BERSAMA AL-QURAN DI 2 RAMADHAN 1436H (JUZ 2)

Juz kedua dalam Al-Quran bermula dengan ayat 142 daripada surah Al-Baqarah dan tamat pada ayat 252 juga pada surah Al-Baqarah. Fokus utama dalam juz kedua ialah sekitar peranan ummah wasatiyah yang digambarkan oleh Allah iaitu suatu ummah yang tunduk dan akur pada perintah Nabi. Ummah wasatiyah ini mesti mengutamakan perkara yang toyyibat atau baik dan mengelakkan daripada langkah-langkah syaitan dalam kehidupan. Ummah wasatiyah juga tidak boleh memperjuangkan agama melalui cara perjuangan nenek moyang mereka malah wajib berdasarkan tuntutan Allah melalui Al-Quran.

Dalam juz kedua ini juga difokuskan tentang dasar berkebajikan yang membangunkan masyarakat dan negara iaitu kebajikan yang hakiki ialah apabila lahirnya orang yang sentiasa berada dalam keimanan kepada Allah dan bukan hanya berkebajikan dengan material semata-mata. Oleh kerana itu, Allah menjelaskan tentang hukuman qisas yang wajib dilaksanakan setelah syarat mencukupi kerana pada hukuman qisas itu ada sebuah kehidupan yang menyelamatkan manusia daripada seksaan Allah. Inilah intipati kebajikan yang perlu dihayati oleh manusia dalam penerapan undang-undang Allah diatas muka bumi.

Kemudian Allah menjelaskan tentang kewajipan berpuasa dan ianya disyariatkan atas asas kebajikan kepada diri manusia agar lahir sebagai orang yang bertakwa yang memandu diri mereka sendiri ke jalan yang sejahtera dunia dan akhirat. Begitulah juga tentang kewajipan haji yang dinyatakan dalam beberapa ayat bahawa ianya juga berperanan kearah mewujudkan suatu kesatuan ummah walaupun dengan kepelbagaian warna kulit dan bahasa. Inilah juga aspek kebajikan yang terpenting dalam kehidupan bermasyarakat.

Akhir juz kedua ini dinyatakan tentang beberapa persoalan hukum fekah seperti hukum berperang mengikut perspektif Islam, hukum judi dan minum arak, hukum sekitar perkahwinan, penyusuan, penceraian serta pemberian kepada isteri yang dicerai dan hukum solat khauf. Seterusnya juz kedua ditutup dengan sebuah kisah yang menjadi pengajaran dalam aspek pemilihan kepimpinan dan wajib memberi ketaatan kepada ketua sebagaimana dalam kisah Thalut yang menentang tentera Jalut.

~Merakyatkan Membangun Bersama Islam~

~Keberkatan, Kebajikan, Kemakmuran~


USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

0 comments: