Diterbitkan: 26 Jun 2015
Ditulis oleh MUHAMMAD SANUSI MD NOR
TANGGUNGJAWAB menyediakan infrastruktur bekalan air dalam kompaun universiti adalah tanggungjawab pihak universiti, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kerja Raya. Bekalan air yang mencukupi hanya boleh disalurkan melalui rangkaian infrastruktur yang sesuai dengan kapasiti permintaan.
Pada 2011, krisis yang sama telah melanda Universiti Utara Malaysia-UUM. Infrastruktur bekalan air (meliputi saluran paip dan tangki simpanan sedia) adalah untuk menampung kapasiti 10 ribu penghuninya - pelajar, pensyarah dan kakitangan. Rekabentuk infrastruktur itu dibuat sewaktu kampus itu mula dibangunkan.
Selepas 20 tahun, berlaku peningkatan jumlah pelajar dan kakitangan di UUM hingga mencecah 34 ribu orang. Pertambahan itu membawa implikasi peningkatan penggunaan air, tetapi infrastruktur bekalan air tidak pernah dinaik taraf seiring dengan pertambahan pengguna.
Pihak Kerajaan Negeri Kedah khususnya operator bekalan air negeri - SADA- dipersalahkan oleh pihak UUM kerana gagal menyediakan bekalan yang mencukupi iaitu 13 juta liter sehari. Pihak UUM diberi ingatan bahawa mereka harus menaiktaraf infrastruktur sedia ada untuk menerima bekalan yang mencukupi, tetapi tidak dipedulikan.
UUM juga dikesan menghadapi keuzuran saluran paip bekalan air yang mengakibatkan kadar kehilangan air (NRW) setinggi 43%. Air terbazir di IPTA itu membawa implikasi lebih buruk kepada kadar bekalan dan penggunaan.
Analisis mendapati purata kegunaan air individu di Kedah ialah 250 liter sehari, tetapi di UUM, dengan keuzuran sistem salurannya, menyebabkan puratanya penggunaan adalah 302 liter sehari.
Sebagai alternatif bagi menangani krisis itu, SADA menghantar air secara manual melalui lori-lori tangki untuk kegunaan pelajar dan kakitangan UUM, tetapi pihak kementerian dan UUM memilih untuk menyembunyikan kegagalan besar mereka membangunkan infrastruktur seiring dengan keperluan semasa.
Bagi menjawab kenyataan pihak UUM yang terus mempertahankan keupayaan infrastrukturnya, SADA telah melepaskan 12.5 hingga 14 juta liter sehari seperti yang diminta oleh mereka melalui saluran paip domestik UUM. Akibatnya saluran paip bekalan air UUM telah pecah dan bocor di beberapa lokasi dalam kampus, mencetuskan implikasi baru pula.
Setelah itu barulah pihak UUM mengakui bahawa terdapat keperluan segera untuk menaiktaraf infra sedia ada seiring dengan pembangunan universiti.
Dalam Akujanji PRU13 BN Kedah, telah dimasukkan projek pembinaan tangki simpanan air baru di kampus UUM, sebagai pengakuan secara tidak langsung bahawa terdapat kelemahan ketara terhadap perancangan pembangunan di kampus itu.
Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kerja Raya dan semua IPTA di negara ini sepatutnya telah mengambil pengajaran daripada pengalaman UUM itu. Apatah lagi UKM jauh lebih 'tua' daripada UUM.
Sebelum menuding jari kepada Kerajaan Negeri Selangor ataupun pihak Syabas sebagai operator bekalan air di Selangor terhadap isu yang sedang melanda UKM, lihat dulu persekitaran infra sedia ada. Mendakwa para pelajar yang memberi reaksi kepada kesulitan yang mereka hadapi, tanpa mempedulikan kelemahan asas yang menyebabkan reaksi itu amatlah dikesali. Berlaku adillah! –HARAKAHDAILY 26/6/2015
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar.
0 comments: