Kenyataan Media
Hentikanlah Fitnah PAS Bersama Dengan UMNO.
Ustaz Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
11/ 6/ 15
Kenapa masih menuduh pimpinan Pas di bawah TG Haji Abd Hadi Awang hendak bersama Umno. Ini merupakan satu tuduhan orang yang kecewa dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang masih mendapat sokongan daripada ahli. Untuk makluman TGHH pernah diajak oleh pemimpin Umno untuk bergabung dengan Pas, tetapi dijawab dengan tegas, Pas tidak akan bersama dengan Umno sebaliknya dengan PR. Tidak masuk akal usia dan umurnya hari ini hendak kianat dan menghitamkan sejarah hidupnya dengan menyertai Umno, sebuah parti yang beliau lawan sejak kecil lagi.
Jangan terlalu marah sehingga sanggup menuduh pemimpin Pas ketagih sangat dengan Umno. Sedangkan ada di kalangan mereka ini borang Umno pun tidak pernah pegang. Majoriti anak menantu dan keluarga mereka bersama Pas. Mereka yang menuduh pemimpin yang hendak menyertai Umno cuba lihat kiri kanan dahulu, adakah tidak ada ahli keluarga mereka yang tidak menyertai Umno. Alangkah baiknya masa yang terluang untuk menulis dan memfitnah orang lain menyertai Umno digunakan untuk berdakwah keluarga terdekat untuk bersama dengan perjuangan Pas.
Mereka yang menyertai Pas, faham sebab apa mereka bersama Pas. Mereka menyertai Pas bukan kerana benci individu dalam Umno, bukan kerana kalah berlawan dalam persidangan Umno, bukan kerana kecewa tidak dapat projek tetapi kerana dasar Islam.
Prinsip kita jelas, siapa yang teringin sangat dengan Umno, dia seorang diri sahaja yang akan pergi bersama Umno. Sejarah terpahat pemimpin yang menyertai Umno seperti Datuk Asri Hj Muda, Ustaz Osman Abdullah, Ustaz Nakhaei Hj Ahmad dan lain-lain lagi, mereka keseorangan sedangkan Pas tetap teguh dan segar, walau pun mereka dipandang hebat ketika memimpin Pas. Satu ketika dahulu ada orang menuduh Almarhum Ustaz Harun Taib dan Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik akan menyertai Umno. Sedangkan mereka berdua meninggal di dalam perjuangan Pas, yang menuduh mereka berdua belum pasti mengakhiri hayat bersama dengan Pas. Janganlah sikap melampau sehingga tidak boleh lihat pemimpin Pas yang kita benci minum teh bersama pemimpin Umno, terus dituduh menjadi Umno. Sedangkan orang yang mereka suka siang malam bersama pemimpin Umno tidak dituduh apa-apa pun.
0 comments: