SAHAM FGV : KERAJAAN JANGAN HANYA TUTUP MULUT


KENYATAAN MEDIA
NASRUDIN HASSAN
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia

28 Mei 2015 | 10 Sya’ban 1436


‘SAHAM FGV : KERAJAAN JANGAN HANYA TUTUP MULUT’


Kerajaan Malaysia tidak wajar berdiam diri setelah harga saham FGV merudum ke paras paling teruk sehingga RM 1.92 sen seunit hari ini. Berdasarkan prospektus FGV, pelbagai perancangan direncana sehingga menjadikan tawaran awam permulaannya (IPO : RM 4.55 sen) antara yang terbesar di Asia. Harganya pernah melonjak sehingga RM 5.50 sen sesaham pada 7 Julai 2012 iaitu iaitu ketika perasmian bangunan Menara FELDA yang baru dan sambutan Hari Peneroka. Maknanya, tidak sampai sebulan selepas pelancaran IPO-nya pada 27 Jun 2012.


Walau bagaimanapun, ia mula jatuh sekitar RM 4.60 sen seunit pada Suku Pertama 2014, RM 2.21 sen seunit pada 23 Disember 2014 dan secara konsisten merudum sehingga ke hari ini, 28 Mei 2015 (RM 1.92 sen). Tren ini membimbangkan! Malah, kebanyakan institusi penyelidikan komersial seperti Maybank Investment Bank Research, Affin Hwang Capital dan lain-lain menjangkakan prestasi buruk ini akan berlarutan sehingga tahun kewangan 2017. Hampir kesemuanya membuat panggilan ‘hold’ dan meletakkan sasaran harga yang lebih rendah.


Sebanyak 75 peratus bisnes teras FGV bergantung kepada komoditi minyak kelapa sawit. Kini, ia terdedah kepada penurunan harga pasaran dunia, perubahan iklim yang tidak stabil terutama hujung tahun lalu dan kekurangan produksi. Maka, pihak pengurusan FELDA dan Kerajaan Malaysia harus meneroka ruang bisnes yang lebih pelbagai disamping mengukuhkan beberapa bisnes hiliran sepertimana yang dirancang dalam prospektus FGV dua tahun yang lalu.


Oleh yang demikian, saya ingin tegaskan bahawa pihak Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap nasib badan berkanun yang kepentingannya dimiliki hampir 2 juta peneroka ini. Kebanyakan sahamnya turut dimiliki oleh dana awam seperti Lembaga Tabung Haji (8%), KWSP (8%) dan KWAP (7%). Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan umum dan prestasi institusi utama negara.


Sekian, terima kasih.

0 comments: