Diterbitkan: 13 Mei 2015
Ditulis oleh Harakahdaily
KUALA LUMPUR: PAS Terengganu mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir bersolidariti untuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Mahkamah Rayuan, Putrajaya semalam.
Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan bekas calon PKR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Tuan Guru Abdul Hadi.
Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 15 Disember tahun lepas yang menolak saman fitnah RM2 juta dan turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Ahli Parlimen Marang itu.
Peguam Asmuni Awi mewakili Presiden PAS.
Ekoran keputusan itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang menulis di facebook menyatakan cubaan untuk mencalar imej Presiden PAS itu gagal.
Hadir sama di Mahkamah Rayuan semalam ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dan Perak, Mohamad Noor Mohamad dan Razman Zakaria serta Yang Dipertua PAS Putrajaya, Kamaruzaman Mohamad.
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 15 Disember tahun lepas menolak saman fitnah RM2 juta difailkan bekas calon PKR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Anggota Parlimen Marang itu.
Pada 23 Februari tahun lalu, Tuan Guru Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Disember 2013.
Empat hari selepas itu, beliau memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.
Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - HARAKAHDAILY 12/5/2015
0 comments: