"Cintai Islam, Cintailah PAS"

Mereka berkata, "Cintai Islam, bukan PAS. PAS hanya satu daripada banyak jamaah Islam yang wujud."

Saya berkata, "Cintai Islam dan cintailah PAS."

Kerana anda cintai Allah, anda wajib cintai al Quran, al Rasul, solat dan kaabah. Itu semua bukan Allah, tetapi itulah perlambangan (syiar) Allah di muka bumi. Tanpanya Allah kekal tidak dikenali manusia. Justeru mencintai syiar-NYA adalah mencintai-NYA.

Begitulah jamaah Islam, ia syiar ugama Allah di muka bumi. Mencintai jamaah ugama-NYA adalah mencintai ugama-NYA.

Jika anda bukan ahli PAS, anda berhak untuk tidak mencintai PAS. Jika anda ahli jamaah Islam 'Harapan Baru', maka cintailah jamaah 'Harapan Baru' itu.

Jika anda berkata, "Cintai Islam, bukan Harapan Baru," nantikan satu hari nanti, anda akan kembali membina jamaah lebih baru dan anda akan berkata dan mengulangi slogan yang sama. Maka anda kekal mencintai Islam dengan kepakaran 'istiqamah' berpindah randah jamaah.

Jika anda mahu tahu rahsia kekuatan PAS, maka ia adalah pada slogan, "Cintai Islam, cintailah PAS."

Begitulah keramat kalimah 'istiqamah' di sisi ahli PAS. Ia bermaksud bersama membina jamaah dan dibina kekuatan diri dalam jamaah.

Semoga Allah mengurniai kita segala kelebihan dan kebaikan-NYA menjelang Syawal penuh kesyukuran.


Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments: