Pendedahan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa bahawa pembelian hartanah berkontroversi di Australia sebenarnya diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kurang 24 jam selepas Najib mengumumkan siasatan terhadap dakwaan itu semalam adalah sangat memalukan.
Pendedahan Annuar Musa menandakan pemimpin Umno sudah mula keberatan untuk menanggung tugas menjawab keputusan-keputusan perniagaan yang kontroversi yang melibatkan Najib.
Memandangkan Najib sendiri yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan telus terhadap kes ini, maka wajarlah Najib mengambil langkah pertama untuk bercuti, begitu juga dengan Annuar Musa sehingga siasatan selesai. Cuti ini pun wajar untuk memastikan persepsi “tiada gangguan” terhadap kerja Jabatan Audit dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada PAC yang dijangka siapa pada akhir bulan ini.
Banyak keputusan perniagaan berkontroversi seperti 1MDB, penyenaraian Felda FGV, GST, pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji dan kini Mara telah berlaku di bawah kepimpinan Najib. Cap jari Najib dapat dikesan di sebalik semua keputusan ini meskipun media kerajaan cuba memisahkan Najib daripada kesemua keputusan-keputusan kontroversi ini.
Realitinya, hampir semua lubuk duit kerajaan dan syarikat milik kerajaan sudah disentuh untuk tujuan yang mencurigakan dan tidak memanfaatkan negara.
Dengan nilai Ringgit yang lemah, dan hutang 1MDB yang masih perlu dibayar, jangan hairan kalau selepas ini semua syarikat konsesi tol pula membeli tanah daripada 1MDB atas alasan pelaburan. Syarikat konsesi tol mendapat duit daripada siapa, kalau bukan rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Jun 2015
0 comments: