Pertemuan Ahli-Ahli Dewan Negeri PAS dari Selangor hari ini menggesa agar usaha-usaha dilakukan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.
Ianya selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS baru lalu yang menegaskan bahawa PAS komited terhadap Pakatan Rakyat.
Di dalam satu pertemuan di Shah Alam, kami bersetuju agar semua pihak mesti berusaha untuk memulihkan hubungan di dalam pakatan tersebut.
Walaupun terdapat banyak cabaran tetapi kami yakin ketiga-tiga parti berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan.
Kami juga menggesa agar hubungan di peringkat akar umbi dijalin dan diperkukuhkan.
Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai krisis dan rakyat semakin tertekan akibat kos sara hidup yang meningkat.
Pakatan Rakyat merupakan sinar harapan bagi rakyat dan keyakinan yang telah diberikan oleh mereka selama ini tidak seharusnya disia-siakan.
Di Selangor, rakyat telah dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik menerusi dasar bersama Pakatan Rakyat yang menitikberatkan ketelusan, memerangi rasuah, peluang ekonomi yang adil, kediaman mampu milik dan polisi-polisi baru yang lain.
Usaha-usaha di Selangor di bawah kepimpinan Dato' Menteri Besar, YAB Mohamed Azmin Ali perlu diteruskan agar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terus kukuh demi kebajikan dan masa depan rakyat.
Semoga kecemerlangan Pakatan Rakyat di Selangor akan menjadi contoh dan pendorong kepada seluruh rakyat Malaysia membuat keputusan untuk menamatkan keangkuhan Barisan Nasional.
YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
15 Jun 2015
0 comments: