ALOR SETAR : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan sektor pendidikan sebagai pintu yang sangat penting dimasuki PAS dalam usaha menyampaikan risalah dakwah dan agenda perjuangan Islam.
Demikian itulah ujarnya, PAS membuka banyak pusat pengajian berasaskan acuan dan manhaj sendiri, serta memasukkan para tenaga PAS untuk terlibat serta ke dalam program-program pendidikan yang diatur sama ada oleh kerajaan mahupun pihak lain.
“Kita tidak suruh orang PAS letak jawatan di kementerian-kementerian, tidak letak jawatan dari pusat pengajian tinggi, universiti, sekolah menengah dan rendah. Mereka boleh mengajar di sekolah Cina, sekolah Tamil, boleh mengajar mana-mana sekolah pun.
“Kita masuk di dalamnya supaya kita boleh memasukkan cahaya dakwah Islam yang kita bawa. Ini satu langkah yang menjadi kewajipan kepada orang PAS untuk memahaminya,” ujarnya menerang peranan itu pada Pidato Khas Himpunan Pendidik Islam Malaysia 3.0 sempena Hari Guru di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 16 Mei lalu.
Seru beliau, ahli PAS mesti memberi sokongan dan dokongan kuat kepada institusi dan pusat pendidikan diwujudkan PAS, manakala bagi mereka yang terlibat langsung di sektor itu, perlulah menjalankan tanggung jawab sebaiknya demi kepentingan Islam.
Menurutnya, kegagalan Barat mengalahkan Islam dalam banyak siri peperangan menyebabkan para orientalis menjadikan pendidikan sebagai sasaran untuk memusnahkan kekuatan umat Islam.
Terang Tuan Guru, orientalis Barat mewujudkan sekolah-sekolah mereka yang bermotif memurtadkan orang Islam dan setelah gagal mereka menukar strategi dengan melahirkan pula sekolah aliran kebangsaan dan memperkenalkan kemajuan Tamadun Barat.
Katanya, usaha menerusi pendidikan kebangsaan adalah untuk melemahkan pendidikan Islam selain melumpuhkan Bahasa Arab serta sejarah-sejarah penting dunia yang perlu diketahui.
Pun begitu katanya, pendidikan Islam tetap kekal bertahan di pondok-pondok, sekolah agama rakyat dan masjid walaupun dikawal dengan tauliah pengajar, mengenakan pelbagai sekatan hinggalah pembunuhan ke atas para ulama yang mengajar.
Sementara golongan yang mengikuti pendidikan Barat pula ujarnya, diberikan pelbagai tawaran lumayan.
“Namun Allah SWT tidak mengizinkan cahaya Islam dipadamkan. Cahaya Islam menyala bukan sahaja di pondok-pondok, tetapi juga di sekolah kebangsaan dan sekolah Inggeris. Termasuk di universiti-universiti Barat yang ditaja mereka sendiri untuk melatih orang Islam menentang agamanya.
“Bahkan di sana pun lahir kebangkitan Islam apabila tertubuhnya kumpulan-kumpulan Islam dari kalangan umat Islam sendiri sama ada mereka dididik melalui pendidikan agama mahupun pendidikan Barat. Di sini bukti pemeliharaan daripada Allah,” ujarnya dihadapan kira-kira 2,000 hadirin.
Jelasnya, perkara itu mengulangi sejarah Firaun yang cuba membunuh anak-anak lelaki Mesir, namun akhirnya Nabi Musa AS dibesarkan di istananya.
Oleh itu seru beliau, ahli-ahli PAS mestilah mendokong dan menggerakkan tanggung jawab mereka di sektor pendidikan sebagai benteng yang mesti dikukuhkan dan dipertahankan.
0 comments: