MEMBANGUNKAN NEGARA & MEMPERBAIKI KEADAAN RAKYAT, AGENDA YANG PERLU DIPERJUANGKAN.


MEMBANGUNKAN NEGARA & MEMPERBAIKI KEADAAN RAKYAT, AGENDA YANG PERLU DIPERJUANGKAN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) menghargai semua ucapan penghargaan & harapan yang diberikan kepada kepimpinan baru DPPNPP sesi 2015-2017 ini. Ucapan-ucapan dan harapan-harapan tersebut adalah bukti keprihatinan  & sokongan terhadap agenda perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini.

Perlu difahami bahawa jawatan yang kami galas ini bukanlah peluang, bahkan ia adalah amanah yang akan ditanya oleh sekalian manusia dan akan dibentangkan dihadapan Allah SWT di akhirat kelak.



PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

Membangunkan negara & memperbaiki keadaan rakyat adalah merupakan agenda utama yang perlu diperjuangkan. Oleh kerana dasar PAS ialah Islam, maka agenda pembangunan tersebut mestilah berteraskan kepada Islam (Islamic based development). Agenda ini jauh mengatasi agenda perjuangan bagi menewaskan UMNO Barisan Nasional untuk melangkah ke Putrajaya semata-mata.



EKONOMI POLITIK BARAT YANG MEROSAKKAN

Agenda pembangunan yang sedang dijalankan sekarang didapati masih berada dalam kerangka ekonomi politik kapitalis Barat, yang memisahkan dunia dan akhirat, serta tidak menghubungkan manusia dengan Tuhan.

Kerosakan akhlak, keruntuhan aqidah, kesempitan ekonomi, ketirisan perbelanjaan dan penyelewengan aset kekayaan negara, termasuk isu 1MDB dan Tabung Haji, adalah disebabkan penumpuan pembangunan hanya kepada aspek material & fizikal, tidak menumpukan soal spiritual dan pembangunan insan. Tiada ertinya jika negara kaya raya, mempunyai hasil pendapatan yang tinggi, tetapi diuruskan oleh orang yang rosak akhlak & tidak amanah.


PENDEKATAN POLITIK DAKWAH

Bagi melaksanakan pembangunan berteraskan Islam, DPPNPP akan mengambil pendekatan politik dakwah yang  mengandungi prinsip keterbukaan, perdamaian, keadilan, pengislahan dan istiqamah. DPPNPP tiada halangan untuk duduk semeja berbincang dengan mana-mana pihak termasuk bersama rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menjayakan misi ini.


TETAP DENGAN DASAR PERJUANGAN

Agenda pembangunan berteraskan Islam ini bukanlah agenda peribadi mana-mana pihak. Agenda ini adalah ketetapan Ilahi yang wajib dipatuhi oleh semua manusia yang beriman tanpa mengira fahaman politik. Walaupun pemimpin silih berganti, namun dasar kami untuk membangunkan Islam di negara ini termasuk di Pulau Pinang, tidak pernah berubah.


Sekian, terima kasih.

AFNAN HAMIMI DATO' TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang
Sesi 2015-2017



Selasa 
1 Sya'ban 1436H / 19 Mei 2015M

0 comments: