SINGGAH SAHUR PEMUDA PAS WP MENYANTUNI POLIS DAN HOSPITAL


KUALA LUMPUR, 30 Jun - Kemeriahan Ramadhan yang tiada pada bulan lain adalah semasa berbuka, bersahur dan juga bersolat terawikh. Tiada apa yang lebih menggembirakan di bulan Ramadhan ini selain dapat bersama-sama berbuka dan bersahur.

Kegembiraan ini turut dikongsi bersama apabila sekumpulan anak muda turun ke tengah-tengah bandar kota raya untuk mengedarkan juadah bersahur. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk mengedarkan juadah bersahur ini kepada sebilangan kakitangan awam yang bertugas pada sebelah malamnya.

Program bermula seawal jam 4.30 pagi apabila masing-masing berkumpul di perkarangan Pejabat Agung PAS. Dari Pejabat Agung PAS, mereka bergerak menuju ke IPD Dang Wangi untuk edaran. Juadah bersahur yang disenduk sendiri sementara masih panas terus dibungkus dan diedarkan kepada sebahagian anggota polis yang bertugas pada pagi tersebut. Meskipun masing-masing terpaksa bersengkang mata demi tugasan, namun senyuman para anggota polis menyambut ketibaan para pemuda PAS WP ini seolah-seolah tiada kepenatan bagi mereka.

Seusai mengedarkan juadah di IPD Dang Wangi, Dewan Pemuda PAS WP terus bergerak ke Hospital Kuala Lumpur untuk edaran terakhir. Bahagian unit kecemasan di Hospital Kuala Lumpur menjadi tumpuan mereka. Walaupun masih awal pagi, namun tiada kesunyian di bahagian ini. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, kehadiran para pemuda PAS WP ini disambut dengan tangan yang terbuka. Petugas daripada Hospital Kuala Lumpur turut membantu dalam mengedarkan juadah bersahur yang disediakan. Sambutan yang amat menggalakkan diterima daripada semua staf dan para doktor yang bertugas pada pagi itu.

Meskipun masing-masing begitu sibuk dalam melayan pesakit, namun ianya tidak menghalang para doktor dan staf hospital untuk bersama-sama menikmati juadah bersahur yang disediakan. Lebih bermakna lagi apabila juadah ini disenduk dan disediakan sendiri oleh Ketua Pemuda PAS WP merangkap Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia iaitu Sdr. Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin. Bahkan sepanjang menyediakan juadah ini, senyuman dan gelak tawa kemesraan tidak lekang daripada pihak hsopital dan juga Pemuda PAS WP.

Subuh menghampiri beberapa minit lagi. Pemuda PAS WP bersiap-siap untuk mengemaskan peralatan bersahur. Sesi bergambar bersama staf diadakan untuk kenang-kenangan sesi singgah sahur Pemuda PAS WP. Pihak Dewan Pemuda PAS WP mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada anggota yang bertugas di IPD Dang Wangi dan para staf dan doktor yang sudi menerima kunjungan singgah sahur.

0 comments: