Catatan Ramadhan 1436H: Harapan PAS Lahirkan ADUN Sulung Di Sarawak


“Catatan Ramadhan 1436H: Harapan PAS Lahirkan ADUN Sulung Di Sarawak (سراوق)”
Oleh: Mukhtar Suhaili As-Sarawaki
7 Ramadhan 1436H = 24 Jun 2015


1. Alhamdulillah, saya yakin bahawa sesungguhnya masa depan adalah di tangan Islam. Islam adalah agama yang syumul merangkumi persoalan hidup seperti sosial, politik, ekonomi, pendidikan, rumahtangga, akhlaq dan seluruhnya.

2. Antara fikrah perjuangan Islam ialah untuk memastikan Islam terus terbela, berkembang dan memerintah dunia. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam komited untuk menegakkan pemerintahan Islam (Daulah Islamiyah) yang mengagungkan hukum syara’ serta melaksanakan amar ma’ruf wa nahya ‘anil mungkar dalam usaha membentuk Khilafah Islamiyah.

3. PAS mengambil pendekatan secara ijtihad untuk menerima amalan demokrasi yang sedia ada. Perlembagaan PAS jelas menegaskan bahawa dalam mencapai tujuan dan cita-cita PAS, ia akan melakukannya dalam batasan undang-undang Negara dan Perlembagaan Negara samada dalam aktiviti dalamannya ataupun aktiviti politik dan dakwahnya (Fasal 6, Perkara 11). PAS mengambil pendekatan menyertai dalam bentuk parti politik untuk memperbaiki sususan serta institusi masyarakat, politik, keadilan ekonomi dan Negara bersesuaian dengan dasar Islamnya (Fasal 6, Perkara 4).

4. Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Kali Ke-11 akan tamat tempoh matangnya dan Pilihanraya perlu diadakan selewat-lewatnya pada 22 Jun 2016. Dalam Pilihanraya Negeri Ke-10, PAS telah bertanding di 5 Kerusi DUN iaitu Beting Maro (tewas hanya majoriti 391), Sebuyau (tewas majoriti 2,276), Sadong Jaya (tewas majoriti 2,934), Tanjung Datu (tewas majoriti 3,216) dan Muara Tuang (tewas majoriti 7,843).

5. Indikator dan suasana politik di Sarawak menunjukkan PRN kemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini. In shaa Allah dalam PRN akan datang, PAS akan bertanding di sekurang-kurangnya di 6 Kerusi DUN dengan tambahan kerusi masih dalam perundingan. PAS turut berhasrat bertanding di Tupong, Belawai, Gedong, Jemoreng, Jepak, Lambir dan Senadin.

6. Misi PAS dalam PRN akan datang ialah untuk menghantar ADUN Sulung PAS ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Ini bagi memastikan PAS mampu untuk bersama-sama berpartisipasi dalam dewan pembuat dasar dan sekaligus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Rakyat Sarawak sama ada di sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.

7. Meskipun DAP Sarawak telah memutuskan hubungannya dengan PAS jauh lebih lama sebelum terbaru DAP Nasional mengumumkan untuk turut berbuat demikian, PAS kekal komited dengan keberadaan Pakatan Rakyat untuk mewujudkan blok pembangkang yang kuat dalam berhadapan Barisan Nasional. Ini bagi mewujudkan sistem semak dan imbang (check and balance) yang akan menatijahkan sistem kerajaan yang lebih baik, telus dan efisien.

8. Semoga penyertaan PAS dalam PRN Sarawak kali ini bakal membuahkan kemenangan sulung. Berkat jalinan mantap dan kerjasama utuh antara PAS Sarawak dan penggerak PAS dari seluruh Negara akan menjadi nadi utama ke arah mencipta kemenangan perjuangan Islam di Bumi Kenyalang. In shaa Allah sama-sama kita usahakan dengan berstrategi dan dengan bantuan Allah SWT kita pasti mampu mencapai kejayaan. Allahumma Aamiin.



Wallahu a’lam bissawab.

0 comments: