Muktamar: Mazlan Umum Pendirian 15 Jun


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman akan mengumumkan pendiriannya sama ada akan kekal sebagai AJK atau tidak, pada 15 Jun ini.

Ini katanya bagi memberi tumpuan kepada NGO yang dipimpinnya iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diluluskan pendaftarannya oleh ROS baru-baru ini.

"Muktamar PAS telah selesai. Kepimpinan baru telah dipilih. Masa untuk melaksanakan amanah. Bagi yang tidak terpilih, medan siasah dan dakwah masih terbentang luas.

"Saya sendiri akan umumkan pendirian 15 Jun ini. Kita mesti memandang ke hadapan dengan agenda besar, untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Bertindak matang dan bijak menangani masyarakat majmuk.Moga usaha kita diberkati Allah," tulis beliau di laman facebooknya.

Sehari selepas keputusan pemilihan PAS bagi sesi 2015-2017 diumumkan, Mazlan mengeluarkan kenyataan di facebooknya mengenai kekecewaannya terhadap PAS hari ini.

Menurutnya, buat tempoh tertentu, beliau mahu menumpukan perhatian terhadap NGO Anak yang mempunyai pejabat baru di Ukay Perdana.

"Memperkasa organisasi dan menangani isu FGV serta kebajikan warga Felda adalah fokus utama. Ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS , Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," katanya.

Tambah Mazlan, sungguh pun komitmen terhadap NGO Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya.

"Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak tahun 1986, situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi. Apatah lagi ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban telah tewas dalam pemilihan.

"Saya amat sedih dengan suasana ini dan mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar; kepada Mu Ya Allah, hamba Mu memohon pertolongan," luahnya.

Sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Kuala Selangor Sabtu lalu, Mazlan menegaskan bahawa beliau tidak mahu berpolemik sebaliknya mahu menumpukan perhatian terhadap pembelaan rakyat.

Beliau menang bagi jawatan AJK PAS Pusat dengan mendapat 593 undi.

0 comments: