
Oleh : NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas
Isu kejatuhan nilai matawang negara kembali diperkatakan akhir-akhir ini. Ia suatu isu yang mendapat perhatian masyarakat di semua peringkat sama ada dikalangan rakyat mahupun ahli-ahli akademik.
Gabenor Bank Negara Malaysia memberi signal kejatuhan (depreciation) nilai ringgit adalah bersifat sementara dan disebabkan jumlah pengaliran wang ke luar yang tinggi setiap tahun.
Ini ditambah lagi dengan pengukuhan data pekerjaan di AS yang menjadi salah satu faktor Rizab Persekutuan meningkatkan kadar faedah.
Selain dari faktor di atas, aktiviti spekulasi yang meningkatkan harga lebih dari harga pasaran (bubble price) juga pernah mendorong kejatuhan nilai matawang sesebuah negara. Kejatuhan matawang Peso pada 1994-1995 adalah disebabkan aktiviti spekulasi yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan nilai matawang sesebuah negara. Krisis matawang juga suatu ketika pernah melanda Chile pada 1982.
Malaysia tidak terlepas dari krisis matawang seperti mana yang pernah melanda dekad yang lalu. Krisis matawang Asia 1997-1998 ini begitu membekas dalam lembaran sejarah negara sehingga ke hari ini.
Permasalahan nilai matawang negara dalam aktiviti FOREX (Foreign Exchange) tampak sukar untuk diselesaikan. Nilai ringgit terikat dengan matawang dollar yang lebih kuat dan stabil. Ia sentiasa terdedah kepada kejatuhan nilai matawangnya berdasarkan polisi semasa Rizab Persekutuan. Kedudukan nilai yang rendah ini juga akan memberi kesan kepada kemasukan pelabur luar yang ingin melabur di negara kita.
Maka, faktor ini seolah-olah menunjukkan matawang ringgit dan negara-negara membangun yang lain akan sentiasa dibelenggu dengan polisi matawang negara maju yang lain seperti dollar, euro dan yen.
Masalah ini boleh dikurangkan jika spektrum perbincangan dikecilkan. Antaranya dengan meneliti polisi matawang negara yang telah digariskan oleh Islam. Saya ringkaskan sebagai berikut;
(1) Menghapuskan amalan riba (interest) dalam pembayaran pinjaman mahupun pelaburan.
Amalan riba telah mendorong pelbagai masalah ekonomi lain yang berkait termasuklah kenaikan inflasi dan kadar pengangguran. Amalan riba menyebabkan penghasilan matawang lebih daripada keperluannya. Lambakan matawang di pasaran meningkatkan kadar inflasi. Kenaikan inflasi pula hanya memberi kesan buruk kepada kejatuhan nilai matawang negara.
(2) Memastikan pusingan matawang berlaku dalam masyarakat (circulation of money in society).
Islam mewajibkan zakat, sebahagian harta yang diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin. Ia akan menstabilkan pusingan matawang dalam masyarakat dan meningkatkan kuasa membeli. Apabila hal ini berlaku, maka pertumbuhan ekonomi secara umumnya dapat dicapai dan matawang negara akan mencapai kestabilan.
(3) Pelaburan berdasarkan konsep perkongsian-keuntungan (profit-sharing)
Perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia merupakan suatu medan terbaik dalam mengembalikan kekuatan matawang negara ke tahap yang lebih stabil. Konsep perkongsian-keuntungan ini lebih terbuka dan keuntungan dan kerugian ditanggung bersama berdasarkan kontrak yang digunapakai.
(4) Dalam soal pengurusan fiskal, kerajaan seharusnya mengurangkan hutang dan sebaliknya mengoptimumkan hasil negara untuk perbelanjaan mengurus (OPEX). Manakala, bagi perbelanjaan pembangunan, lebihan daripada hasil negara dapat digunakan secara berhemah.
Kesemua aspek ini sekadar coretan bagaimana prinsip matawang dalam Islam sebenarnya lebih dilihat telus dan menghasilkan suatu kedudukan matawang yang lebih stabil. Ia hanya satu bentuk 'control damage' kepada sistem yang digunakan pakai hari ini yang mendedahkan negara kepada pelbagai penyakit ekonomi dan sosial.
Hakikatnya, matawang dinar perlu dikembalikan menjadi matawang utama di negara-negara umat Islam. Hari ini, OIC memiliki 57 negara anggota, jumlah populasi kira-kira 1.25 bilion manakala KDNK pula hampir mencecah USD 1.35 trilion. Jika kesatuan negara anggota OIC menggunakan matawang dinar sebagai matawang utamanya, apakah mustahil untuk ia mencabar matawang dunia yang digunakan pakai hari ini? Namun, persoalan ini berbalik kepada sejauhmana kemahuan politik dan ekonomi negara OIC untuk merealisasikannya.
Islam tidak hanya memberikan kewajipan tanpa ada hikmah yang besar terselindung disebaliknya. Itulah Islam, Rahmat untuk semua!
0 comments: