Diterbitkan: 16 Jun 2015
Ditulis oleh MOHD SABRI SAID
PULAU PlINANG: Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Mohd Yusof bersedia menggalas amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang bagi sesi 2015 -2017.
Beliau ketika dihubungi menyifatkan kepercayaan yang diberi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang amat besar, tambahan pula Pulau Pinang diperintah oleh Pakatan Rakyat.
"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih kepada Presiden kerana memberi kepercayaan untuk mengendalikan parti di Pulau Pinang. Bagi menjayakan parti, saya harap mendapat kerjasama yang erat daripada semua," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau akan berusaha dengan lebih gigih untuk menggerakkan PAS seiring dengan perkembangan kini yang mana PAS dilihat sebuah parti politik yang mampu merubah senario politik Malaysia.
Apapun, ujarnya yang penting ialah kerjasama daripada semua PAS kawasan.
"Tanpa kerjasama yang erat PAS tidak berkembang dan maju sebaliknya makin lemah.
"Untuk mencapai kemenangan kita harus bersatu dan saya minta PAS kawasan dalam Pulau Pinang dapat menjalinkan ukhuwah untuk tumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS negeri. - HARAKAHDAILY 16/6/2015
0 comments: