
Kepada,
MENTERI LUAR NEGERI, MALAYSIA
KHAMIS | 27 Mei 2015
Melalui,
YB NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AHLI PARLIMEN PASIR MAS
Memorandum ini diserahkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri untuk menyatakan sokongan padu terhadap resolusi United Nations General Assembly yang telah disepakati pada 29 December 2014. Kerajaan Myanmar telah didesak untuk mengiktiraf kerakyatan penuh etnik minoriti Muslim Rohingya, menghentikan penindasan terhadap mereka dan memberikan layanan yang adil sebagai rakyat Myanmar yang bebas merdeka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memandang serius mengenai krisis ini. Setiausahanya, Ban Ki-Moon menyifatkan tindakan Kerajaan Myanmar sebagai satu ancaman terancang, genosid dan penghapusan etnik. Sehingga kini, hampir 2 juta orang etnik minoriti Muslim Rohingya telah dihalau sejak 1948, seramai 140,000 orang sedang mendapatkan perlindungan di kem pelarian dan lebih 5,000 orang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka. Ini bukti keseriusan tekanan hak terhadap minoriti Muslim dan tragedi kemanusiaan yang melampau!
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berikrar akan menjadikan isu ini sebagai agenda penting dalam mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC yang sedang berlangsung hari ini di Kuwait. Malah, OIC juga akan memobilisasi beberapa kepentingannya untuk membela pelarian etnik minoriti Muslim Rohingya termasuk telah menghantar Duta Khas OIC ke Myanmar bagi mengambil tindakan yang lebih terperinci di peringkat serantau.
Sebaliknya, tindakan sistematik dan kolektif di peringkat ASEAN masih perlahan. YAB Perdana Menteri tidak langsung menyuarakan perihal nasib etnik minoriti Muslim Rohingya di Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 27 April 2015 yang lalu. Sementara itu, YAB Timbalan Perdana Menteri hanya mahu krisis ini diselesaikan secara peringkat domestik Kerajaan Myanmar tanpa dibebankan kepada negara-negara ASEAN.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tidak harus bersikap apologetik dan pasif dalam hal ini. Ia bukan tindakan intervensi konflik dalaman sesebuah kedaulatan negara, tetapi ia adalah tanggungjawab untuk membela golongan mustadh’afin yang dizalimi dari buminya sendiri. Ia telah menjadi tanggungjawab kolektiviti di peringkat rantau ASEAN untuk bertindak lebih tegas bagi menekan Kerajaan Myanmar yang terus menerus menghapuskan etnik minoriti Muslim Rohingya secara sistematik.
Malaysia boleh mengambil inisiatif dengan menghimpunkan gerakan-gerakan sivil, ahli-ahli Parlimen Islam, kumpulan anak muda dan pakar akademik di rantau ASEAN bagi membincangkan secara serius perkara ini. Malah, secara drastik, Malaysia wajar memanggil sidang tergempar ASEAN untuk mengimbangi tindakan autokratik Myanmar terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya. Memberi perlindungan sementara terhadap pelarian tidak akan menyelesaikan akar masalah, sebaliknya ia akan menimbulkan lebih banyak dampak sampingan seperti pemerdagangan manusia dan sindiket jenayah antarabangsa.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Ustaz Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ir Khairil Nizam Khirudin
Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Ustaz Syarhan Humaizi
Ketua, Dewan Pemuda PAS Selangor
Ustaz Yusaini Yahya
Ketua, Dewan Pemuda PAS Perlis
YB Ustaz Mohd Azam Samat
Ketua, Dewan Pemuda PAS Kedah
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuden
Ketua, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang
Ustaz Mohd Akmal Kamarudin
Ketua, Dewan Pemuda PAS Perak
Ustaz Kamaruzaman Abdullah
Ketua, Dewan Pemuda PAS Terengganu
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
Ketua, Dewan Pemuda PAS Kelantan
Ustaz Hazmi Dibok
Ketua, Dewan Pemuda PAS Pahang
0 comments: