Aqidah Yang Soheh, Fikrah Yang Soreh, Akhlak Yang Soleh.




Aqidah yang Soheh + Fikrah yang Soreh + Akhlak yang Soleh.
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.


1. Sahabat Seperjuanganku ...
Ramadhan bagaikan sebuah kem latihan yang mengemukakan pelbagai modul menarik untuk melahirkan insan yang terbaik. Pastinya modul yang wajib kita ambil ialah modul pembinaan aqidah, fikrah dan akhlak. Kepatuhan berpuasa sebagaimana perintah Allah swt adalah aqidah, memahami matlamat dan objektif amal padanya adalah fikrah dan sikap serta sifat yang perlu dilakukan sepanjang Ramadhan adalah akhlak.

2. Sahabatku ...
Keseimbangan aqidah yang soheh (benar), fikrah yang soreh (jelas) dan akhlak yang soleh (baik) adalah kompenan utama untuk membentuk sosok insan yang terbaik (khaira ummah). Modul ini mesti kekal diaplikasi sepanjang waktu dan ia adalah penyumbang utama kepada pembentukan negara dan tamadun yang dirahmati dan diberkati oleh Allah swt.

3. Sahabatku ...
Sewajarnya keseimbangan ini dimiliki oleh pejuang. Buruk benar seorang yang hilang salah satu dari unsur keseimbangan tersebut. Aqidah mantap tapi tiada akhlak hanya menjadi fitnah kepada pejuang. Samalah seorang pejuang yang mempunyai akhlak dan fikrah yang baik tapi rosak aqidah, tidak memberi sebarang nilai pada diri dan agama.

4. Sahabatku ...
Kita perlukan aqidah yang soheh agar kita tidak dihumban oleh Allah swt ke nerakaNya. Kita mesti mempunyai fikrah dan tasawwur Islam yang jelas dan luas supaya mampu menangkis tohmahan jahat terhadap Islam dan dalam masa yang sama kita boleh menyebarluaskan risalah Islam. Akhlak Islam pula adalah keindahan peribadi yang akan memikat massa kepada Islam.

5. Sahabat Seperjuanganku ...
Tiga anasir seimbang itu (aqidah + fikrah + akhlak) adalah asas kekuatan kita. Biar sebesar mana pun badai melanda, andai kita memiliki tiga perkara ini, insyaallah kita selamat. Allah redha kepada kita lantaran aqidah kita yang benar. Masyarakat sayang kepada kita ekoran akhlak kita yang baik dan kita memiliki kemuliaan kerana berada di atas manhaj yang betul dipandu fikrah Islam yang jelas.

"Ramadhan Kareem"

Sekian.

0 comments: