Skandal rasuah yang berlaku di dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melibatkan pegawai tertinggi agensi kerajaan itu boleh dikatagorikan sebagai 'rasuah berlesen' walaupun wang rakyat lebur begitu sahaja.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin berkata, mereka sanggup membida harga pembelian apartmen melebihi harga pasaran semasa demi mendapatkan wang lebihan untuk dimasukkan dalam poket mereka.
"RM 13.7 juta itu adalah nilai rasuah yang mereka ambil dengan menggunakan dana kerajaan iaitu wang rakyat walaupun ia diakui oleh Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa bahawa pembelian hartanah tersebut telah mematuhi tata cara perolehan yang di tetapkan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan," katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, adalah tidak memadai jaminan audit dan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh Mara terhadap anak syarikatnya sendiri sedangkan kes itu sememangnya sudah dalam pengetahuan pihak pengurusan tertinggi Mara sepertimana diakui oleh Tan Sri Annuar.
Malangnya, kata beliau, pihak kerajaan dan Umno sering mencanang kepada rakyat untuk hidup berjimat-cermat dan bersederhana sedangkan pemimpin mereka telah mengkhianati amanah yang telah diberikan dengan melakukan amalan rasuah dan penggubahan wang haram untuk memindah-masuk wang rasuah tersebut dari Australia ke Malaysia.
"Rakyat sudah tertekan dengan cukai GST yang menekan hidup mereka, ditambah derita dengan penggunaan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan 1 MDB dan kini rakyat khususnya orang Melayu-Bumiputera terus berlinangan air mata melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Mara iaitu agensi kerajaan yang sepatutnya membela mereka," katanya yang juga Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. .
Justeru, Dewan Pemuda PAS mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai individu yang mempengerusikan Majlis Ekonomi, badan yang meluluskan pembelian hartanah tersebut, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal iaitu kementerian yang mengawal selia agensi Mara serta Annuar Musa untuk turut mengambil tanggungjawab atas kes skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi kerajaan dan pemimpin politik parti pemerintah ini.
Terdahulu, Akhbar Australia, The Age mendedahkan skandal kes rasuah yang berlaku dalam anak syarikat Mara, Mara Incorporated Sdn Bhd yang telah menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia, untuk membida harga blok apartmen Dudley International House daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta), dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanah air.
0 comments: