Tol : Kerajaan Memeras Rakyat


Info Isu Semasa : Siri 05
Tol : Kerajaan Memeras Rakyat
Oleh : Nasrudin Hassan at Tantawi
AJK PAS Pusat


1. Perdana Menteri marah kerana terdapat pihak yang telah membocorkan maklumat cadangan kenaikan kadar tol sebelum mesyuarat kabinet Jumaat lepas. Walau bagaimanapun, cadangan telah dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya dan keputusan dijangka akan diumumkan sebelum Hari Raya ‘Aidilfitri.


2. Menurut maklumat awal yang telah dilaporkan oleh akhbar Berita Harian 12 Jun 2015, kabinet pernah menangguhkan keputusan untuk menaikkan kadar tol pada November tahun lalu dan kini setelah mendapat tekanan daripada pihak konsesi, ia dijadual akan berkuatkuasa pada Ogos ini.


3. Kerajaan dicabar untuk mendedahkan hasil Mekanisme Kajian Tol (TRM) sepertimana yang terdapat dalam perjanjian konsesi lebuh raya sebelum membuat keputusan menaikkan kadar tol. Jangan terus menyeksa rakyat dengan kenaikan kadar tol dan rakyat juga tidak mahu ratusan juta ringgit dibayar dengan mudah kepada pemilik konsesi lebuhraya.

4. Kerajaan telah membayar kira-kira RM 1.5 bilion (2008 - 2014) sebagai pampasan kepada semua pemegang konsesi kerana tidak menaikkan kadar tol. Persoalannya, adakah mereka mengalami kerugian jika kadar tol tidak dinaikkan? Sebagai contoh, pemegang konsesi bagi Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad mencatat peningkatan keuntungan keseluruhan sejak dari tahun 2012 hingga 2014 (2012 : RM 83.1 juta | 2013 : RM 130.7 juta | 2014 : RM 134.1 juta).


5. Walhal, kerajaan telah memberikan sejumlah RM 257.78 juta kepada LDP sejak 2008 hingga 2013 dalam bentuk pampasan. Ini menunjukkan, samada pihak konsesi menerima pampasan atau kenaikan kadar tol, mereka tetap terus mengecapi keuntungan yang mewah. Oleh yang demikian, PAS mendesak supaya perjanjian konsesi distruktur semula dan hasil kajian terus diperincikan sehingga tol boleh dihapuskan secara berperingkat-peringkat. Jangan lagi terus memeras keringat rakyat dengan pelbagai "bayaran paksa" yang tidak diredhai oleh rakyat.

Hayatilah Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, peras paksa dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Surah An Nisa' : 29

Sekian, terima kasih.

0 comments: