Sampaikan Mesej Perjuangan Islam Dibawa PAS

Diterbitkan: 01 Julai 2015
Ditulis oleh Izwan Abdul Halim

KEPALA BATAS : Seluruh ahli PAS perlu berperanan sebagai agen parti yang gigih membawa mesej dakwah dan penerangan PAS dalam memperjuangkan Islam hingga akhirnya diterima oleh masyarakat, demikian seru Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Katanya, masalah dihadapi sebalik perkara tersebut apabila maklumat tidak sampai dan salah lapor oleh khususnya media baharu yang sememangnya mempunyai agenda tersembunyi melalui laporan dan cara melaporkan.
“Mereka yang menggunakan media baharu untuk memesongkan pemikiran masyarakat kita. Di luar sana ada ‘Warlord’ yang merancang dan mengatur strategi untuk menguasai suasana supaya masyarakat mengambil maklumat secara salah,” terangnya pada ceramah di Markas PAS Negeri Pulau Pinang, Pongsu Seribu di sini 27 Jun lalu.
Beliau mengemukakan contoh berkaitan ucapannya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 lalu yang diputar belit kononnya mahu menyerang DAP dengan siku dan lutut.
Jelasnya, siku dan lutut itu hanyalah simbolik kepada kesediaan untuk mempertahankan diri dan bukan berhasrat menyerang mana-mana pihak.
“Saya kata tolonglah jangan hina PAS, jangan persenda Islam diperjuangkan oleh PAS, jangan perlekeh gerakan Islam didokong oleh PAS ini. Kerana kami dari Dewan Ulamak, walaupun rata-rata nampak memakai jubah dan serban, tetapi dalam jubah itu ada siku dan lutut.
“Kami ada siku dan lutut yang boleh digunakan untuk mepertahankan Islam apabila Islam dipersenda, kepimpinannya diperlekeh, tak kan kami nak berpeluh tubuh? Tiba-tiba keluar di media (menyatakan) PAS mahu ajar DAP dengan siku dan lutut menggunakan ayat menyerang. Itu satu contoh putar belit,” luahnya kesal.
Ustaz Nasrudin seterusnya memetik hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Jangan kamu bercita-cita mencari musuh, sebaliknya mintalah dari Allah pemeliharaan. Namun seandainya kamu bertemu musuh, pertingkatkanlah kesabaran kamu. Ketahuilah sesuangguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang.”
Jelasnya, Nabi mengguna pedang tidak siku dan lutut, namun membawa mesej sama iaitu Islam mesti dipertahankan dan tidak membiarkannya diherdik atau dipandang rendah.
Tegas beliau, perjaungan silam ada izzah kerana para pejuangnya adalah golongan yang dimuliakan dengan Islam.
Oleh itu, ahli PAS mestilah tidak merasa ragu untuk bercakap mengenai Islam, tidak rasa terbeban menyampaikan Islam serta tidak merasa kerdil dan hina untuk menjulang panji perjuangan Islam.
Menurut beliau, bersama komitmen dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS akan mengadakan jelajah ke negeri-negeri seluruh negara bagi beri penjelasan yang betul mengenai perjuangan Islam di bawa PAS.
Tegas Ustaz Nasrudin, PAS tidak membawa permusuhan, sebaliknya hadir sebagai harapan kepada masyarakat serta untuk memimpin kepada masa depan yang baik bersama Islam agar selamat di dunia dan di akhirat.
Manakala katanya, bagi mereka yang tidak bersedia menerima Islam, sekurang-kurangnya mereka tidak menentang Islam apabila dapat memahami bahawa Islam dibawa PAS adalah perjuangan suci untuk memastikan masyarakat bebas dari cengkaman jahiliyyah dan kezaliman pemerintahan tidak berteraskan Islam.
Tanpa menafikan bahawa mutakhir ini PAS berhadapan banyak mehnah dan ibtila’, namun jelasnya, perkara itu semua telah menjadi sunnatullah perjuangan Islam.
“Perlu yakin, bahawa semua itu pasti akan memantap dan mengukuhkan lagi perjuangan jamaah kita. Paling penting kita kena bersabar dan beristiqamah. Jangan cepat kecewa kerana tidak ada istilah kecewa dalam kamus perjuangan.
“Kitalah yang akan terus membawa bahtera penyelamat ini, namanya Islam. Yakinlah, pertolongan Allah itu sangat hampir dan Allah tahu bilakah jadual kemenangan itu,” ujarnya membangunkan motivasi.

22 comments:

Bibit Keruntuhan Ekonomi Jahiliyah

Diterbitkan: 01 Julai 2015
Ditulis oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi

Islam menggariskan tiga faktor utama yang menjadi punca keruntuhan sesebuah ekonomi iaitulah riba, tipu dan makan harta orang lain secara jalan batil.
Hari ini telah disaksikan, keruntuhan ekonomi berskala besar telah berlaku ke atas sebuah negara Eropah, Greece dari akibat riba yang diharamkan Allah SWT. Bibit-bibit keruntuhan ekonomi jahiliyah kini sedang bermula sebagaimana jatuhnya kuasa kapitalis, sosialis dan komunis.
Tidak mustahil esok dan lusa perkara sama boleh berlaku ke atas negara kita sekiranya kerajaan yang memerintah tidak berpegang kepada sistem ekonomi Islam digariskan Allah SWT.
Kerana ketiga-tiga faktor keruntuhan dan kezaliman ekonomi tersebut sememangnya lengkap menjadi amalan Malaysia sejak sekian lama. Riba, penipuan dan mengambil harta rakyat di atas jalan yang batil berlaku secara berleluasa.

Hari ini satu lagi malang menimpa rakyat negara ini apabila bahan bakar utama yakni petrol dinaikkan 10 sen dan 20 sen seliter. Kenaikan harga minyak ini bakal mencekik leher rakyat atas kesan berangkai peningkatan harga barangan yang pasti berlaku selepas ini.

Rakyat kekal menjadi mangsa yang dibebankan setelah pelaksanaan GST menghimpit kehidupan mereka. Kerajaan yang terperuk oleh pemikiran jahiliyah melihat kaedah seperti itu sebagai usaha menyelamatkan ekonomi. Walhal itulah keruntuhan diperingkat dasar yakni rakyat, sebelum ia merudumkan seluruh ekonomi negara.

Perkara yang berlaku ini tidak ubah umpama mengharapkan serigala menjaga biri-biri. Sumber dan hasil mahsul negara ini melimpah ruah tidak pernah berkurangan. Tetapi kerajaan yang diamanahkan rakyat untuk menguruskannya curang dan khianat.

Kekayaan negara menjadi milik peribadi dan kroni yang menyenangkan tembolok nafsu pemimpin haloba. Ia beredar hanya di kalangan mereka tertentu yang berkuasa dan mengampu.

Sedangkan rakyat, digula-gulakan pemberian berkala senilai hanya ratusan ringgit demi menutup mulut berbicara kerakusan pemerintah durjana.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
14 Ramadhan 1436/1Julai 2015

0 comments:

Qada' & Fidyah Puasa Serta Hikmah Pensyariatannya


KALAM 14 RAMADHAN
Qadha' Dan Fidyah

Disampaikan oleh:
Ustaz Nazri Nawi


Perkara ini sangat asas, tetapi benda asas beginilah biasanya kita terlepas pandang.

Apabila mahu qadha', mestilah tidak berpuasa. Orang yang tidak berpuasa mestilah sakit, sakit yang dibenarkan adalah yang memudharatkan kesihatan atau pun nyawa. Contoh, makan ubat adalah satu kaedah syar'ie.

Puasa ini mestilah diganti dengan kadar jumlah hari yang ditinggalkan.

Orang yang dibenarkan tidak puasa juga adalah musafir. Musafir pada hari ini tidak seperti zaman Rasulullah, sangat susah keadaannya. Zaman kita hari ini sangat selesa dan bermacam kemudahan, jika kamu mahu berpuasa maka itu adalah lebih baik untuk kamu. Sekiranya mahu berbuka puasa ada syaratnya iaitu bukan di jalan maksiat.

Seterusnya adalah tidak mampu atau lemah dan uzur. Kebiasaannya berlaku pada orang-orang tua.

Yang seterusnya adalah bagi ibu yang menyusu. Dibenarkan berbuka untuk menjaga maslahah ibu dan juga anak.

Dalam 4 golongan yang dibenarkan berbuka puasa ini, satu golongan yang tidak wajib qadha adalah golongan yang lemah dan wajib membayar fidyah dengan kadar 600g makanan ruji untuk sehari.

Golongan yang selainnya wajib menggantikan puasa dengan kadar yang ditinggalkan. Sesiapa yang tidak sempat menggantikan puasa sehingga sampai hari syak, maka wajib untuk membayar fidyah dan menggantikannya selepas Ramadhan, ada ulama menambahkan lagi supaya bertaubat bersungguh-sungguh kerana kelalaian.

Orang yang mempunyai sakit yang menyebabkan mati tidak wajib lagi untuk qadha' puasa, namun jika warisnya mahu qadha', Rasulullah membenarkan tetapi tidak wajib.

Orang yang wajib berpuasa tetapi meninggalkannya semasa hidup, warisnya perlu membayar fidyah setelah kematiannya.


Dicatat oleh:
Muhammad Hafizuddin MN

14 Ramadhan 1436H / 30 Jun 2015M
Ihya' Tarbiyah Ramadhan MAQTAR 1436
Surau Hj Hassan Shukri
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad

0 comments:

Minyak Naik: Kerajaan Dera Rakyat Sebelum Aidilfitri

Diterbitkan: 01 Julai 2015
Ditulis oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno BN disifatkan mendera rakyat khususnya umat Islam yang bakal menyambut 1 Syawal dengan hadiah kenaikan harga minyak berkuatkuasa 1 Julai (hari ini).
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohammad Nor berkata, kenaikan pada kali ini selepas kenaikan beberapa  bulan lalu adalah satu siri penderaan melampau oleh kerajaan yang tidak prihatin dengan masalah rakyat.
Bercakap kepada Harakah 30 Jun lalu, beliau berkata PAS kesal dengan keputusan kenaikan ini kerana rakyat sebenarnya sudah terlalu terbeban dengan himpitan kos hidup selepas 1 April dengan pelaksanaan GST.

"Kos hidup meningkat sedangkan kerajaan langsung tidak memberi apa apa bantuan khususnya kepada kakitangan awam. Bantuan raya RM500 hanya apa sangat yang boleh dibuat khasnya kepada mereka yang ramai anak.

"Selepas beri RM500 bantuan kakitangan awam beraya, kerajaan kutip semula dengan kenaikan harga minyak. Satu tangan memberi satu lagi tangan ambik semula," kata beliau lagi.

Sambil menyifatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terlalu boros dengan pembaziran dan projek yang gagal, Dr Riduan berkata kini semua kegagalan kerajaan mengurus kewangan negara dibebankan kepada rakyat dengan kenaikan harga minyak, GST dan pelbagai kenaikan caj perkhidmatan lain.

"Bayangkan sedang rakyat khasnya umat Islam berpuasa, tidak lama lagi sambut Aidilfitri tiba tiba kerajaan naikkan harga minyak. Terbantutlah kegembiraan rakyat mahu sambut Syawal," katanya lagi.

Pada 30 Jun kerajaan mengumumkan kenaikan harga Ron 95 dan Ron 97.

Kenaikan itu menjadikan harga minyak pilihan rakyat iaitu Ron 95 yang sebelum ini pada harga RM2.05 kini RM2.15.

Kenaikan ini mendapat kritikan umum dimedia sosial termasuk kecaman oleh Ketua Penerangan PAS yang baharu, Ustaz Nasruddin Hassan di twitter nya pada malam Rabu.

0 comments:

BATALKAN KENAIKAN PETROL

Kenyataan Media Penerangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh
14 Ramadhan 1436 | 01 Julai 2015

BATALKAN KENAIKAN PETROL


1. Kerajaan Malaysia didesak untuk membatalkan kenaikan harga runcit Petrol RON 95 sebanyak 10 sen seliter dan Petrol 97 sebanyak 20 sen seliter serta merta. Tindakan menaikkannya adalah sangat tidak munasabah kerana berdasarkan Crude Oil Brent, harga pasaran dunia dalam relatif rendah.

2. Sepatutnya, kerajaan harus mengambil pendekatan lebih bijak untuk mengurangkan beban rakyat setelah dampak pelaksanaan GST (6%) pada 1 April disusuli dengan kenaikan harga runcit petrol dan diesel pada 1 Jun yang lalu.

3. Kerajaan Malaysia juga dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila mengambil sikap lepas tangan dengan tidak lagi memberikan notis awal kenaikan bahan api ini setiap hujung bulan. Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat.

4. Kenaikan yang berlaku hari ini sudah pasti akan memberikan kesan besar terhadap beberapa harga barang keperluan rakyat dalam tempoh terdekat. Ini akan menambahkan beban rakyat khususnya masyarakat Islam yang akan menyambut hari raya kira-kira 15 hari lagi.

5. Kebiasaannya akan berlaku kenaikan beberapa jenis barang keperluan seperti ayam dan daging menjelang hari raya dan perkara ini sukar dikawal oleh kerajaan. Ini tidak termasuk kemungkinan kenaikan kadar tol pada bulan Ogos dan juga tarif elektrik pada awal tahun hadapan.

6. Tekanan kos sara hidup dan peningkatan inflasi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan terus menekan golongan berpendapatan rendah (B40). PAS mendesak sekali lagi supaya kerajaan membatalkan kenaikan ini serta merta kerana tidak terdapat justifikasi kukuh.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Melangkah Melepasi 10 Awal Ramadan Dan Meniti 10 Kedua Ramadan: Tadabbur Ayat-Ayat Taqwa Al-Baqarah 1-5


1. Taqwa itu bermula dengan iman diiringi dengan syariat bermatlamatkan kebahagian abadi di hari Akhirat


2. Iman pula bermula dengan meyakini perkara yang ghaib, ghaib al-Khaliq dan ghaib al-makhluq

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ (orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib)



3. Amal-amal keislaman itu pula bermula dengan amalan solat dan infaq

وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ

(dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.)



4. amal-amal keislaman pula hendaklah bersandarkan syara' sehingga tidak terlepas daripada batas-batas syariat sebagaimana yang diwahyukan kepada RasululLah SAW dan sebagaimana para Rasul terdahulu juga dibekalkan wahyu dalam menetapkan hukum.

وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ (Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu,)



5. Kesempurnaan amalan keislaman yang terikat di dalam ruang syariat Allah pula akan memberi makna yang berpanjangan dengan meyakini ganjarannya di hari kemudian

وَبِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ (mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)



6. Natijahnya pentunjuk berterusan daripada Allah dan kejayaan hakiki menurut neraca Allah swt.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَىٰ هُدً۬ى مِّن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya)



Tercapaikan taqwa dengan puasa kali ini?

0 comments:

SINGGAH SAHUR PEMUDA PAS WP MENYANTUNI POLIS DAN HOSPITAL


KUALA LUMPUR, 30 Jun - Kemeriahan Ramadhan yang tiada pada bulan lain adalah semasa berbuka, bersahur dan juga bersolat terawikh. Tiada apa yang lebih menggembirakan di bulan Ramadhan ini selain dapat bersama-sama berbuka dan bersahur.

Kegembiraan ini turut dikongsi bersama apabila sekumpulan anak muda turun ke tengah-tengah bandar kota raya untuk mengedarkan juadah bersahur. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk mengedarkan juadah bersahur ini kepada sebilangan kakitangan awam yang bertugas pada sebelah malamnya.

Program bermula seawal jam 4.30 pagi apabila masing-masing berkumpul di perkarangan Pejabat Agung PAS. Dari Pejabat Agung PAS, mereka bergerak menuju ke IPD Dang Wangi untuk edaran. Juadah bersahur yang disenduk sendiri sementara masih panas terus dibungkus dan diedarkan kepada sebahagian anggota polis yang bertugas pada pagi tersebut. Meskipun masing-masing terpaksa bersengkang mata demi tugasan, namun senyuman para anggota polis menyambut ketibaan para pemuda PAS WP ini seolah-seolah tiada kepenatan bagi mereka.

Seusai mengedarkan juadah di IPD Dang Wangi, Dewan Pemuda PAS WP terus bergerak ke Hospital Kuala Lumpur untuk edaran terakhir. Bahagian unit kecemasan di Hospital Kuala Lumpur menjadi tumpuan mereka. Walaupun masih awal pagi, namun tiada kesunyian di bahagian ini. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, kehadiran para pemuda PAS WP ini disambut dengan tangan yang terbuka. Petugas daripada Hospital Kuala Lumpur turut membantu dalam mengedarkan juadah bersahur yang disediakan. Sambutan yang amat menggalakkan diterima daripada semua staf dan para doktor yang bertugas pada pagi itu.

Meskipun masing-masing begitu sibuk dalam melayan pesakit, namun ianya tidak menghalang para doktor dan staf hospital untuk bersama-sama menikmati juadah bersahur yang disediakan. Lebih bermakna lagi apabila juadah ini disenduk dan disediakan sendiri oleh Ketua Pemuda PAS WP merangkap Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia iaitu Sdr. Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin. Bahkan sepanjang menyediakan juadah ini, senyuman dan gelak tawa kemesraan tidak lekang daripada pihak hsopital dan juga Pemuda PAS WP.

Subuh menghampiri beberapa minit lagi. Pemuda PAS WP bersiap-siap untuk mengemaskan peralatan bersahur. Sesi bergambar bersama staf diadakan untuk kenang-kenangan sesi singgah sahur Pemuda PAS WP. Pihak Dewan Pemuda PAS WP mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada anggota yang bertugas di IPD Dang Wangi dan para staf dan doktor yang sudi menerima kunjungan singgah sahur.

0 comments:

PAS Tidak Berganjak, Terus Perjuang Hudud

KEPALA BATAS: Ramai dari kalangan mereka yang memusuhi Islam menggunakan hukum hudud untuk menakutkan manusia kepada Islam, sedangkan hudud adalah satu juzuk daripada Undang-undang Jenayah Islam, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tegas beliau, undang-undang jenayah pula adalah satu juzuk dari perundangan yang banyak di dalam negara seperti perlembagaan, undang-undang perdagangan, tanah, keluarga, antarabangsa dan lain-lain lagi.

Tetapi katanya, media membangkitkan hukuman potong tangan pencuri dan sebatan ke atas penzina yang terdapat dalam hudud untuk menimbulkan kebimbangan terhadap Islam.

Ujarnya, walaupun isu hudud ditimbulkan dengan cara yang hangat, Universiti Nanyang Singapura telah menjemput beliau mengadakan pembentangan khusus mengenai hudud.

Jelas Tuan Guru, dalam mengenali hudud perlulah memahami keseluruhan ajaran Islam ke atas sifat kejadian manusia yang memiliki akal, jasad dan roh, selain bersosial dalam keluarga dan masyarakat serta hubungan kepada perkara nyata dan perkara ghaib.

“Jangan fikir soal kerat tangan sahaja. Di sana ada perhitungan dosa dan pahala. Nak laksana kerat tangan, nak sebat orang dalam hukum hudud, ada hakimnya. Hakim tertakluk pada dosa pahala, hakim mesti adil. Ada saksinya, kalau saksi tidak adil, saksi kena hukum.

“Hudud yang diwajibkan Allah untuk mendidik masyarakat, bukan menghukum masyarakat. Islam menggalakkan orang yang melakukan kesalahan jenayah bertaubat, ampun mengampun di antara satu sama lain diluar mahkamah.

“Bila di bawa ke mahkamah nak jatuhkan hukum hudud, hakim mesti melihat hujah-hujah yang dibawa. Imam Malik mengatakan, kalau ada 100 hujah, tiba-tiba satu hujah ragu dan 99 hujah lagi jelas kena hukum, maka tidak boleh dilaksanakan hudud. Adakah orang salah dibebaskan? Tidak! Pergi kepada hukum takzir,” terangnya pada ceramah di Markas PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu di sini 27 Jun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, hukuman hudud dapat memberi pembelaan kepada mangsa dizalimi serta menakutkan dan mendidik penjenayah, di mana ia berbeza dari hukuman konvensional hari ini yang lebih ‘membela’ penjenayah, sebaliknya tidak mempedulikan mangsa jenayah.

Paling penting katanya, manusia takut kepada hukuman itu, tetapi tidak boleh disamakan pelaksanaannya dengan hukuman yang terdapat dalam penjara hari ini.

Misalnya ujar beliau, hukuman sebatan yang menyebabkan kecederaan teruk pada kulit dan daging manusia, sedangkan sebatan dalam hudud tidak berlaku sedemikian.

Terangnya, sebatan hukuman hudud tidak menyiksa, tetapi untuk mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah.

Menurut Tuan Guru, walaupun hukuman 100 sebatan itu kedengarannya menggerunkan, tetapi pelaksanaannya tidak merosakkan kulit sekalipun.

Malah ceritanya, berdasarkan hadis, pernah seorang penjenayah yang tersangat kurus dihukum dengan pukulan sebatan dilakukan sekali sahaja menggunakan seberkas.

“Alhamdulillah, hasil dialog kita buat, orang bukan Islam tidak banyak tanya lagi, kecuali mereka yang tidak hadir dialog yang banyak tanya. Dukacitanya penulis-penulis media sosial yang tak mengaji, tak belajar (tapi) buat macam belajar juga. Rosak akidah, punah iman.

“Hukum hudud ini bukan hukum PAS, bukan hukum direka oleh Nabi Muhammad, ini hukum Allah SWT. Oleh kerana kamu permain hukum hudud, (bermakna) kamu permain Allah Taala. Tulislah dalam blog, kamu lawan Allah Taala, jangan main-main.

“Banyak kalangan yang tulis itu dia pandai tulis pakai akal dia, dia tak tahu ini hukum Tuhan. Tuhan rabbul ‘alamin yang menguasai alam ini, cabut nyawa dia, tak boleh bergerak, tak boleh menulis, baru tahu masa itu,” ujarnya Naib Ketua Ulama Muslimin Sedunia itu mengingatkan.

Terang Tuan Guru lagi, PAS mengambil pendekatan berdialog dengan semua pihak termasuk DAP, Semangat 46, PKR dan Umno, sama ada Islam mahupun bukan Islam, tetapi menumpukan kalangan orang Islam kerana lebih mudah untuk difahamkan.

Menurut beliau, hasil daripada itu kini tidak kedengaran lagi sindiran persendaan terhadap hukum Islam tersebut sebagaimana di era tahun 1950-an.

Katanya, PAS mengorak langkah untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan sebahagian hukuman hudud dilaksanakan di mana pindaan itu memerlukan sokongan ‘simple majority’ yang berbeza dari hukuman lebih berat di mana memerlukan majoriti dua pertiga.

“Kita mulakan dengan Akta 355 dulu. Ini tanggung jawab orang Islam tidak kira dia orang PAS, Umno, PKR atau DAP mesti sokong pindaan ini. PAS kemukakan perkara ini sebagai satu ujian kepada orang Islam yang melibatkan diri dalam semua parti politik sama ada secara sedar, jahil, tahu atau tidak tahu. Mudah-mudahan mereka membaca ini semua.

“Dalam hal ini pas mengambil sikap untuk mengajak manyusia secara damai, PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang dia nak ajak kelahi, nak ajak berlawan. Biarlah dia sahaja bersuara, kita bawa agenda kita.

“Biar anjing menyalak, serigala menyalak, kabilah berjalan terus sampai ke destinasi matlamat yang dituju. Ini slogan yang kita bawa. Salaklah dia nak salak pun, saya terpaksa sebut perkataan salak sebab dia lawan hukum Tuhan. Salak dia nak salak pun kita terus membawa agenda ini, kita tak berganjak,” tegas beliau.

0 comments:

KABINET PENUH DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA SESI 2015-2017


Berikut adalah Kabinet Penuh Dewan Muslimat Malaysia untuk Sesi 2015-2017 :

Ketua
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

Timbalan Ketua
DR. ROSNI ADAM 

Naib Ketua
PUAN SALAMIAH MOHD NOR

Setiausaha 
PUAN KARTINI AHMAD

Penolong Setiausaha 1 
PUAN NORHAFIZA FADZIL

Penolong Setiausaha 2
SAUDARI MARDHIAH HAYATI ZOLKEPLAI

Bendahari 
DR. CHE FARIDAH ISMAIL

Ketua Penerangan
USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN

Pengarah Pilihanraya
PUAN NORAINI HUSSIN


Lajnah dan Jabatan

1. Lajnah Politik dan Pilihanraya
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

2. Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan
DR. USTAZAH WAHIBAH TAHIR
USTAZAH SITI MURSHIDAH RAMLY

3. Lajnah Dakwah
USTAZAH HAMIDAH HJ DAUD

4. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan
PUAN SALAMIAH MOHD NOR

5. Lajnah Penerangan dan Hubungan Media
USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN

6. Lajnah Pemerkasaan Parti 
DR. ROSNI ADAM

7. Lajnah Ekonomi & Kewangan
PUAN HJH ATIAH AHMAD

8. Lajnah Pendidikan            
USTAZAH NURUL HAFIZAH HJ MUSA

9. Lajnah Perpaduan Nasional
DR. NAJIHATUSSALEHAH AHMAD

10. Lajnah Pembangunan Keluarga 
YB DATO SITI ASHAH GHAZALI

11. Lajnah Kebudayaan dan Kesenian 
PUAN FAUZIAH BIDIN

12. Lajnah Pekerja dan Pengguna
PUAN HUSNA HASHIM

13. Lajnah Antarabangsa 
DR. AZIMAH IBRAHIM

14. Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
PUAN NORMALA SUDIRMAN

15. Nisa' 
DR. 'UYUN ABD MALEK

16. Ameerah
PUAN SITI FARAH MOHAMED

17. Briged Muslimat
SAUDARI NURI MUHAMMAD

18. Jabatan Pilihanraya
PUAN NORAINI HUSSIN

19. Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
DR. HANI ALI

20. Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Arkib
DR. WAN MASERI WAN MOHD

21. Jabatan Pembangunan Pelajar dan Mahasiswa
SAUDARI NUR ADIEYLA MUHAMMAD

22. Sekretariat Hal Ehwal Parlimen dan DUN 
YB DR. HALIMAH ALI

23. Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat 
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

Sekian, terima kasih

Yang menjalankan amanah,
KARTINI AHMAD
Setiausaha

0 comments:

ISU KOD PEMAKAIAN : MENGAPA SALAHKAN ISLAM

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN


MOHD FARKHAN MD ZAIN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

12 Ramadhan 1436 | 29 Jun 2015
“ISU KOD PEMAKAIAN : MENGAPA SALAHKAN ISLAM?”
______________________________________________________________________

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyelar kenyataan pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan isu kod pemakaian di premis kerajaan dengan gambaran salah terhadap prinsip Islam. Kenyataan tersebut dianggap menyimpang daripada realiti isu sebenar yang telah berlaku beberapa hari lalu.


DPPWP merujuk isu ini daripada laporan portal berita The Star, 29 Jun 2015 yang bertajuk, “Make Clear What is Acceptable to be Worn at Govt Premises”. Terdapat beberapa kenyataan yang boleh dipetik daripada laporan akhbar berkenaan iaitu,  “Farida said it was not right to impose Islamic values on non-­Muslims” dan “We shouldn’t impose the Muslim dress code on others, not even on Muslims,” said Anas Zubedy.


Kenyataan ini dikeluarkan ekoran daripada beberapa isu berkaitan dengan etika pemakaian di premis-premis kerajaan yang telah berlaku sejak 6 Jun 2015 di Jabatan Pengangkutan Jalan Wangsa Maju dan disusuli dengan beberapa kes di Hospital Sungai Buloh dan Bangunan SUK Selangor.  


DPPWP berpendapat dakwaan tersebut tidak tepat. Mereka cuba memberi persepsi yang salah terhadap Islam. Kod pemakaian tersebut adalah garis panduan umum yang telah ditetapkan dan tidak salah jika semua pihak mematuhi kod berkenaan supaya dilihat lebih sopan dan baik. Sekiranya pihak penguatkuasa mengambil tindakan, ia satu tindakan yang relevan dan perlu dihormati.


Islam memang menggariskan tatacara pemakaian yang betul bagi orang Islam. Namun, Islam tidak memaksa orang bukan Islam untuk mengenakan kod pemakaian yang tertentu. Maka, isu yang ditimbulkan baru-baru ini, bukan satu paksaan nilai Islam terhadap golongan bukan Islam. Ia adalah peraturan umum atau protokol yang wajar untuk dipatuhi. Apatah lagi, Malaysia juga terkenal dengan nilai-nilai ketimuran dan budaya yang membanggakan.  


Sekian, terima kasih.

0 comments:

AHLI-AHLI PAS MESTI "TERJUN" KE DALAM MASYARAKAT.


Ahli-ahli PAS adalah diingatkan agar tidak hanya menumpukan perhatian kepada program-program dalaman sahaja.


Walaupun program-program pembinaan dan pengukuhan ahli teramat penting tetapi jangan pula rakyat dilupakan.


Program-program yang khusus untuk rakyat perlu sentiasa dianjurkan. Atau program-program yang inklusif yang membolehkan masyarakat turut bersama.


Mereka tidak seharusnya "syok sendiri" jika program-program dihadiri oleh begitu ramai ahli tetapi kurang mendapat perhatian daripada masyarakat.


Ahli-ahli mesti "terjun" ke dalam masyarakat. Merasai keperitan yang dilalui mereka. Memahami hasrat dan keperluan mereka.


Tidak hanya sekadar menganjurkan program-program"touch and go" yang semata-mata bertujuan untuk mendapat "political mileage".


PAS adalah juga parti dakwah. Dakwah bukan hanya kepada ahli-ahli tetapi kepada seluruh rakyat.


Islam adalah rahmat untuk semua. PAS juga mesti menjadi rahmat untuk semua.


Bukan sahaja untuk orang PAS dan orang Islam tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.


Terutamanya di dalam bulan Ramadhan di mana rahmat Islam mesti dirasai oleh semua.


Sesuai dengan Ramadhan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat.


Oleh itu, PAS mesti menjadi parti inklusif bukan parti eksklusif. Ia mesti memberi peluang kepada semua untuk beperanan.


Mengambil kira pandangan semua dan bukan pandangan ahli-ahli dan kelompok tertentu sahaja.


Tidak hanya terpesona dengan pujian-pujian tetapi mengiktiraf realiti suasana politik masakini.


Berusaha untuk menangani semua cabaran agar PAS terus unggul di dalam persada politik tanah air.


Dato' Iskandar A. Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor

30 Jun 2015

0 comments:

Letakkan Diri Pada 'Mode Standby'

Diterbitkan: 29 Jun 2015
Ditulis oleh Super User

Musuh Islam tidak pernah lalai. Mereka merencana saban ketika tanpa bosan dan jemu untuk menyekat kemaraan gerakan Islam. Rencana mereka licik dan sukar dikesan kecuali kita meneliti dengan tekun penuh basirah. Lebih malang, sebahagian muslim terpedaya dan menjadi agen secara tidak langsung untuk melambatkan gerakan dakwah Islam.


Allah SWT telah dedahkan di dalam Al Quran bagaimana kedudukan musuh Islam dengan semangat mereka menentang kebangkitan Islam. 

Firman Allah SWT yang maksudnya:
Dan mereka sentiasa (tanpa bosan dan jemu) memerangi kamu hingga mereka memalingkan kamu dari ugama kamu jika mereka mampu (melakukan yang demikian). (Surah Al-Baqarah: 217)


Jika begitu kedudukan musuh, bagaimana pula dengan kita? Apakah kita siap untuk bangkit mempertahankan Islam atau kita mengidap penyakit rematik yang melemahkan siku lutut sehingga tidak berupaya mempertahankan Islam? 


Ingatlah sahabat, mereka akan menyerang dari segenap arah pada detik yang tidak dijangka. Kita mesti meletakkan diri kita pada mode standby.


Islam bukan agama belasahan. Ummatnya pula bukan kaum yang hina. Islam adalah agama agung dan ummatnya adalah yang terbaik (khairah ummah). 


Justeru itu, Allah swt mengarahkan kita:

Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang terdiri dari pasukan berkuda untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. (Surah Al-Anfaal: 60)


Musuh menyedari kekuatan kita dan pastinya kekuatan kita terletak pada Islam yang kita perjuangkan. Kita lemah apabila lalai dan tidak bersedia. Mereka akan manfaat kesempatan itu sebaiknya. Maka janganlah kita leka.


Firman Allah SWT yang maksudnya:

Orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai dari senjata dan harta benda kamu, supaya dengan kedudukan begitu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai secara serentak. (Surah An-Nisa': 120) - HARAKAHDAILY 29/6/2015



NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat

0 comments:

Tarawih Pemangkin Ibadah Ramadhan


KALAM 13 RAMADHAN

Tarawih Pemangkin Ibadah Ramadhan

Disampaikan oleh:
Ustaz Hanif Ghazali


Bulan Ramadhan diumpakan seperti Nabi Yusof, kerana dia paling dikasihi oleh ayahandanya, namun dialah yang paling banyak ditimpa ujian. Begitu juga dengan Ramadhan, satu bulan yang Allah paling kasihi.


Nabi Yusuf seorang yang terpuji. Apabila dia yang telah menjadi pembesar negara didatangi abang-abang yang pernah menkhianatinya ketika dahulu untuk meminta bantuan, dia memaafkan mereka.


Rasulullah didatangi Jibril ketika menaiki tangga mimbar dan berkata, "Sesiapa yang datang padanya Ramadhan namun dosanya tidak diampunkan oleh Allah, maka dimasukkan ke dalam neraka, ucaplah amin", Rasulullah mengucapkan amin.


Seseorang yang ingin menyempurnakan qiamnya pada malam-malam Ramadhan, mestilah menghidupkan solat sunat dengan berjemaah mengikut imam.


Pada zaman Saidina Umar telah mengadakan solat berjemaah sebanyak 20 rakaat dan setiap 4 rakaat akan berehat dengan tempoh yang lama. Dengan itulah ia dinamakan sebagai solat tarawih, dari perkataan tarwihah.


Solat tarawih ini adalah satu cara untuk mengampunkan dosa. Tidak kira samada solat tarawih 8 rakaat atau 20 rakaat, yang penting ia dilakukan dengan sebaiknya.


Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang menghidupkan malam Al-Qadar dan mengharapkan pengampunan daripada Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".


Imam As-Syafie pernah berkata, sekiranya seseorang itu ingin memburu lailatul Qadr mestilah dia menjadikan siangnya seperti malamnya.


Imam Al-Ghazali juga berpesan, sesiapa yang ingin memburu lailatul Qadr hendaklah kurangkan tidur di siang hari. Janganlah berbuka puasa dengan makanan yang banyak.


Rasulullah bersabda, " Sesiapa yang menunaikan solat Isya' dan solat Subuh secara berjemaah sepanjang Ramadhan, pasti akan mendapat lailatul Qadr".


Jika kita telah menunaikan ibadah solat Maghrib, Isya', Tarawih dan Witir dengan berjemaah, kita telah berjaya menunaikan sebahagian awal untuk membangunkan malam Ramadhan.


13 Ramadhan 1436H / 29 Jun 2015M
Ihya' Tarbiyah Ramadhan MAQTAR 1436
Surau Hj Hassan Shukri
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad

0 comments:

Skandal Mara: Dewan Ulamak Desak Siasatan Telus

Diterbitkan: 29 Jun 2015
Ditulis oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini menghantar memorandum kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) menuntut agar satu siasatan yang telus berhubung tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan di Australia.
Ketuanya Datuk Dr Mahfodz Mohammad berkata, siasatan telus perlu dilakukan dengan jujur kerana ia melibatkan soal integriti mereka yang telah diberi amanah.
Bahkan katanya, skandal rasuah sering kali berlaku di dalam negara menyebabkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju mungkin hanya mimpi indah sahaja.
Katanya, siasatan dan tindakan amat penting bagi kerajaan sekali gus menghentikan penyelewengan beberapa institusi kewangan gergasi yang melibatkan dana rakyat.
"Seolah-olah penyelewengan tidak berkesudahan dengan apa yang berlaku dan tidak langsung diambil iktibar dan pengajaran sebelum ini,"katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut.
Menurut Mahfodz, adalah menjadi hak rakyat negara ini untuk mendapatkan siasatan yang telus bahkan mereka berhak mengetahui hal seumpama ini terutama melibatkan dana awam.
Justeru, tegasnya, sekiranya terbukti ada penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan sewajarnya menghukum pelaku dengan adil dan sewajarnya agar perkara sebegini tidak lagi berulang.
Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Majlis Mara Suhaimi Zainuddin di perkarangan bangunan Mara Jalan Raja Laut.
Menurut Suhaimi memorandum itu akan diserahkan kepada pihak pengurusan Mara untuk tindakan selanjutnya.
Turut bersama menyerah memorandum Naib Presiden PAS Idris Ahmad, AJK PAS Pusat Razman Zakaria, Norazli Musa dan ramai lagi.
Skandal Mara menjadi perhatian negara selepas sebuah akhbar The Age membuat pendedahan yang mengejutkan tentang penglibatan pegawai tertinggi Mara dalam pembelian bangunan di Melbourne oleh anak syarikat Mara iaitu Mara Inc.
Menurut akhbar tersebut, pegawai tinggi Mara telah didakwa salah laku dalam pembelian bangunan Dudley International House daripada harga A$17.8 juta kepada A$22.5 juta ianya telah melibatkan perbezaan sebanyak A$4.7 juta. - HARAKAHDAILY 29/6/2015

0 comments:

Jelajah Ibadah Puasa, Memahami Kewajiban Rukun Islam

Diterbitkan: 29 Jun 2015
Ditulis oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Ibadah puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Justeru kedudukannya di sisi Islam adalah amat tinggi.
Ia difahami dengan jelas dan baik oleh seluruh umat Islam sedari dulu sehinggalah kini apabila kedatangan bulan Ramadhan disambut dengan penuh kemeriahan dan kerinduan oleh mereka.
Sepanjang hari pada bulan ini, ibadah puasa dilaksanakan. Mereka diwajibkan meninggalkan makan dan minum bermula terbit fajar subuh sehinggalah matahari terbenam. Mereka juga wajib meninggalkan jimak dengan isteri pada siang hari selain menyempurnakan ibadah itu dengan meninggalkan segala perbuatan buruk yang lahir dari lidah dan anggota tubuh mereka.
Pada sebelah malam pula, mereka digalakkan menghidupkannya dengan ibadah kepada Allah. Solat tarawih dan tilawah al Quran adalah antara ibadah besar yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Lailatul Qadr adalah kemuncak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Siapa saja yang berjaya menghidupkan malam Lailatul Qadr, sesungguhnya dia telah memperolehi segala kebaikan dan rahmat daripada Allah.
Sepanjang bulan Ramadhan, kehidupan dunia Islam berubah dengan seluruh umat Islam bersedia untuk menjalani proses kehidupan dan pendidikan rohani yang mencetuskan semangat luar biasa dalam diri mereka untuk berubah menjadi hamba Allah yang taat dan menjadi insan yang berguna di dunia. Suasana kasih sayang, bantu membantu dan meraikan golongan miskin begitu terserlah pada bulan yang mulia ini.
Begitulah gambaran ringkas perlaksanaan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima ini. Ia diingati oleh seluruh umat Islam, bahkan oleh masyarakat non muslim juga yang hidup bersama umat Islam.
Bagaimanakah kita sayugia memahami peri pentingnya ibadah puasa di dalam Islam? Kewajiban sebagai hamba Allah adalah banyak, tetapi mengapakan ibadah puasa telah dipilih oleh Allah sebagai rukun Islam yang lima? Kita sedang berbicara mengenai hikmat pensyariatan ibadah puasa. Mengetahui hikmat di sebalik arahan dan larangan Allah adalah penting agar sesuatu arahan itu dapat dilaksanakan dengan penuh khusyuk, redha dan gembira.
Saya akan lorongkan anda untuk memahami peri penting ibadah puasa melalui kesempurnaan Islam yang saling mengikat dan kuat menguat di antara rukun-rukun dan segala pensyariatannya.
Islam bermula dengan kepercayaan di dada. Kepercayaan dinamakan iman. Setiap muslim seawalnya mestilah percaya atau beriman kepada pengajaran Islam yang pertama. Ia dinamakan juga sebagai akidah. Percaya kepada Allah sebagai tuhan yang esa adalah asas utama. Daripada kepercayaan terhadap akidah Allah sebagai tuhan yang esa, maka terbentuklah sejumlah kepercayaan lain oleh seorang muslim di dalam hidupnya.
Rasulullah membina kepercayaan muslim dengan binaan enam rukun-rukun iman yang mesti diteguhkan. Ia adalah percaya kepada malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan percaya kepada qadha dan qadar. Enam rukun ini adalah asas yang mencukupi bagi menjaga sejumlah kepercayaan yang terbina di dalam hati seorang muslim yang sempurna.
Oleh kerana iman adalah soal hati yang tersembunyi daripada seluruh makhluk dan hanya Allah sahaja yang mengetahui, manakala Islam pula bukanlah sekadar hubungan hamba dengan tuhannya, bahkan ia juga adalah hubungan di antara makhluk sesama mereka, maka adalah menjadi satu kemestian bahawa kepercyaan di dada itu dizahirkan jua agar diketahui oleh seluruh manusia dengan jelas.
Di sinilah kalimah syahadah 'La Ilaha IllaLlah' bermula. Ia adalah penzahiran pertama iman di dada yang tersembunyi di dalam diri seorang yang telah beriman dengan keesaan Allah tersebut. Dipilih lidah menjadi anggota zahir pertama melaksanakan tugas penzahiran iman ini adalah kerana sifatnya yang ringan, dekat dan sering dikaitkan sebagai duta kepada isi hati.
Lidah tidak mencukupi. Anggota zahir manusia beratus-ratus jumlahnya. Semua mestilah menzahirkan keimanan kepada Allah. Bahkan lidah juga tidak sempurna. Ia boleh jadi benar pada tuturnya, boleh jadi juga berbohong. Itu sifat lidah. Penuh kemunafikan. Justeru diperlukan penzahiran yang lebih nyata agar keimanan di dada diterjemahkan sesempurnanya pada anggota zahir.
Di sinilah rukun-rukun Islam dibina. Ia mewakili penzahiran lengkap yang saling mengukuhkan kejituan iman seorang muslim terhadap Allah yang esa. Rukun Islam di bina dengan lima jenis ibadah. Ia adalah mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa dan haji.
Kelima-lima rukun ini jika dilaksanakan dengan sempurna, ia akan membina peribadi muslim yang saling membenarkan di antara iman di hati yang tersembunyi dan seluruh anggota zahir yang dilihat oleh seluruh makhluk yang lain.
Seperti yang disebut di atas, rukun pertama adalah ibadah dengan lidah. Lidah mestilah berkata dan bersaksi.. 'La Ilaha IllaLlah' dengan suara yang jelas. Suaranya mestilah didengari oleh seorang muslim yang lain atau lebih sebagai saksi keislamannya. Saksi muslim inilah yang akan memproklamasi keislamannya di hadapan khalayak. Justeru sahlah dia adalah seorang muslim yang nyata pada zahirnya dan hubungannya sesama makhluk selepas itu adalah hubungan sebagai manusia muslim.
Apakah peranan ibadah solat? Bagaimana pula ibadah puasa? Kita bicara di siri kedua jelajah ibadah puasa ini nanti, insya Allah. -HARAKAHDAILY 29/6/2015

0 comments: