Menanti Lahirnya 1 MDB Kedua Sebagai Pemacu Kegagalan RMK 11

Diterbitkan: 24 Mei 2015
Ditulis oleh YB Dato’ Mahfuz Omar

1. Rancangan Malaysia (RMK) merupakan perancangan nasional pembangunan negara yang dibentangkan pada setiap lima tahun. Tidak dapat dinafikan bermula RMK 1 sehinggalah RMK 10 ada memberikan manfaat kepada negara daripada kurang membangun sehinggalah menjadi negara membangun dan kini menuju kepada status negara maju.

2. Yang terbaru, RMK 11 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di parlimen pada pagi Khamis, 21 Mei 2015. Untuk kita menganalisa RMK 11, penting juga untuk kita membelek dan membedah terlebih dahulu sejauhmana keberjayaan dan pencapaian RMK 10 (2010-2015) dahulu..? Jilakau dahulu, RMK 1 sehinggalah RMK 9, Unit Perancang Ekonomi (EPU) merupakan pengemudi utama pembangunan negara namun, pada RMK 10 PM Najib telah menyerahkan kemudi tersebut kepada PEMANDU, agensi baru yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

3. Apabila PEMANDU diberikan tauliah sebagai peneraju utama RMK 10, ia merupakan kesilapan besar yang dilakukan oleh PM Najib. RMK 10 tidak pun mencapai tahap yang sepatutnya dicapai kerana pengemudi PEMANDU terdiri daripada mereka yang tidak berpengalaman, ilmu dan hikmah dalam membangunkan negara.

4. Sungguh menyedihkan apabila kita meneliti statistik pencapaian RMK10 di bawah pimpinan PM Najib ini: 

a) Nilai Tukaran Wang Ringgit Malaysia : pada Julai 2013 ialah 1 US Dollar bersamaan dengan RM3.12, kini Mei 2015, merudum kepada RM3.6

b) Hutang Negara: pada 2011 dulu sebanyak RM257 billion, kini 2015 melambung naik sehingga RM740 billio

c) Kadar penggangguran: pada 2011 dulu sebanyak = 3.1%, kini 2015 meningkat kepada 3.2%

d) Kadar inflasi: pada 2011 dulu sebanyak 2.5%, kini 2014 pada 3.3%

5. Lihat pula pada skandal terbesar dalam sejarah negara ini iaitu 1 MDB. Bukankah aneh apabila secara tiba-tiba 1 MDB muncul sedangkan ia tidak wujud pun di dalam pelan RMK 10.? Ia diusahakan sendiri oleh PM tanpa pengetahuan kabinet dan dan Parlimen. Akibat, daripada sikap berlagak pandai ini akhirnya kini negara terpaksa menanggung beban begitu besar sehingga RM 42 Billion hutang 1 MDB. Bukankah ini kegagalan paling besar yang dilakukan oleh PM Najib..? Bukan sahaja itu, kini wang Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan banyak lagi dana awam telah digunakan demi menyelamatkan 1 MDB yang kian karam.

6. Apa yang kita dapat lihat di dalam RMK 11 yang baru dibentang itu, pihak kerajaan masih belum bersungguh untuk mereformasi dan perubahan besar-besaran kepada institusi penting negara dilaksanakan seperti Parlimen, Mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain. Hal ini amat penting khususnya Parlimen agar benar-benar berfungsi sebagai badan yang mampu berperanan dengan lebih berani dan efektif sebagai check and balance kepada pihak eksekutif. Bak kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menzahirkan kekecewaan beliau apabila Parlimen tidak bebas dan hanya bertindak sebagai rubber stamp kepada pihak eksekutif.

Begitu juga pihak kerajaan masih gagal untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis sehingga menyebabkan pihak PDRM masih tercengkam dan takut untuk bertindak kepada pihak eksekutif.

7. Hakikatnya, PM Najib sudah pun gagal pada RMK 10 khususnya isu 1 MDB. Pihak kerajaan begitu bersungguh untuk mengejar status pencapaian negara berpendapatan tinggi tapi yang menjadi mangsanya adalaha golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang dipaksa menanggung bebanan akibat pelaksanaan GST. Jikalau pihak kerajaan masih tidak punyai keazaman dan kesungguhan dalam membuat perubahan menangani isu boros berbelanja, ketirisan dan salahguna kuasa, impian untuk bergelar Negara Maju pada 2020 kelak tidak ubah seperti angan-angat mat jenin. Adakah kita juga menanti lahirnya 1 MDB yang kedua sebagai pemacu kegagalan RMK 11 pula..?


YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
22 Mei 2015

0 comments: