AHLI PAS MESTI HIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR SEKALIPUN SIBUK

AHLI PAS MESTI HIDUPKAN 10 MALAM TERAKHIR SEKALIPUN SIBUK
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


TAMBUN: Ahli PAS mesti menghidupkan amalan di sepuluh malam terakhir Ramadan sungguhpun sibuk mengurus pelbagai hal ehwal kehidupan dan perjalanan parti, demikian seru Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, umat hari ini melaksanakan kebiasaan amalan Ramadan iaitu berpuasa, membaca Quran, melakukan solat sunat dan sedekah, tetapi agak malang kerana mengabaikan amalan besar Rasulullah SAW yang paling berkesan iaitulah ibadah iktikaf di masjid menghidupkan 10 malam terakhir.

Katanya, keseronokan ihya’ 10 malam terakhir Ramadan mesti dihayati sehingga merasa seolah-olah hidup melihat alam akhirat dan meremehkan kehidupan di dunia.

Justeru itu di sebalik kesibukan, beliau menyarankan ahli PAS agar meluang masa beriktikaf di masjid walaupun dalam tempoh yang pendek.

“Tak boleh 10 hari bukan bererti kita meninggalkan sepenuhnya. Kita boleh beriktikaf sebelah malam dengan qiam penuh atau sebahagian masa malam di masjid untuk sehari atau lebih,” ujarnya pada pertemuan Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri Perak di Markas PAS Kawasan Tambun, Taman Meru Ipoh, di sini.

Terang beliau, Ramadan mesti dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan dilaksanakan amalan taqarrub sesempurna mungkin.

Ujarnya, sebagaimana di dalam parti adanya muktamar tahunan untuk muhasabah kerja-kerja parti, bulan Ramadan pula haruslah dilihat sebagai satu ‘muktamar hati’ di mana setiap muslim membentangkan hati masing-masing di hadapan matanya.

Ini katanya, bagi membolehkan muhasabah, koreksi dan islah ke atas hati masing-masing agar perjalanan hidup mereka pada masa depan akan dipandu oleh hati yang sihat dan sejahtera imannya.

“Ramadan disiapkan Allah untuk menyucikan hati supaya kita terus gagah hadapi serangan daripada musuh yang Allah sengaja ciptakan untuk uji kita. Orang kafir yang memusuhi, syaitan, munafik, malah orang mukmin yang berdengki adalah musuh yang akan terus memerangi kita. Musuh paling sukar untuk kita hadapi adalah nafsu kita sendiri.

“Dari perihal hatilah lahirnya dalam Islam ilmu tasauf yang sama nilai dengan ilmu akidah dan ilmu syariah. Seorang yang cerdik akal fikiran, dia kenal Allah SWT, dia menjadi muslim yang hebat. Seorang yang cerdik akal fikirannya, dia belajar bersungguh-sungguh, dia boleh ikut syariat dan teguh ketaatannya dengan syariat Allah SWT.

“Tapi semua itu akan terbengkalai, terhenti kalau dia tidak bina hatinya. Kerana kekuatannya akan dimakan oleh penyakit yang menyerang hati iaitu tidak ikhlas dan syirik. Dia seorang ahli fikir agama yang hebat tapi jika dia fikir dengan tidak ikhlas, segala fikirnya itu jadi sia-sia.

“Dia taat pada Allah SWT, nampak dia bersungguh memperjuangkan menegakkan syariat agama. Tapi rupanya masuk lubang kubur, amalannya sia-sia dirosakkan oleh hati yang tidak ikhlas. Jadi alam hati ini adalah ilmu yang perlu kita pelajari,” terangnya.

Jelas beliau lagi, Allah jadikan bulan Ramadan ini sebaik-baik masa untuk manusia menilai tahap kekuatan hati mendepani serangan musuh.

Katanya, kekuatan musuh luar untuk merosakkan seseorang juga terjadi dengan wujudnya pakatan bersama nafsu jahat dari dalam diri sendiri di mana jika nafsu ini tidak terdidik, akan mudahlah diri dipengaruhi syaitan, munafik dan pelbagai musuh lain.

Oleh itu tegasnya, Ramadan dikira sebagai medan, ubat dan senjata bagi mendidik nafsu agar mampu menghadapi serangan musuh ke atas diri manusia.

0 comments: