Teruskan Usaha Dakwah Berkenaan Syariat Islam

1. Saya meneliti rakaman ucapan Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang dalam ceramah bertemakan “Kukuhkan Pakatan, Hancurkan Barisan” di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad, 10 Mei 2015. Di dalam ucapan tersebut, beliau ada menceritakan pengalaman pergi lawatan sambil belajar ke Jordan dan Mesir bersama empat lagi Ahli Parlimen DAP yang lain.

2. Beliau berkata ada membuat pertemuan dengan golongan intelektual, aktivis dan juga mahasiswa Malaysia di sana. Beliau menyebut bahawa di Jordan dan Mesir yang mana umat Islam seramai 92% dan 95% daripada populasi rakyat tidak pula mengamalkan Hudud. Beliau turut memetik pandangan Syeikh Yusof Al Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia yang mengatakan Syariah tidak boleh diterima sebahagian sahaja, ia perlu dilaksanakan secara keseluruhan, yang mana Qisas dan Hudud ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada syariat Islam. Beliau turut menyentuh persoalan mengenai Fiqh Awlawiyyat iaitu negara perlu melaksanakan hak kepada rakyat sebelum menuntut tanggungjawab rakyat kepada negara.

3. Sememangnya, saya tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh YB Lim Kit Siang atas apa yang beliau ulas dalam Ceramah “Kukuhkan Pakatan, Hancurkan Barisan” kerana isu yang disentuh itu sensitif kepada ummat Islam khususnya rakyat Kelantan yang telah memberi amanah kepada PAS untuk mentadbir sejak tahun 1990. Sungguhpun demikian, saya menghormati pandangan beliau tersebut atas asas beliau sebagai orang bukan Islam berhak untuk tidak bersetuju dengan undang-undang Islam dan ia juga seiring dengan pendirian DAP selama ini pun.

4. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita para pimpinan dan ahli PAS untuk terus berdakwah dan menerangkan kepada masyarakat termasuklah golongan bukan Islam agar mereka benar-benar memahami keindahan hukum Islam. Tidaklah mustahil suatu hari nanti, kita akan dapat lihat mereka yang pernah menjadi penentang pada hari ini akan menjadi penyokong kuat kepada pelaksanaan hukum Islam.

Ir Haji Kharil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
13 Mei 2015

0 comments: