Tahniah Takaful Tampil Sah Beli Sukuk 1MDB

Diterbitkan: 15 Mei 2015
Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Tahniah diucapkan kepada Syarikat Takaful Malaysia Bhd yang berani tampil untuk mengesahkan pembelian bon sukuk bernilai RM85 juta daripada 1Malaysia Development Berhad, 1MDB.


Seeloknya syarikat-syarikat yang melibatkan duit rakyat turut tampil ke depan seperti Takaful untuk mengesahkan pinjaman duit kepada 1MDB melalui pembelian sukuk.


Jangan jadi seperti Lembaga Tabung Haji yang seolah-olah cuba merahsiakan urusannya dengan 1MDB. Jika tidak ditanya dengan betul, masakan LTH akan mengesahkan ada pelaburan sukuk sebanyak RM920.8 juta di dalam 1MDB selain pembelian tanah TRX yang dijual oleh 1MDB.

Pendedahan ini perlu kerana kontroversi yang mengelilingi 1MDB sangat besar.


Pengakuan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Bhd Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil bahawa masih belum menerima pembayaran kadar kupon daripada pembelian sukuk daripada 1MDB sejak 2009 juga amat merisaukan.


Melihat pada prestasi sukuk yang dibeli Takaful, persoalan timbul apakah 1MDB mampu membayar apa yang dijanjinya kepada TH melalui penjualan sukuk yang bernilai RM920.8 juta sekiranya ia menghadapi masalah untuk melangsaikan hutang-hutangnya daripada bank seperti Deutsche Bank?


Apakah TH dan Takaful tidak risau mengenai pelaburan membeli sukuk 1MDB?


Apakah ini kerana kerajaan adalah penjamin kepada sukuk tersebut jika 1MDB tidak mampu membayarnya? Jika benar, rakyat perlu risau. Kerana merekalah yang perlu membayar hutang ini pada penghujungnya nanti melalui pelbagai cukai yang dikenakan ke atas mereka.


Kalau ini terjadi, maka ia sangat memilukan kerana 1MDB menikmati duit yang dipinjamnya, tapi hutangnya pula dibayar rakyat. Lebih ironi ialah rakyat adalah pencarum, dan rakyat jugalah yang membayar untung kepada pelaburan TH dan Takaful dalam sukuk 1MDB apabila tiba tempoh matang nanti.


Dalam pada itu, PAS menyokong desakan Pengerusi CIMB Datuk Nazir Razak agar Lembaga Pengarah 1MDB meletak jawatan sekiranya gagal menjawab persoalan mengenai kewangannya.


Bukan itu sahaja, PAS juga menyeru Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan serta-merta sebelum laporan audit mengenai 1MDB oleh Ketua Audit Negara disiapkan. Kedudukan PM sebagai penasihat 1MDB adalah satu konflik kepentingan dan halangan untuk siasatan kepada 1MBD dilakukan secara telus dan tanpa rasa takut.


Jangan biar rakyat nampak yang tertuduh sedang mengerahkan orang lain untuk menyiasat tertuduh sendiri. 


Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
15 Mei 2015

0 comments: