RAMADHAN BULAN JIHAD


Hari ini bermulanya ibadah puasa bagi seluruh umat Islam di Malaysia ini. Bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan sekali lagi datang bertamu dengan kita. Semoga Ramadhan yang kita tempuhi pada tahun ini mampu menjadikan kita hamba yang diredhai oleh Allah Azzawajalla.

Selaku Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang yang baru sahaja diamanahkan kepada saya bagi sesi 2015-2017 , maka masih belum terlambat untuk saya ucapkan "Ramadhan Kareem" , Kullu Sanah Waantum Bikhair , Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Para pejuang PAS yang dirahmati Allah ,

Dengan tibanya Ramadhan ini marilah sama-sama kita mentarbiah diri kita untuk memikul beban perjuangan yang kita warisi daripada junjungan Nabi Muhammad SAW. Bertepatan pula Ramadhan kali ini tiba setelah kita baru sahaja selesai bermuktamar di Kuala Selangor. Muktamar PAS Pusat kali ke 61 pada tahun ini bertemakan "Beristiqamah Menuju Kemenangan".

Andai diamati satu persatu ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS pada muktamar baru-baru ini maka kita semua akan dapati bahawasanya perlunya kita mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan bagi menghadapi cabaran perjuangan yang kian getir.Persiapan dari sudut tarbiah , fikrah , ilmu , kekuatan rohani dan jasmani harus diperkemaskan supaya kita semua tidak gugur dari landasan perjuangan ini.

Maka sayugianya dengan tibanya Ramadhan ini haruslah kita mengenang kembali sirah perjuangan generasi terdahulu dalam memikul amanah perjuangan. Rentetan misi-misi jihad umat Islam didalam bulan Ramadhan bermula dizaman nabi hinggalah ke zaman kita harus ditekuni oleh kita dengan sebaiknya.

Peristiwa Badar Al-Kubra membawa pengajaran yang cukup besar kepada kita semua sementelah ia berlaku pada Bulan Ramadhan dan bertepatan dengan apa yang Allah gazetkan didalam Al-Quran bahawa ianya adalah pemisah diantara kebenaran dengan kebathilan.

Berdepan dengan krisis yang melanda jemaah tika ini maka perlulah kita hadapinya dengan tenang. Patuh dan akur dengan segala arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan adalah suatu kewajipan. Jangan bertindak mendahului pimpinan dan jangan terburu-buru dalam mengambil keputusan.

Semoga Bulan Jihad yang dilalui oleh kita kali ini mampu menatijahkan sebuah kemenangan kepada kita samada didunia atau diakhirat nanti. Terus melangkah hingga kemenangan menjelma.

"Ya Allah! kami memohon Redha dan SyurgaMu serta berlindung denganMu daripada kemurkaan dan azab nerakaMu"..


"BERISTIQAMAH MENUJU KEMENANGAN"
Mohd Yusni Mat Piah
Ketua Penerangan 
PAS Pulau Pinang
& YDP PAS Kawasan Bukit Mertajam.

======================
 LiKe & SHaRe PaGe Facebook RASMI :
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang

 PAS Pulau Pinang

0 comments: