
“TUNTUT KWSP SEGERA PERKENALKAN SKIM PERSARAAN PATUH SYARIAH”
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh.
Saya merujuk kepada jawapan yang dikemukakan oleh YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan berhubung soalan lisan saya di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2015.
Soalan yang saya kemukakan adalah berdasarkan kepada taklimat KWSP pada 24 April 2015 yang mendedahkan hanya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan aset KWSP yang bernilai RM 636 bilion adalah pelaburan patuh Syariah dan bakinya (60%) adalah konvensional.
Ini menunjukkan caruman pekerja khususnya daripada golongan Muslim terdedah kepada portfolio pelaburan yang tidak patuh Syariah. Tambahan pula, dalam satu kajian yang dijalankan oleh KWSP pada hujung bulan lalu, sebanyak 71 peratus daripada 96,000 responden yang bersedia untuka bertukar kepada skim persaraan patuh Syariah berbanding skim persaraan yang sedia ada.
Ini adalah masa yang terbaik untuk pihak KWSP mengambil tindakan berdasarkan kepentingan awam untuk menyediakan skim persaraan patuh Syariah kepada para pencarum.
Saya difahamkan pihak KWSP telah mensasarkan pelaksanaan agenda ini pada tahun 2017. Oleh itu, saya berharap agar jawatankuasa Syariah KWSP dapat diperkasakan dan segera mendapatkan pandangan awam berhubung perkara ini.
Selain itu, saya ingin mencadangkan agar pihak KWSP boleh menyediakan pilihan konsultansi pengurusan kewangan secara Islam yang merangkumi wasiyat, hibah, faraid dan waqaf kepada pencarum.
Ini membolehkan pihak pencarum mendapatkan gambaran yang luas untuk mengurus dan memperoleh manfaat di dunia dan di akhirat daripada harta mereka selain daripada menggunakan harta tersebut secara cermat ketika umur persaraan.
Sekian, terima kasih.
0 comments: