Tarikh May 11, 2015 Oleh Fahmi Mokhtar. Kategori: DARI PIMPINAN.
TITIK MULA
9 Mei 2015 menjadi satu titik mula yang baru buat Gerakan Mahasiswa Malaysia apabila satu Deklarasi Mahasiswa Nasional 2015 telah dibincangkan dan dibentangkan serta dipersetujui oleh 15 front termasuklah GAMIS yang diwakili oleh Naib Presiden 1 (Jaringan NGO dan Mobilisasi) akh Khairol Najib di Armada Hotel.
Malangnya saya tidak dapat bersama mengukir sejarah ini bersama dalam persidangan tersebut kerana terpaksa hadir ke program yang lain. Walaubagaimanapun, Saya telah membaca 10 fasal deklarasi tersebut dengan sungguh menarik hati dan sangat senang sekali dengan fasal-fasal yang digariskan. Menyangkuti kebajikan dan kebebasan dalam sistem pendidikan negara. Kerjasama ini patut dibuat dalam mengimplementasikan firman Tuhan : “Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah ayat 2).
Hasil daripada Fasal 1 Deklarasi Mahasiswa Nasional tersebut telah menatijahkan penubuhan sebuah Gabungan Mahasiswa yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN). Pengerusi Penajanya diketuai oleh Naib Presiden 1 GAMIS, Akh Najib, satu pengiktirafan yang besar oleh gerakan mahasiswa Malaysia kepada GAMIS untuk mengetuai Kesatuan ini, sekaligus melengkapi jobskop yang berada dibawah Naib Presiden.
HARAPAN
Kelahiran KESATUAN ini sangat diperlukan pada masa ini, disaat pelbagai kegilaan yang telah dilakukan oleh kerajaan menyebabkan rakyat merasa sangat sakit hati dan menyampah dengan UMNO/BN. Isu FGV, GST dan terbaru isu 1MDB dan Tabung Haji menunjukkan mood rakyat untuk menumbangkan kerajaan itu semakin menjalar kesemua peringkat rakyat.
Ketidakstabilan PR juga menjadikan KESATUAN ini sangat diperlukan oleh rakyat dan mahasiswa sebagai tempat untuk mengadu dan berpaut, setelah rakyat juga mula muak dengan politik semasa yang dimainkan oleh parti pembangkang, maka KESATUAN, bagi saya sebagai satu alternatif kepada mahasiswa dan rakyat untuk berpaut membawa suara mereka. Peranan ini amat besar dan berat.
In sya Allah, dengan kekuatan 15 gerakan mahasiswa dalam KESATUAN, perkara yang berat boleh menjadi ringan, perkara yang sukar boleh menjadi mudah dan perkara yang mustahil boleh jadi mungkin, dengan syarat kepaduan kita bersama.
KERISAUAN
Tidak dapat dinafikan saat KESATUAN ini dimaklumkan kepada saya, terdapat beberapa kerisauan yang menghantui pemikiran, hinggakan terpaksa didamaikan dengan harapan yang telah dinyatakan diatas. Namun, kerisauan ini perlu untuk dikongsikan agar dapat dijadikan satu peringatan dalam kita melangkah bersama.
KESATUAN ini bukan satu perkara yang baru, 2003 telah diwujudkan satu koalasi antara gerakan mahasiswa Malaysia yang dinamakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menghimpunkan beberapa gerakan mahasiswa membentuk satu koalasi yang sangat menggugat pihak berkuasa. Namun setelah 11 tahun berada di medan mahasiswa ianya hilang tanpa jejak. Kita boleh belajar beberapa perkara atau kekurangan dan kesilapan yang telah dilakukan oleh abang-abang kita sehingga satu koalasi yang baik itu dengan tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Ini satu pengorbanan yang dibuat oleh abang-abang kita untuk kita belajar sesuatu daripada sejarah yang telah mereka lakarkan. Sekiranya kita masih mengulangi sejarah yang sama seperti yang terjadi dalam SMM, maka sia-sialah pengorbanan abang-abang kita dalam membina sejarah untuk kajian dan peringatan kepada generasi kita.
Perbincangan bersama perlu diadakan sentiasa, dan bukan hanya kehadiran front-front yang lain sekadar untuk mendengar keputusan yang telah siap-sedia skripnya. Ini akan menjadikan front-front akan terpinggir dan seterusnya akan menyebabkan pergerakan KESATUAN itu sendiri terbantut tanpa sokongan. Mungkin perlu dibina satu guideline atau panduan asas untuk pergerakan KESATUAN agar tidak timbul hal-hal yang berbangkit pada masa hadapan. Sebagaimana dibina Piagam PBB pada 1945 hasil persidangan 50 buah negara di San Francisco, setelah itulah, dilancarkan Deklarasi Hak Asasi Manusia pada 1948 yang menjadi tafsiran kepada fasal 1 (3) dalam Piagam PBB.
Kesepakatan dalam sesuatu isu merupakan satu perkara yang penting. Komunikasi dalam tawar menawar membina satu keputusan juga sangat perlu. Sefaham saya, gabungan ini tidak boleh menggunakan nama KESATUAN sekiranya salah satu gerakan tidak bersetuju dengan perkara atau isu dan pendekatan yang hendak dibawa. Inilah yang perlu diteliti oleh semua pihak, kerana masing-masing mempunyai kepentingan dan kemampuan yang tersendiri. Konsep “Agree To Disagree” mesti dipegang sebaik mungkin dan mesti dijadikan dasar utama dalam KESATUAN ini.
Isu dalam Pakatan Rakyat juga boleh dijadikan iktibar, koalasi yang hebat ini, kini telah goyah apabila berlaku beberapa peristiwa. Hormat menghormati dengan sesama gerakan dan jelas dengan dasar serta pemikiran setiap gerakan, akan menjadikan koalasi kita lebih damai dan lebih kedepan. Mungkin kerisauan-kerisauan saya ini telah lumat diperbincangkan oleh rakan-rakan dalam membina Deklarasi tersebut, ini hanyalah sekadar pandangan dari sebuah rasa.
AKHIRNYA
KESATUAN ini menjadi harapan yang besar buat mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk membawa perubahan yang besar sebagaimana yang tertulis dalam 10 Deklarasi yang telah dipersetujui bersama 15 gerakan mahasiswa. Sudah semestinya harapan yang besar ini memerlukan kepada gerak kerja yang besar, yang terpaksa memakan pengorbanan yang lumayan. Namun demi sebuah perubahan, kita memahami risiko yang terhampar dihadapan kita. Survival ini akan diteruskan untuk sama-sama kita bergandingan tangan dan terus melangkah bersama.
BERSATULAH KAUM MAHASISWA!!!
Ahmad Fahmi Mokhtar
Timbalan Presiden
GAMIS
0 comments: