
Allah turut menegaskan dalam juz ini tentang golongan yang suka mengikut jejak langkah thaghut bahawasanya mereka pasti dilaknat oleh Allah dan hanya menempah tiket ke neraka. Setiap kali jasad dibakar hangus, kulit akan tumbuh semula untuk menerima bakaran yang sama sehingga ke suatu tempoh yang ditentukan. Oleh yang demikian, betapa perlunya kita hanya mengikuti semua aturan dan ketetapan Allah, Rasulullah dan pemimpin yang beriman kepada Allah. Jika terdapat percanggahan maka rujuklah Al-Quran dan Hadis bukannya dirujuk kepada penyelesaian melalui kebijaksanaan manusia semata-mata.
Allah turut menegaskan agar sentiasa membuat pelaburan akhirat dengan berjihad dijalan Allah mendirikan agama-Nya. Kalah menang bukan menjadi perhitungan sebaliknya mencari keredhaan Allah dan pahala disisi-Nya. Sudah pasti orang yang beriman akan sentiasa berjuang dijalan Allah dan orang yang hilang kewarasannya lalu ditinggalkan iman, kebiasaanya orang ini akan berjuang di jalan thaghut, inilah kesesatan yang melampau dan perlu dijauhi. Dalam juz ini juga dinyatakan kelebihan berhijrah sama ada hijrah meninggalkan tanah air demi agama atau hijrah sikap. Asas dalam hijrah adalah kerana Allah serta mempertahankan agama dan apa yang penting sempena Ramadhan, umat Islam hendaklah berhijrah daripada kelalaian kepada ketaatan sepenuhnya terhadap tuntutan agama dalam semua perkara.
Mengakhiri perbincangan juz kelima hari ini, ditegaskan juga tentang sikap muzabzabin yang menjadi darah daging orang munafik. Mereka tidak konsisten dengan kebenaran bahkan lebih suka mencampur aduk kebenaran dengan kebatilan yang berakhir dengan hilangnya jalan petunjuk. Cara untuk selamatkan keadaan ini hanyalah melalui permohonan taubat kepada Allah dengan memperbaiki keadaan diri dan berpegang dengan kebenaran. Semoga Ramadhan kali ini dapat mengeluarkan seluruh umat Islam daripada sisa-sisa jahiliah dan sifat-sifat munafik, insya-Allah.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim
0 comments: