Sempurnakan Perintah Agama Dengan Didikan Dan Kefahaman Disebalik Penguatkuasaan Hukuman


KENYATAAN MEDIA KHAS
13 Mei 2015


1. Langkah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) menguatkuasakan tindakan saman kepada lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut amat disokong dan dialukan. Ini sesuai dengan kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap lelaki Muslim kepada perintah tersebut.

2. Penguatkuasaan ini diharap tidak berfokus hanya kepada aspek hukuman, tetapi menjurus kepada usaha mendidik dan meluruskan tanggung jawab terhadap melaksana tuntutan agama. Demikian itu ia sebenarnya menuntut dokongan bersama masyarakat Islam seluruhnya sesuai dengan firman Allah dalam surah al-‘Alaq, “...berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.”

3. Kerana kita mahu masyarakat Islam itu mengamalkan agamanya dengan faham dan ubudiyyah. Maka nasihat dari masyarakat adalah dorongan dan motivasi terbaik, disamping penguatkuasaan dari pihak berkuasa seperti JAIK sebagai mekanisme kawalan.

4. Seiring itu, pihak JAIK perlulah melakukan usaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman kepada masyarakat dengan lebih memfokus dan menyemarakkan pendidikan Islam bukan hanya di masjid dan surau seluruh Kedah, tetapi diluaskan juga ke pejabat-pejabat Kerajaan dan premis awam seperti dewan orang ramai.

5. Jika masyarakat mempunyai ilmu dan kefahaman Islam, pasti mereka melaksanakan tuntutan agama dengan baik. Misalnya masyarakat yang dididik dengan kewajipan solat lima waktu, adalah mustahil mereka akan mengabaikan solat Jumaat dan tidak berbangkit soal pengawasan penguatkuasaan. Malangnya, usaha kesedaran terhadap kewajipan solat lima waktu seakan diabaikan.

6. Masih terdapat acara atau program yang dilangsungkan menghampiri waktu Maghrib dan berakhir selepas Isyak. Juga kursus-kursus yang dilaksanakan mulai pagi sehingga petang di mana waktu rehat pendek diberikan menyebabkan peserta tiada ruang selesa untuk rehat, solat dan makan. Terdapat juga aduan sebelum ini daripada pekerja kilang yang dilarang untuk solat Jumaat atau waktu rehat pendek.

7. Usaha memberi kefahaman Islam secara menyeluruh juga perlu giat disemai JAIK termasuk penguatkuasaan enakmen berkaitan kawalan hiburan, pemakaian menutup aurat, pergaulan bebas antara lelaki perempuan bukan mahram dan berkaitan sebagaimana telah pun dikuatkuasakan di beberapa negeri.

8. Ini akan menjurus kepada tercapainya kehidupan berimbang dan harmoni dalam masyarakat sesuai dengan Islam sebagai cara hidup, sekaligus mengatasi pelbagai kebejatan dan penyakit sosial yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah
Adun Sungai Limau

0 comments: