Catatan 5 Ramadhan


Alhamdulillah. Hari ini 5 Ramadhan, begitu cepat masa berlalu. Suasana ibadah Ramadhan ternyata tidak menghalang ahli dan kepimpinan parti melaksanakan tugas dan tanggungjawab besar bagi memperkukuhkan jentera parti. Pelbagai program Ihya Ramadhan dapat dilihat di mana-mana. 


Al-Marhum Dato’ Fadzil Noor pernah bernasihat: "Jangan biarkan masa kamu berlalu sehari pun tanpa memikirkan tentang Islam.” Sejak selesainya muktamar, kita terus berhadapan dengan pelbagai kemelut negara, masalah dengan rakan Pakatan Rakyat dan juga masalah dalaman parti.


Ia adalah asam garam perjuangan yang membawa kita kepada suasana sentiasa sibuk bagi memikirkan dan mencari jalan untuk mengukuhkan jamaah dan meneruskan perjuangan Islam. Yang mudah ialah berputus asa, yang susah ialah meneruskan perjuangan walau apa yang berlaku. Kalau perjuangan ini mudah, nescaya ramai yang mengikutinya.


Kepada yang menerima taklif jawatan dalam parti, marilah kita tingkatkan gerak kerja jamaah, memperkukuhkan komitmen dan istiqamah kita. Kentalkan hati untuk menghadapi cemuhan dan cabaran bagi menyeru ummah kepada keindahan Islam - dalam masa yang sama mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS. Biarlah kita tegas dalam perkara prinsip dan anjal dalam pelaksanaan.


Eratkan ukhuwah di kalangan anggota parti. Ikhlaskan niat dalam perjuangan yang penuh cabaran ini. Ambillah kesempatan bulan Ramadhan ini bagi mendekatkan diri kepada Allah. Mari kita sentiasa menyemak keikhlasan dalam perjuangan ini kerana yang akan dihisab ialah bagaimana akhirnya kita dalam perjuangan ini.


Selalulah pandang cermin belakang, kiri dan kanan walaupun kenderaan anda sedang bergerak ke hadapan. Renunglah sejarah dan pengalaman pejuang yang hebat sebelum kita, jadikan ia sebagai motivasi diri dan sebaik-baik pejuang ialah Rasulullah  SAW.


Amanah berat ini tidak akan mampu dipikul tanpa bantuan dan pertolongan Allah, namun perlu diingat bahawa tidak akan ada pertolongan Allah andainya kita jauh dari Allah.


Di suasana mencabar ini,  PAS perlu mencabar dirinya untuk menguasai dan mendahului dalam isu-isu yang melibatkan rasuah, ekonomi, kesusahan dan penindasan terhadap rakyat dan salahguna wang rakyat dan memberi solusi dari kaca mata Islam.


Patahkan tuduhan-tuduhan dan betulkan persepsi pada PAS melalui gerakkerja, akhlak dan servis kita kepada rakyat. Biar kerja kita menjadi jurucakap kepada PAS. Tampilkan konsep Rahmat Untuk Semua melalui istiqamah kita dengan Islam, konsep amal lillah iaitu beramal kerana Allah, serta keikhlasan dalam perjuangan.


Janganlah dihabiskan masa dalam perkara yang tidak berfaedah  dan menambahkan polemik di kalangan  ahli.


Ingatlah pesanan Hassan Al-Banna: "Masa yang ada pada kita sangat sedikit berbanding tugas yang perlu dilakukan."


Perjuangan ini akan diteruskan walau apa keadaan sekalipun.


Ingatlah firman Allah (Surah AlAn'aam. Ayat 153): "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”


Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Jun 2015

0 comments: