Dewan Muslimat PAS Malaysia(DMPM) mengucapkan jutaan tahniah buat atlet Negara Farah Ann Abdul Hadi kerana berjaya merangkul pingat emas dalam sukan Sea di Singapura baru-baru ini. DMPM turut berbangga kerana saudari Farah mampu mengharumkan nama Malaysia di persada sukan gimnastik Asia.
Berkenaan isu pemakaian yang hangat diperkatakan baru-baru ini di media sosial. DMPM berpendapat bahawa isu pemakaian ahli gimnastik atau ahli sukan lain bukanlah suatu perkara baru. Walaubagaimanapun, cara pemakaian ini perlulah dipandang serius kerana ia melibatkan aurat muslim tidak kira kaum perempuan mahupun lelaki. Sejajar dengan seruan Allah dalam surah Al-Ahzab:59 yang berbunyi…
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal yang dengannya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Islam tidak menolak aktiviti sukan bahkan Islam menggalakkan aktiviti yang boleh mendatangkan kesihatan yang baik kepada umatnya. Islam juga meraikan bakat dan potensi seseorang serta mengiktiraf kebolehan dan kehebatan wanita tetapi semua kurniaan Allah mesti digarap dalam ruang lingkup syariat,halal dan haram demi menjaga maruah wanita Islam.
Oleh itu, DMPM menyeru kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan supaya menyemak kembali etika pemakaian ahli sukan muslim supaya ia selaras dengan tuntutan syarak. Sudah sampai masanya JAKIM perlu menyediakan etika pemakaian menurut Islam untuk para etlit lelaki dan wanita. Dengan ini dapat mengharumkan lagi nama Malaysia sebagai negara Islam sebagaimana yang dipertegaskan selama ini. Dengan penguatkuasaan etika pemakaian ini, ajaran lslam dapat dipraktikkan secara menyeluruh di Malaysia.
Wan Hasrina bt Wan Hassan
Ketua Penerangan
DMPM
0 comments: