adakah arahan pembekuan akaun 1 MDB dan akaun seluruh ahli Lembaga Pengarah sudah dikeluarkan beserta pembekuan cek tandatangan mereka.? 
Begitu juga adakah laporan dan tindakan selanjutnya sudah dimaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyekat kesemua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi 1 MDB daripada meninggalkan negara ini.?


3. PAS mengingatkan Gabenor Bank Negara Malaysia agar tidak sesekali bersekongkol dalam sebarang usaha  melindungi dan menyelamatkan 1 MDB yang sedang dilanda kontroversi hebat sekarang ini. Apa yang diharapkan sekarang adalah penjelasan dan maklumat yang jelas dan benar dikeluarkan khususnya berkenaan dakwaan bahawa anak syarikat 1 MDB, telah mengemukakakan penyata akaun bank yang palsu kepada BSI Bank Ltd Singapore dan juga isu simpanan dana tunai dan aset 1 MDB yang dibawa pulang hasil pelaburan di Cayman Island.


YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

26 Mei 2015

0 comments: