Peranan Baazar Jayakan Ramadhan Sebagai Bulan Ibadah


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
30 Sya'ban 1436 / 17 Jun 2015

"Peranan Baazar Jayakan Ramadhan Sebagai Bulan Ibadah"

1. Baazar Ramadhan di negara ini telah menjadi sebahagian keperluan penting sosial masyarakat setiap kali tiba bulan puasa. Bermakna, peniaga baazar mempunyai peranan besar dalam agenda menjayakan Ramadhan.

2. Iaitulah membantu masyarakat Muslim menghayati dan beramal untuk menyempurnakan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Ini dilakukan dengan turut serta beramal memenuhi tanggung jawab dan tuntutan Ramadhan sebagai seorang peniaga.

3. Antaranya menjual makanan untuk tujuan berbuka pada waktu yang munasabah agar tidak menjadi subahat kepada golongan ponteng puasa mengambil kesempatan. Ini sekaligus menjadi dakwah amar ma'ruf nahi munkar dari golongan peniaga.

4. Para peniaga selain menyedia jualan makanan yang halal, suci dan bersih, dinasihatkan supaya menjual hanya makanan segar dan bukannya 'kitar semula'. Bagi memastikan jualan tidak semata-mata bermotif keuntungan, tetapi juga menjadi ibadah, maka lebihan makanan yang tidak terjual disyorkan supaya disedekah kepada golongan fakir miskin dan anak yatim.

5. Sedekah bukanlah satu kekurangan, sebaliknya ia adalah kelebihan yang membawa keberkatan dan balasan curahan rezeki serta pahala besar dari Allah kepada setiap pemberian ikhlas. Bahkan ianya adalah amalan paling disukai Baginda Rasulullah SAW.

6. Para peniaga juga dinasihat tidak menjual barangan yang rosak serta mengurangi timbangan semasa urusan jual beli. Kejujuran adalah ibadah keikhlasan.

7. Silaturrahim tidak terhad antara peniaga dan pembeli. Dalam realiti persaingan, para peniaga perlu membantu dan meraikan hak para peniaga lain supaya dapat menjalankan perniagaannya. Tapak yang disewa untuk berniaga, jangan dialibabakan. Pihak berkuasa yang membuka sewaan tapak perlu memantau hal ini.

8. Bagi memastikan semua peniaga dapat menjalankan urusannya, ketetapan dan peraturan dibuat pihak berkuasa mestilah dipatuhi. Pihak berkuasa yang mengendalikan baazar dituntut supaya memudahkan peniaga serta menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

9. Jangan dicemari Baazar Ramadhan dengan insiden tingkah laku tidak bermoral. Tapak baazar mestilah diurus jaga kebersihannya agar ia tidak menjadi fitnah kepada Islam dari pandangan yang tidak menyenangkan masyarakat awam.

10. Pihak berkuasa juga perlu menyediakan kemudahan solat dan wuduk yang selesa untuk peniaga dan pengunjung di setiap baazar. Peringatan mengenai solat mestilah dititipkan kerana ia adalah ibadah utama, disamping juga nasihat mengenai aurat yang terjaga.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

0 comments: