(SIRI 1) DRAF TEKS UCAPAN PERBAHASAN RMK11
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus (Selasa ; 9 hb Jun 2015)
Assalamualaikum w.b.t.
PRINSIP PENGURUSAN EKONOMI JANGKA PANJANG
Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua, seterusnya Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian;
1. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran (Surah Yusof : 47 – 49) satu kisah yang sangat menarik tentang kewibawaan Nabi Yusof a.s. yang merencanakan satu pelan strategik (strategic planning) jangka masa panjang yang berkesan.
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ ( 47 ) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ ( 48 ) ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ (
Maksudnya: “Yusuf berkata, kamu menanam tujuh tahun seperti biasa maka apa sahaja hasil yang kamu perolehi maka biarkanlah pada tangkainya melainkan sedikit yang kamu makan. Kemudian akan datang selepas itu tujuh tahun yang sukar yang makan apa yang kamu simpan melainkan sedikit yang kamu bentengkan”
2. Jika Bajet (atau Belanjawan Tahunan) ialah perancangan untuk tempoh 1 tahun dan Rancangan Malaysia (RMK) pula untuk tempoh 5 tahun, ‘economic strategic planning’ yang dicadangkan oleh Nabi Yusof a.s. pula adalah untuk tempoh 14 tahun.
3. Saya tidak nafikan bahawa ia bukan soal lama mana tempoh sesuatu perancangan itu, tetapi keberkesanan perancangan untuk tempoh yang lama sebegitu harus diakui dan diambil pengajaran; perancangannya sangat strategik dan pelaksanaannya pula mencapai sasaran. Kaedahnya ialah memanfaatkan waktu ekonomi subur untuk persiapan menghadapi waktu sukar.
4. Pendapatan mesti dibahagikan kepada tiga. Berbelanjalah 1/3 dan menyimpanlah 2/3. Tujuannya supaya di waktu sukar negara boleh berbelanja 1/3 yang disimpan dan baki 1/3 digunakan sebagai modal untuk bangkit selepas berakhir waktu sukar. Justeru, kayu ukur sebuah negara yang makmur ekonominya ialah apabila negara dengan hanya berbelanja 1/3 daripada pendapatan telah berjaya melunaskan segala keperluan. Begitulah juga dengan pendapatan individu rakyat.
5. Namun, apabila melihat RMK11 yang dibentangkan dan setelah berlalu 10 RMK selepas merdeka atau 12 rancangan ekonomi negara sejak sebelum merdeka, saya merasakan amat jauh untuk negara kita mencapai tahap kayu ukur negara makmur menurut Islam ini.
6. Mendepani situasi 7 tahun yang subur dan diikuti 7 tahun yang kemarau bukannya mudah untuk diurus jika tidak wujud nilai ‘good governance’ berteraskan Islam pada pentadbiran kerajaan dan pada individu setiap pemimpin negara.
7. Justeru, sangat penting untuk negara memfokuskan pembinaan modal insan yang soleh yang mempunyai dua ciri utama iaitu Kuat dan Amanah sebagaimana firman Allah dalam al-Qasas ayat 26.
{إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِين}
Maksudnya: “sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu gajikan ialah yang kuat lagi amanah”.
Kuat ertinya sihat, berilmu, bijak dan berkemahiran tinggi. Negara tidak kekurangan golongan yang bijak, namun kita kekurangan golongan yang amanah lalu berlakulah rasuah dan pelbagai penyelewengan.
KEPENTINGAN RMK11
8. RMK11 penghujungnya ialah tahun 2020 yang disasarkan Malaysia menjadi negara maju? Apa ukuran negara maju? Itu persoalan yang mesti kita garap. Seterusnya apakah perancangan RMK11 mensasarkan kejayaan negara maju yang kita tetapkan ukurannya?
9. Negara maju telah diceritakan dalam al-Quran. Namun selalunya negara maju ini akan berhadapan dengan beberapa fenomena antaranya;
1. Pembangunan tidak berasaskan keperluan tetapi menjurus kepada projek pembaziran dan kemegahan.
2. Atau projek pembangunan yang dibuat hanya untuk keperluan pelobi projek atau kapitalis atau golongan pemodal bukan kerana keperluan pembangunan yang sebenar.
10. Allah menceritakan tentang kaum Hud yang diberikan kemewahan dan ketamadunan serta teknologi pembinaan bangunan yang hebat
أَتَبْنُونَ بِكُلِّ رِيعٍ آيَةً تَعْبَثُونَ وَتَتَّخِذُونَ مَصَانِعَ لَعَلَّكُمْ تَخْلُدُونَ
Maksudnya: “Adakah kamu membina di setiap tempat yang tinggi satu mercu tanda hanya untuk bermain-main dan kamu membina mahligai-mahligai yang besar dengan harapan kamu kekal selama-lamanya?” Surah Syu`ara’ ayat 128
11. NEGARA MAJU digambarkan oleh ayat Quran dalam surah al-Nahl ayat 112:
﴿ وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آَمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَداً مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ ﴾
Maksudnya: “Dan Allah membuat perumpamaan satu kampung yang asalnya aman tenteram datang rezki kepadanya selapang-lapangnya dari segenap penjuru.”
12. Ia juga digambarkan menerusi Hadis:
أَرْبَعَةٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِئُ
Maksudnya: “4 antara punca kebahagian; isteri yang soleh, kediaman yang lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik.”
13. Mengambil kayu ukur Islam ini maka sewajarnya RMK11 mesti menjurus kepada dua asas iaitu negara aman dan rezki yang melimpah ruah. Atau lebih detailnya ialah beberapa perkara berikut:
1. Pendapatan boleh guna rakyat yang tinggi
2. Kemampuan rakyat memiliki kediaman
3. Kemampuan rakyat mendapat kenderaan
4. Kejayaan rakyat mendapat rumah tangga bahagia
5. Kejayaan rakyat mendapat persekitaran perumahan yang aman dan sentosa
Untuk itu RMK11 perlu mengandungi strategic ekonomi jangka masa panjang
14. Di antara prinsip pengurusan strategik ekonomi jangka panjang yang perlu dipelajarai dan dicontohi daripada kisah Nabi Yusuf ialah :
(i) Penjanaan pendapatan mestilah melebihi 3 kali ganda perbelanjaan. Malangnya bajet negara kita dibuat berdasarkan rancangan perbelanjaan bukannya rancangan pendapatan. Sepatutnya lihatlah pendapatan kemudian rangkalah perbelanjaan dan bukan sebaliknya. Justeru, tidak hairanlah jika bajet negara telah mengalami defisit selama 18 tahun berturut-turut.
(ii) Penyediaan rizab (reserve) yang cukup untuk negara. Seharusnya perbelanjaan yang berasaskan pendapatan bersekali dengan komitmen merizabkan sebahagian baki untuk disimpan bagi manfaat masa depan dan ketika kecemasan. Tetapi, jika berbelanja pun sudah melebihi pendapatan, bagaimana simpanan negara dapat ditambah? Komitmen untuk mengurangkan hutang pun tidak akan dapat ditingkatkan bahkan hutang itu sendiri akan bertambah.
(iii) Membuat perangkaan yang tepat dan dikemaskini. Kadar kemiskinan yang dikatakan berkurang kepada 0.6% pada tahun 2014 adalah masih berdasarkan takrif lama dan paras garis kemiskinan RM880. Purata pendapatan isi rumah yang meningkat kepada RM6,141 pada 2014 pula tidak menggambarkan pendapatan sebenar perindividu dan terhasil daripada jurang pendapatan yang tinggi. Pengukuran perangkaan yang tidak tepat ini akan menunjukkan realiti sebenar secara tidak tepat.
0 comments: