Awas ! Bermain di padang kemuncup, jangan sampai teralih tumpuan.


Tinta Penerangan. 10

Awas ! Bermain di padang kemuncup, jangan sampai teralih tumpuan.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

1. Beraksi di pentas politik tanahair bagaikan bermain bola di padang kemuncup. Tentu sahaja kualiti permainan sedikit sebanyak terjejas. Jauh lah beza kualiti permainan oleh pasukan yang sama jika dilangsungkan di padang Stadium Santiago Bernabeu.


2. Kualiti permainan bola sepak banyak bergantung kepada taktikal dan teknikal pasukan yang beraksi. Objektif dan matlamat permainan pula ialah menghasilkan gol sebanyak yang boleh dan kemudiannya pulang membawa tropi kejuaraan.

3. Kualiti padang juga adalah penyumbang besar kepada kualiti permainan bolasepak. Kehebatan sebuah pasukan yang memiliki penguasaan taktikal dan teknikal yang mantap turut terjejas jika dipaksa beraksi di padang yang tiada kualiti.

4. Padang politik Malaysia masih buruk tahap kualitinya. Terlalu banyak lopak, batu kerikil kecil dan kemuncup. Sangat tidak selesa malah boleh mengundang kecederaan serius kepada pemain yang menggunakan padang sebegini. 

5. Namun kita tiada pilihan. Inilah satu - satunya padang yang ada untuk aksi merebut dan membawa pulang tropi kemenangan pada PRU 14 kelak. Perlawanan terpaksa diteruskan dan kemenangan mesti dicapai.

6. Mendepani situasi sedemikian, pemain mesti berhati-hati agar tidak hilang fokus dan lebih berisiko ialah mengalami kecederaan dipertengahan musim sedang perjalanan liga masih panjang. Biasanya, detik sebegini pemain tidak boleh terlalu skima. Kreativiti pemain sangat diperlukan untuk menampung keterencatan taktikal dan teknikal pasukan.

7. Jangan teralih tumpuan kepada kemuncup yang melekat distokin. Jangan pula berhenti bermain kerana mahu mencabut kemuncup. Tidak dinafikan bahawa banyaknya kemuncup distokin menjadikan kita tidak selesa bermain, tetapi kita mesti banyak bersabar dan kawal fokus agar jangan hilang dan teralih.

8. Pilihanraya Umum ke 14 sudah semakin hampir dan terdekat ialah Pilihanraya Negeri Sarawak. Penerangan parti mesti memaksimakan gerakkerja dan aktiviti untuk membawa mesej perjuangan suci ini kepada masyarakat secara berkesan. Jangan biarkan isu-isu kecil dan kemuncup dalaman ini menghilangkan tumpuan dan tugas utama kita.

9. Semua jentera penerangan negeri, kawasan dan cawangan mesti bangkit dari lamunan. Mesti sedar dari kealpaan. Keluar dari zon selesa dan jangan bazirkan masa untuk debat dan bahas perkara yang tidak membangunkan jamaah. Capai segala peralatan dan segera turun ke medan. Kita ada objektif dan matlamat perjuangan yang mesti dilunaskan. 

10. Pejabat penerangan PAS disemua peringkat mesti menjadi pejabat yang paling sibuk merencana dan mengatur aktiviti penerangan dan menghasilkan bahan penerangan yang berkesan untuk dihantar kepada masyarakat. Cukuplah berpolemik yang tiada hari sudahnya itu. Kini waktu kita mara untuk menghasilkan gol kemenangan meskipun padang ini berkemuncup.

Sekian.

0 comments: