Pelaburan Selamat Dijamin Kerajaan Atau Dijamin Rakyat


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
7 Syaaban 1436 / 25 Mei 2015

"Pelaburan Selamat Dijamin Kerajaan Atau Dijamin Rakyat?"


1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah merasa bimbang terhadap kemungkinan lebih banyak dana rakyat akan digunakan atas terma “Dijamin Oleh Kerajaan” untuk ‘menyelamatkan’ syarikat milik kerajaan yang tenat seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


2. Terma itu kini dilihat sebagai ‘alasan’ yang menakutkan kerana telah terbukti penggunaan secara kontroversi dana rakyat, termasuk deposit simpanan bakal jamaah haji untuk pembelian aset dengan nilai harga luar biasa dari syarikat tersebut.


3. Terbaru, terma sama diungkapkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Dato’ Seri Zukri Samat bahawa pelaburan anak syarikatnya iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebanyak RM85 juta di dalam sukuk Islamik terbitan 1MDB adalah selamat kerana dijamin oleh kerajaan.


4. Terma tersebut bukan lagi jawapan yang melegakan rakyat kerana ia telah menjadi petaka besar bahawa duit rakyat bakal dibelasah untuk menyelamatkan syarikat ini. Tidak cukup dengan itu kerajaan terpaksa menyuntik dana untuk ‘kelegaan seketika’.


5. Kenapa kerajaan terus menjebak dalam risiko pada syarikat yang kian nazak ini sedangkan pertikaiannya bukan sahaja dari rakyat umum, tapi juga Timbalan Perdana Menteri? Terbitan 1MDB yang dilanggan oleh Takaful Malaysia itu mempunyai tempoh matang 30 tahun iaitu sehingga 2039 dengan kadar kupon 5.25 peratus.


6. Sebenarnya, 1MDB akan selamat kerana “Dijamin Oleh Kerajaan” atau “Dijamin Oleh Rakyat”? Penubuhan 1MDB kelihatan suci di atas kertas, namun praktiknya penuh dengan rahsia korup, kroni, ‘mark up’, Ali Baba dan kecurangan ekonomi yang dahsyat.


7. Rakyat akan terus dijadikan sasaran apabila 1MDB melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada Jun atau Julai 2015 nanti bagi mendapatkan dana yang akan digunakan untuk menangani masalah aliran tunai syarikat itu.


8. Malah, 1MDB juga ingin melepaskan 80 peratus pegangan dalam aset tenaganya setelah penjualan tanah TRX kepada Tabung Haji Properties sebelum ini sebagai usaha mencairkan aset tanpa perbincangan terbuka dan telus.


9. Hari ini 1MDB telah jadi bahan jenaka. Diperkenalkan sebagai syarikat ‘berdikari’ dengan kononnya bermodal hanya RM 1 juta, tetapi Kabinet pada 25 Februari lalu meluluskan suntikan dana sebanyak RM950 juta sebagai ‘stand by credit’.


10. Syarikat ini juga sedang berhadapan desakan enam bank antarabangsa yang mengarahkan pembayaran hutang lebih awal dari tempoh matang. Kerajaanlah yang akan menanggung beban ini dan dalam erti kata sebenar, dana rakyat akan digunakan untuk tujuan tersebut.



USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ketua Penerangan

0 comments: