Ramadhan Bulan Perjuangan !



شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah,”

Esok akan bermula bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh pelusuk dunia, bulan yang penuh keberkatan, bulan taubat dan bulan ibadat, Ramadhan al-Mubarak. Bagi pihak Badan PerhubunganPAS Negeri Terengganu (BPPNT) saya mengucapkan ‘Marhaban Ya Ramadhan’ dengan seruan dan harapan, semoga kita semua dapat melipatgandakan amal kebajikan.

Ramadhan juga adalah bulan al-Quran, kitab panduan kita umat Islam yang diturunkan pada malamya, lebih 1400 tahun lalu. Marilah kita perbanyakkan bacaannya, dekatkan diri kita dengan mukjizat yang masih ada dan yang akan kekal sehingga akhir zaman.

IMG-20150616-WA0175Fahamilah al-Quran, yang menjadi petunjuk dan hidayah sepanjang masa, yang menjamin kehidupan kita tidak akan sesat selama-lamanya, kerana ia bukan sekadar kitab suci hanya untuk di ambil barokah (berkat), di ‘tadarus’ dan dipertandingkan, tetapi kita semua perlu berusaha keras bagi menjadikan hukum hakam didalamnya di laksanakan, kerana ia adalah Hukum Syariah dari Allah SWT.

Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang juga dipanggil sebagai bulan ruhama’, bulan bemaaf-maafan dan bulan bermuhasabahberkait dengan suasana politik dan perkembangan semasa yang ada, diharapkan juga, bulan ini menjadi ‘tempoh bertenang’. Ruang untuk kita bermuhasabah, sejauh manakah daya istiqamah kita kepada perjuangan dan sebanyak manakah khidmat kita untuk kelangsungan agama Islam dan jamaah.


Ramadhan juga adalah bulan jihad, bukan menjadi bulan untuk berehat, dan menjadi bulan kepada kita agar terus berjuang, menyeru manusia dan menyampaikan Islam di pelbagai lapangan untuk menegakkan suruhan Ilahi, ‘amr maaruf dan nahi munkar’ (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Kalaulah para sahabat Rasulullah SAW beperang Badar di bulan Ramadhan, menggali ‘khandak’ (parit), menggalas dan menghayun pedang sehingga syahid, maka selayaknya kita terus teguh untuk memilih jihad yag paling afdhal (dituntut), menyuarakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim!

Di kesempatan ini juga, marilah kita perbanyakkan doa agar musibah dan ujian dari Allah SWT, kerana sikap sesetengah kita yang menjauhkan diri daripada ajaran Islam, semoga dijauhkan dari kita semua segala yang tidak diingini. Gempa bumi, banjir besar dan bencana alam yang melanda, kerugian ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit, tamak dan haloba pemimpin yang menjunjung dunia, menjadikan bebanan rakyat ‘marhaen’  semakin hari semakin berat.

Semoga Allah terus melimpahkan taufik dan hidayahnya, membuka hati rakyat agar dapat bersama dengan perjuangn untuk menegakkan Islam di persada tanahair kita ini dan Allah terus menganugerahkan kita semua dengan sifat teguh serta ‘Istiqamah sehingga di kurniakan kemenangan, In sha Allah!

Selamat menjalankan ibadah puasa dan menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Ustaz Haji Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
Rabu 29 Sya’aban, 1436/ 17 Jun, 2015

0 comments: