Diterbitkan: 26 Mei 2015
Ditulis oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar | ANTARAPOS
Keretakan dalam Pakatan Rakyat (PR) boleh berpunca daripada sikap sering menuding jari dan menuduh sesuatu pihak sebagaimana yang diamalkan oleh DAP, tegas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.
“Malah ia membawa kepada keresahan dalaman dan seolah-olah sudah tidak ada jalan untuk memperbaiki (masalah). Contohnya dalam kenyataan mutakhir yang membuat tuduhan PAS seolah-olah mempunyai pakatan sulit dengan Umno-BN dalam melaksanakan hudud di Kelantan.
“Saya menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, sama ada menganggotai PAS, Umno atau PKR sudah menjadi kewajipan bersama untuk menegakkan syariat Islam.
“Ia bukan menjadi tanggungjawab PAS sahaja untuk menegakkannya, ia boleh jadi kepada sesiapa ,” kata Haron ketika dihubungi Antarapos.
Haron diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa PAS terus menjalinkan kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Beliau lantas menegaskan kepentingan Islam menjadi keutamaan kepada mereka yang beragama Islam, tanpa mengira perbezaan politik.
“Bila timbul tuduhan sebagai pakatan sulit untuk membelakangi PR dan bersekongkol dengan Umno, memang mereka boleh berkata demikian. Tetapi sejauh yang saya ikuti, tidak ada keputusan parti untuk bekerjasama dengan Umno.
“Jika ada pun mungkin secara kebetulan. Walaupun tiada permuafakatan, namun atas dasar kepentingan bersama, iaitu sebagai Islam yang ingin melihat hukum-hukum agama terlaksana,” tegasnya lagi.
Pimpinan DAP kini memperhebatkan serangan ke atas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tekad PAS melaksanakan hudud di Kelantan.
Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan beberapa pindaan ke atas undang-undang itu dengan sokongn kesemua 12 ADUN Umno.
Sumber: ANTARAPOS
Sumber: ANTARAPOS
0 comments: