Kenyataan Media: TPM Dicabar Letak Jawatan


1. Saya menyokong penuh saranan yang dibuat oleh Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad bahawa Menteri Kabinet perlu letak jawatan jika tidak bersetuju dengan keputusan kolektif yang sudah dibuat. Dalam hal 1 MDB, ia bukanlah bebanan yang ditanggung PM Najib bersendirian kerana ia keputusan bersama yang diputuskan oleh jamaah menteri. 


2. Sepertimana video yang telah tersebar iaitu rakaman ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendesak seluruh ahli lembaga 1 MDB dipecat dan CEO nya disiasat polis maka jelaslah TPM sendiri tidak seiring sejiwa dengan PM. Beliau sendiri menzahirkan kekecewaan dan kerisauan berkenaan isu 1 MDB ini yang akan menyebabkan UMNO hilang sokongan rakyat. Atas nama prinsip tanggungjawab bersama, apabila TPM sudah tidak mampu bersetuju dengan PM maka adalah lebih baik Tan Sri Muhyidin Yassin berundur dan meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.


3. Hal ini turut disuarakan oleh Ahli Parlimen veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan bahawa seluruh kabinet bertanggungjawab atas skandal 1 MDB kerana ia adalah keputusan bersama yang diputuskan kabinet. Saya amat mengharapkan Tan Sri Muhyidin punyai jiwa besar dan keberanian untuk meletakkan jawatan. Usahlah menangguk di air yang keruh demi mengambil kesempatan untuk menaiki takhta nombor satu negara jikalau PM Najib berundur terlebih dahulu. 


4. Contohilah sifat berani Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang sedia meletakkan jawatan beliau atas kekangan yang dihadapi di institusi Parlimen. Atas keberanian itu, barulah PM Najib membuka mata dan bertindak dengan segera. Justeru, saya menyatakan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia sedang menantikan penuh teliti segala keputusan yang akan diambil oleh pihak kerajaan khususnya PM dan TPM berkenaan skandal 1 MDB ini. Bertindaklah segera sebelum terlambat.



YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

27 Mei 2015

0 comments: