PAS Tidak Berganjak, Terus Perjuang Hudud

KEPALA BATAS: Ramai dari kalangan mereka yang memusuhi Islam menggunakan hukum hudud untuk menakutkan manusia kepada Islam, sedangkan hudud adalah satu juzuk daripada Undang-undang Jenayah Islam, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tegas beliau, undang-undang jenayah pula adalah satu juzuk dari perundangan yang banyak di dalam negara seperti perlembagaan, undang-undang perdagangan, tanah, keluarga, antarabangsa dan lain-lain lagi.

Tetapi katanya, media membangkitkan hukuman potong tangan pencuri dan sebatan ke atas penzina yang terdapat dalam hudud untuk menimbulkan kebimbangan terhadap Islam.

Ujarnya, walaupun isu hudud ditimbulkan dengan cara yang hangat, Universiti Nanyang Singapura telah menjemput beliau mengadakan pembentangan khusus mengenai hudud.

Jelas Tuan Guru, dalam mengenali hudud perlulah memahami keseluruhan ajaran Islam ke atas sifat kejadian manusia yang memiliki akal, jasad dan roh, selain bersosial dalam keluarga dan masyarakat serta hubungan kepada perkara nyata dan perkara ghaib.

“Jangan fikir soal kerat tangan sahaja. Di sana ada perhitungan dosa dan pahala. Nak laksana kerat tangan, nak sebat orang dalam hukum hudud, ada hakimnya. Hakim tertakluk pada dosa pahala, hakim mesti adil. Ada saksinya, kalau saksi tidak adil, saksi kena hukum.

“Hudud yang diwajibkan Allah untuk mendidik masyarakat, bukan menghukum masyarakat. Islam menggalakkan orang yang melakukan kesalahan jenayah bertaubat, ampun mengampun di antara satu sama lain diluar mahkamah.

“Bila di bawa ke mahkamah nak jatuhkan hukum hudud, hakim mesti melihat hujah-hujah yang dibawa. Imam Malik mengatakan, kalau ada 100 hujah, tiba-tiba satu hujah ragu dan 99 hujah lagi jelas kena hukum, maka tidak boleh dilaksanakan hudud. Adakah orang salah dibebaskan? Tidak! Pergi kepada hukum takzir,” terangnya pada ceramah di Markas PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu di sini 27 Jun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, hukuman hudud dapat memberi pembelaan kepada mangsa dizalimi serta menakutkan dan mendidik penjenayah, di mana ia berbeza dari hukuman konvensional hari ini yang lebih ‘membela’ penjenayah, sebaliknya tidak mempedulikan mangsa jenayah.

Paling penting katanya, manusia takut kepada hukuman itu, tetapi tidak boleh disamakan pelaksanaannya dengan hukuman yang terdapat dalam penjara hari ini.

Misalnya ujar beliau, hukuman sebatan yang menyebabkan kecederaan teruk pada kulit dan daging manusia, sedangkan sebatan dalam hudud tidak berlaku sedemikian.

Terangnya, sebatan hukuman hudud tidak menyiksa, tetapi untuk mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah.

Menurut Tuan Guru, walaupun hukuman 100 sebatan itu kedengarannya menggerunkan, tetapi pelaksanaannya tidak merosakkan kulit sekalipun.

Malah ceritanya, berdasarkan hadis, pernah seorang penjenayah yang tersangat kurus dihukum dengan pukulan sebatan dilakukan sekali sahaja menggunakan seberkas.

“Alhamdulillah, hasil dialog kita buat, orang bukan Islam tidak banyak tanya lagi, kecuali mereka yang tidak hadir dialog yang banyak tanya. Dukacitanya penulis-penulis media sosial yang tak mengaji, tak belajar (tapi) buat macam belajar juga. Rosak akidah, punah iman.

“Hukum hudud ini bukan hukum PAS, bukan hukum direka oleh Nabi Muhammad, ini hukum Allah SWT. Oleh kerana kamu permain hukum hudud, (bermakna) kamu permain Allah Taala. Tulislah dalam blog, kamu lawan Allah Taala, jangan main-main.

“Banyak kalangan yang tulis itu dia pandai tulis pakai akal dia, dia tak tahu ini hukum Tuhan. Tuhan rabbul ‘alamin yang menguasai alam ini, cabut nyawa dia, tak boleh bergerak, tak boleh menulis, baru tahu masa itu,” ujarnya Naib Ketua Ulama Muslimin Sedunia itu mengingatkan.

Terang Tuan Guru lagi, PAS mengambil pendekatan berdialog dengan semua pihak termasuk DAP, Semangat 46, PKR dan Umno, sama ada Islam mahupun bukan Islam, tetapi menumpukan kalangan orang Islam kerana lebih mudah untuk difahamkan.

Menurut beliau, hasil daripada itu kini tidak kedengaran lagi sindiran persendaan terhadap hukum Islam tersebut sebagaimana di era tahun 1950-an.

Katanya, PAS mengorak langkah untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan sebahagian hukuman hudud dilaksanakan di mana pindaan itu memerlukan sokongan ‘simple majority’ yang berbeza dari hukuman lebih berat di mana memerlukan majoriti dua pertiga.

“Kita mulakan dengan Akta 355 dulu. Ini tanggung jawab orang Islam tidak kira dia orang PAS, Umno, PKR atau DAP mesti sokong pindaan ini. PAS kemukakan perkara ini sebagai satu ujian kepada orang Islam yang melibatkan diri dalam semua parti politik sama ada secara sedar, jahil, tahu atau tidak tahu. Mudah-mudahan mereka membaca ini semua.

“Dalam hal ini pas mengambil sikap untuk mengajak manyusia secara damai, PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang dia nak ajak kelahi, nak ajak berlawan. Biarlah dia sahaja bersuara, kita bawa agenda kita.

“Biar anjing menyalak, serigala menyalak, kabilah berjalan terus sampai ke destinasi matlamat yang dituju. Ini slogan yang kita bawa. Salaklah dia nak salak pun, saya terpaksa sebut perkataan salak sebab dia lawan hukum Tuhan. Salak dia nak salak pun kita terus membawa agenda ini, kita tak berganjak,” tegas beliau.

0 comments: